(Telah dideklamasikan dalam acara bantahan gabungan Utusan Malaysia dan NST di Laman PENA)
JIKA HATI SUDAH BULAT TEKAD PEKAT
MAT MELAYU NAK KAHWIN MEM STRAIT
YANG POTONGANNYA LEBIH MENARIK
RAMBUT BLONDE, BETIS GEBU, MATA BIRU LAUT
KHABARNYA
KAD UNDANGAN BERBUNGA TULIP DAH DIEDAR
DEWAN DAH TEMPAH, MENU DAH PILIH
BOS PUN TAK KATA APA
TANDA SETUJU ANGGUK SAJA
APA LAGI YANG MAHU DIKATAKAN
SEMUA ORANG DAH MENYEBUT
DARI GADIS TENGAH MANDI HINGGA KE PAK MENTERI
SEMUA TERMANGU BAGAIKAN PIPIT TERKEJUT GARUDA
AKAN HILANGKAH PESAKA BANGSA?
AKAN LENYAPKAH MARUAH KITA?
PAK MENTERI KATA, DAYUSLAH KITA – JIKA TERIMA,
SIA-SIALAH PERJUANGAN BANGSA – JIKA ANGGUK KEPALA
SECALIT KUDISPUN TAK BERBEKAS
INIKAN PULA IKAN BILIS MACAM KITA
DI JEMPUT KE KENDURI BELUM TENTU
APA LAGI YANG MAHU DIKATAKAN
KALAU SANGGUP MENGGADAI SEGALA
GARA-GARA MENYAHUT SAHUTAN KANTUNG
WAJARKAH HUBUNGAN INI DITERUSKAN JUA
KALAU AKHIRNYA KITA TAK TINGGAL APA-APA
APA LAGI YANG MAHU DI KATAKAN
SUARA KITA BAGAI MENCURAH AIR DI DAUN KELADI
SUARA KITA BAGAI ANJING MENYALAK BUKIT
BUKIT TAK HAIRAN, POHON TAK INGIN NAK GOYANG
IDEA KITA MACAM MELUKUT DI TEPI GANTANG
MELUKUT ADA JUGA GANTANGNYA,
KITA ADA APA LAGI,
RAMAI LAGI GADIS MELAYU
KENAPA PILIH MEM STRAIT
TAK KAHWIN PUN TAK APA
SEBABNYA
MELAYU SANGGUP MATI ANAK DARI MATI ADAT
MELAYU SANGGUP DI PIJAK PERUT TAPI JANGAN PEGANG KEPALA
MELAYU SANGGUP TAK PAKAI BAJU TAPI SAMPING, TELUK BELANGA, TENGKOLOK JANGAN TOLAK TEPI
MELAYU SANGGUP JUAL TANAH PUSAKA, ASAL ANAK DAPAT MASUK UNIVERSITI
MELAYU SANGGUP JUAL GELANG, JUAL SUBANG,
ASAL DAPAT TUBUH UTUSAN
APA LAGI YANG MAHU DIKATAKAN
SETELAH PUAS DITELEK DAN DI TELAH
ENTAH SERASI ENTAHKAN TIDAK
ENTAH SEPAKAT ENTAHKAN BERKERAT
ENTAHKAN SAMA SILA PENCAKNYA
ENTAHKAN SAMA LENGGOK TARINYA
DILUAH MATI EMAK, DITELAN MATI BAPAK
JIKA BENARLAH BAGAI DIKATA
WAJARKAH KITA BERDIAM DIRI MEMBISU KELU?
PERLUKAH MAT MELAYU MEM STRAIT BERSATU?
ATAU KITA SEMUA MENJADI SETERU?
TEPUK DADA TANYA SELERA
JANGAN PULA DAH TERANTUK BARU TERGADAH
MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI
TERGADAI BOLEH JUGA DI TEBUS
TERJUAL? MACAM MANA?
DAPATKAH DICARI GALANG GANTINYA?
No comments:
Post a Comment