TANGGAL 16 SEPTEMBER 1933
LAHIRLAH BINTANG KEDAULATAN
DIMULAKAN DENGAN LAFAZ ‘BISMILLAH’
MENJADI AZIMAT DAERAH PERJUANGAN
DULU, KINI DAN SELAMA-LAMANYA
TANPA TOLEH KAMI TEBARKAN JALA PERKASA
PENJAJAHAN JEPUN KAMI BEBAT
KEGANASAN KOMUNIS KAMI SEKAT
DARURAT KAMI TENANGKAN
KONFRANTASI KAMI HARUNGI DENGAN SABAR
PERJUANGAN DEMI PERJUANGAN MERUJUK ZAHIR DAN BATINI
MERUJUK PERJUANGAN SEGEROMBOLAN WIRA
PERWIRA DARATAN, PAHLAWAN SAMUDERA, PEJUANG ANGKASA
YANG TIDAK INGIN DI JAJAH
YANG TIDAK INGIN MENJADI HAMBA KEPADA SESIAPA
MELAINKAN HANYA KEPADA TUHANNYA
KERANA ITU BENTENG SETIA TIDAK PECAH
TIDAK TUNDUK KEPADA SESIAPAPUN MANUSIA LAIN
ATAU MANA-MANA PUN HAMBA TUHAN YANG LAIN
KEPERKASAAN DAN KESETIAAN PERWIRA
TIDAK WUJUD DENGAN KATA DAN SENYUMAN
IA LAHIR DENGAN SEMANGAT, KERINGAT DAN DARAH
YANG TERSIMBAH DARI KUALA PAK AMAT HINGGA KE PUNCAK BUKIT CANDU
KEKUATAN KAMI BINA DENGAN RATAP ANAK-ANAK YANG DITINGGALKAN
KEPERKASAAN KAMI PASAK DENGAN KEPILUAN IBU DAN BAPA
KESETIAAN KAMI KUKUHKAN DENGAN KESENGSARAAN PARA BALU
MERAIH SIMPATI DAERAH PERJUANGAN
YANG BAGI KAMI HITAM WARNANYA.
KETAHUILAH, KEAMANAN YANG DIHIRUP
KEBEBASAN YANG LEPAS LUAS
ADALAH HASIL PERJUANGAN DEMI PERJUANGAN
DARAH DEMI DARAH TERPERCIK DI BELANTARA
NYAWA DEMI NYAWA PERWIRA NEGARA TERSADUNG TERSUNGKUR
SEGALANYA, KAMI TANAMKAN PADA TANAH BERTUAH
KAMI SUBURKAN TANAH WATAN
DENGAN KEDAULATAN TERJAGA
TANPA MENGHARAPKAN SEBUTIR BINTANG DI DADA
TANPA MEMBELAS SECALIT DARJAT DI BAHU JUA
ANAK-ANAK TERCINTA
TATAPILAH PERJUANGAN SILAM
SEMADIKAN KEKUATAN LT ADNAN DI DADA
KUKUHKAN SEMANGAT IBRAHIM ALI DITTA DI JIWA
KERANA PERJUANGAN ALAF BARU BELUM TAHU NASIBNYA
KALIAN HARUS BERPENCAK DI PENTAS DUNIA
DENGAN BUNGA SENDIRI
SEBAGAI BANGSA PEJUANG BERJIWA BEBAS
BEBAS PEMIKIRAN
BEBAS BUDAYA
BEBAS DALAM SERBA-SERBI SPEKTRUM
KEHIDUPAN YANG CEMAR DAN CALAR
BANGSA PEJUANG ALAF BARU
BERTERIMA KASIHLAH KEPADA PEJUANG YANG LALU
BERSYUKURLAH KEPADA TUHAN
KERANA MEREKA
TELAH MEMBINA DAERAH AMAN, MAKMUR DAN MAHSYUR
Dinukilkan oleh:
Lt Kol Mohd Radzi Abd Hamid
Seremban 2
28 Jul 07
No comments:
Post a Comment