(Lt Kol Mohd Radzi bin Abd Hamid)
Sebagai pembuka kepada cerita yang sarat dengan sejarah, izinkanlah saya mulakan dengan menceritakan keadaan diri saya sekarang ini. Mungkin pembaca-pembaca semua telah pun sedia mengenali saya melalui filem Lt Adnan ataupun dari acara-acara teater dan pantomin yang dipentaskan, sebenarnya Lt Adnan yang pembaca-pembaca kenal itu adalah Lt Adnan yang kehabisan pelurunya di pertahanan Bukit Candu. Apa yang akan saya ceritakan ialah keadaan diri saya sekarang ini iaitu Lt Adnan yang masih ada banyak peluru ketika menentang Jepun di Bukit Candu.
Nama saya ialah Jen Tan Sri Dato’ Seri Adnan bin Saidi MC SP PGB KAT BCK Msc Def Stud (India) Ms Mil History (UK) psc. Saya telahpun bersara dari perkhidmatan yang amat saya sayangi iaitu Angkatan Tentera Malaysia. Jawatan terakhir saya dalam Angkatan Tentera Malaysia ialah Panglima Angkatan Tentera dan juga Panglima Tentera Darat. Saya adalah merupakan anak melayu yang pertama menjawat jawatan seumpama itu dan juga pegawai tentera yang pertama menjawat dua jawatan penting dalam satu masa. Buat masa ini saya tidak merancang untuk bekerja lagi kerana hari ini adalah hari pertama saya bersara iaitu meninggalkan perkhidmatan tentera. Mungkin esuk ataupun lusa fikiran saya berubah untuk bekerja semula bagi mengisi masa lapang, saya tidak dapat nafikan. Kalau boleh saya ingin bersara ‘for good’.
Maklumlah sebagai hero negara yang satu-satunya menerima 2 anugerah pingat keberanian sekaligus, saya menjadi perhatian di mana sahaja. Perdana Menteri telah empat kali bercakap dengan saya berkaitan tawaran kerajaan untuk saya mengisi 2 jawatan penting kerajaan. Saya bulat-bulat menolak tawaran tersebut. Ini bukanlah bermakna saya tidak menghargai tawaran PM tetapi saya sebenarnya terlalu letih dan ingin berehat dan berada bersama-sama isteri dan anak-anak cucu saya. Oppp! Lupa pula nak cakap, saya telahpun memilki 9 anak dan 5 cucu.
Saya berhasrat untuk mengisi masa lapang saya dengan memberi ceramah-ceramah di sekolah-sekolah, kem-kem tentera, Universiti-universiti dan temu bual di kaca TV berkaitan pertempuran saya di Bukit Candu yang mana ianya dicatat dalam sejarah dunia. Saya berharap pembaca-pembaca bersabar untuk menunggu cerita detik-detik kritikal pertahanan di Bukit Candu yang kumpulan saya berjaya menewaskan tentera Jepun dan seterusnya kami mengantung Jen Yamashita di salah satu pokok getah yang masih ada lagi sekarang di puncak Bukit Candu. Sekiranya pembaca-pembaca berkunjung ke Bukit Candu, pokok getah berkenaan berada betul-betul di sudut kanan Bangunan Interprecentive Centre yang baru dibina oleh Kerajaan Singapura bagi mengkaji kejayaan saya dan rakan-rakan. Di situ ada papan kenyataan yang di atasnya tertulis begini:
“Pokok getah ini adalah merupakan pokok getah dimana Jen Yamashita telah digantung dan dihukum mati oleh satu tribunal tentera yang diketuai oleh Lt Adnan bin saidi. Dahan yang dijadikan tempat gantungan telah pun patah dalam satu hujan ribut yang melanda Bukit Candu. Di perdu pokok ini kelihatan bekas-bekas peluru senjata Jepun yang menyerang pertahanan Bukit Candu.”.
Selepas berjaya membunuh saki baki tentera Jepun di Singapura, Kerajaan Malaya yang ketika itu di ketuai oleh PM Tunku telah menganugerahkan 15 ekar tanah kepada semua anggota-anggota tentera yang terlibat dalam kejayaan mempertahankan Bukit Candu, termasuklah saya. Walau bagaimanapun tanah anugerah tersebut telah saya jual kerana agak jauh ke dalam hutan iaitu di Temerloh, Pahang. Hasil duit dari menjual tanah di Temerloh itu, telah saya gunakan untuk membeli tanah di Sg Ramal iaitu di mana saya tinggal sekarang. Maklumlah Sg Ramal ni tanah lahir saya, jadi saya sememangnya telah lama menanam hasrat dalam fikiran saya untuk tinggal di Sg Ramal setelah bersara kelak. Saya mempunyai 8 ekar tanah di Sg Ramal, sebahagiannya telah saya jadikan dusun buah-buahan dan di hujung sebelah kanan saya bina rumah yang saya duduki sekarang. Terus-terang dari hati ke hati saya katakan rumah dan tanah ini dibeli dan dibina dengan menggunakan wang hadiah dari kerajaan. Kalau kalau tuan-tuan melintas di dusun saya ketika musim buah, janganlah segan-segan untuk mengambilnya. Tawaran saya ini ikhlas. Ambillah sepuas-puasnya kerana ianya adalah percuma. Memang itulah niat asal saya ketika mula menanam benih-benih pokok buah-buahan.
Semasa perbarisan persaraan saya sehari sebelum hari ini, saya ada bertemu Timbalan saya iaitu Lt Jen Dato Sri Abas bin Manan psc MC PGB Msc (london). Dia pun akan bersara sehari dua lagi. Kami banyak berbual semasa jamuan minum teh selepas perbarisan tersebut iaitu pasal detik-detik terakhir kekalahan Jepun. Saya sendiri pun tak sangka beliau juga dapat terus hidup.
Tentera Jepun yang hanya tinggal saki baki sahaja menyangka pertahanan di Bukit Candu tidak sampai 7 ke 8 orang sahaja. Justeru, mereka menyerang Bukit Candu tanpa perancangan yang teliti. Kedatangan tentera Jepun ke Bukit Candu, kami sambut dengan kemeriahan letupan senjata mesin gun. Tembakan tanpa ditenang sekalipun akan hinggap di dada Jepun juga kerana terlalu ramai. Ketika platun saya membalas tembakan Tentera Jepun, Kapten George semasa itu sedang menikmati cigarnya di puncak Bukit Candu. Ketika kami asyik menembak ke arah musuh, kedengaran suara Kapten George “ Adneann, take your own sweat time”.
Sebenarnya, pertempuran di Bukit Candu adalah pertempuran yang paling mudah kami hadapi kerana Tentera Jepun ketika itu amat keletihan dan berada dalam serba kekurangan. Saya rasa pertempuran kami di Kuala Pak Amat lebih sengit.
“Minta maaf Tan Sri, PM is free and waiting to meet you”. Minta maaflah pembaca sekalian, saya terpaksa berhenti di sini kerana saya ada temu janji dengan PM. Dia nak sangat jumpa saya, saya pun tak tahu sebab apa. Barangkali dia nak saya jadi timbalannya, entahlah. Saya permisi dulu. Maafkan saya.
No comments:
Post a Comment