Thursday, March 6, 2008

RAJA KAMI RAJA RAKYAT

(telah dibaca dan disiarkan oleh RTM sempena Hari Keputeraan SPB YDP Agong)

AMPUN TUANKU
PERJALANAN YANG DITANDA PADA 17 MEI 1943
BUKAN SEKADAR MELIHAT KESUSAHAN DAN KESENGSARAAN
BAHKAN MERASAINYA DENGAN PANCAINDERA
DAN MENCECAHNYA DENGAN SELURUH JIWA RAGA.
DUNIA KEBIJAKSANAAN BERMULA DI SEKOLAH MELAYU ARAU
HINGGA KE AKADEMIK TENTERA DIRAJA SANDHURST
MENJADIKAN JIWA TUANKU TEGAR
DAN PRAKARSANYA KUKUH DENGAN RAKYAT.

TANGGAL 30 OKT 1960
JIWA BERJIWA RAKYAT MULA DI ASAH
SEBAGAI RAJA MUDA YANG TERPELIHARA.
PENGISTIHARAN PADA 17 APR 2000
PENUH KEDAULATAN – WALAU DIDADA MERAKYAT SELAKSA KEPILIUAN
MENJADI BUKTI PERLIS TANAH MAHSUL BERTUAH
KEBERKATAN – MENYINARI SETIAP SUDUT INDERA KAYANGAN YANG GELAP
TITAH BAGINDA MEMBASUH SEGALA SUSAH
YANG DI BAWAH DI BIMBING KE PUNCAK
KEMESRAAN DAN KEAKRABANNYA
MENITISKAN AIRMATA TAAT SETIA RAKYAT
YANG TIDAK TERHINGGA TIBA –TIBA.

25 APR 2002, TERLAKSANALAH SUDAH
QHADA DAN QHADAR TUHAN
PERTABALAN RAJA KAMI RAJA RAKYAT
PERCIKAN CAHAYA MENYULUH DUNIA
KERANA DI KELIP MATANYA ADA RESTU RAKYAT
RESTU RAKYAT MEMBINA BERKAT

KINI SETELAH USAI MENGILAS BADIK MELIBAS PEDANG
HARI INI, PEDANG DIRAJA DISARUNGKAN
IKATAN SEMUTARNYA DILONGGARKAN
KAIN SEBIDAI DI RIBA MENJAMAH KERINGAT
MELUKIS KASIH AKAN RAKYAT DI MUKANYA
AIR DI GURI DI TEGUK
TETAPI BADIK MASIH TERSISIP DI PINGGANG RAPAT
PEDANG MASIH DI SISI
SILANYA MASIH JAGA MASIH SILA RAJA





PANAHAN MATAHARI TUNDUK HORMAT
TERPANCAR BINTANG DARI BIAS SINARNYA
TUJUH BINTANG BINTANG TUJUH
LEGAM WARNANYA KERANA DISIMBAH JASA
DAULAT TUANKU
DAULAT TUANKU
SERAKYAT SERAJA

KARYA:

LT KOL MOHD RADZI ABD HAMID
TIMBALAN PENGARAH SEKRETARIAT TD
MARKAS TENTERA DARAT

24 November 2006

No comments: