(Telah dideklamasikan semasa perasmian laman santai Shah Alam)
NAKHODA: “ HOI! ANAK-ANAK KAPAL, NAIKKAN SAUH, KEMBANGKAN LAYAR”.
KELASI:”TUAN NAKHODA! SAUH TELAH DINAIKKAN, LAYAR TELAH TERKEMBANG”
NAKHODA: “KITA BELAYAR SEKARANG”.
INILAH BAHTERA YANG BERNAMA MALAYSIA
YANG AKAN KITA LAYARKAN
DI SAUJANA SAMUDERA MERENTAS KILAS GELOMBANG
DAN EKOR TENGKUJUH DARI HUJUNG NERAKA.
MARILAH KITA MENGIBLAT ARAH PELAYARAN
MEMUTAR KEMUDI DENGAN SELAYAR DOA
MENEROKA ARAH BINTANG DENGAN CENDEKIA
MENJAHIT LAYAR DENGAN CEMETI
PADA TIANG YANG TERBINA DARI SERPIHAN BAHTERA NABI NOH A.S
KERANA GELOMBANG, KELIKIR, TENGKUJUH
DAN LAUTAN MENYIMPAN SEJUTA DENDAM.
KELASI 1: “NAKHODA! CAKAR TAUFAN DAN TARING TENGKUJUH SEDANG MENYUSUR AKAR”.
NAKHODA: “JURUMUDI! KEKALKAN KUASA ENJIN 1957 KELAJUAN,
ARAH PERJALANAN BERING 2020 MILS”
KITA RAWATI BISA CAKAR DAN TARING DENGAN MENTERA
KITA USAP KILAS GELOMBANG DENGAN MUAFAKAT
KITA BELAI AMARAH TAUFAN DENGAN DIPLOMASI
KITA RENTASI DUNIA LAUT DENGAN DOA
TERUSKAN PELAYARAN”.
TIDAK KIRA SIAPAPUN NAKHODANYA, TUNKU ABD. RAHMAN, TUN ABD. RAZAK,
TUN HUSSEIN ONN, TUN DR MAHATHIR DAN DATO’ SERI ABDULLAH
YANG BIJAK BERPENCAK DENGAN KILAS GELORA
DAN TIPU MUSLIHAT AWAN
PASTINYA BAHTERA MERDEKA INI TETAP PERLU DISIAPKAN
DAN KITA PERLU MENEBARKAN SEBIDANG LAYAR PERKASA
AGAR TENGKUJUH DARI HUJUNG NERAKA
YANG MENCAKAR DADA SEMANGAT
HANYA BISA MEMABUKKAN KELASI DAN MENCARIKAN LAYAR
DAN BAHTERA KITA TERUS BERLAYAR KE PINTU SYURGA.
TUNKU ABD. RAHMAN, TELAH MEMAHATKAN BAHTERA MERDEKA INI
ABDUL RAZAK, MENGEMUDIKANNYA JAUH MENINGGALKAN PELABUHAN
HUSSEIN ONN, MEMPERKUKUHKAN LAYAR
MAHATHIR, MENJANA KIBLAT BAHTERA MERDEKA
ABDULLAH, MENGILTIZAMKAN SELURUH WARGANYA
DAN KITA KELASINYA MENGIKAT NYAWA DI KEMUDI
MENGIKAT HARAPAN DI SETIAP PELABUHAN, TELUK DAN PULAU
BIAR! BIARKAN BUIH-BUIH PENJAJAHAN BERBAUR DI BELAKANG BURITAN
BIAR! BIARKAN IA TERAWANG DI HUJUNG NGILAI SANG PARI-PARI
BIAR! BIARKAN PARUT PENJAJAHAN TENGGELAM KE PANGKAL KARANG
MENJADI BATU TANDA SEMPADAN TANAH BERTUAH.
KINI KITALAH KELASI YANG AKAN MENGEMUDI BAHTERA MERDEKA
BERANIKAH KITA BERMAIN GELOMBANG DAN GELORA?
KUKUHKAH ILTIZAM KITA?
JIKA HANYUT DI LAUTAN
KERANA LAUT DI HADAPAN, TIDAK MEMATERIKAN PERJANJIAN
KERANA KITA HANYA MEMPUNYAI HARAPAN SEBAGAI TEMAN
KERANA KITA HANYA MEMILIKI SEMANGAT SEBAGAI KEMUDI
MILIK KITA HANYALAH SEBUAH BAHTERA TETAPI IMPIAN KITA SELAUTAN.
KELAK, DENGAN HARAPAN YANG TIDAK BERTEPI
KITA LABUHKAN BAHTERA MERDEKA
DI JETI HUJUNG TANJUNG JAUH DI TEPIAN PULAU
DIPISAHKAN OLEH OMBAK DOA CAMAR
DAN NYANYIAN NELAYAN PULANG
KENANGAN DAN DOA AKAN KITA IRING KEPADA SELURUH NAKHODANYA
DAN BAHTERA YANG MERDEKA INI SERING MENGINGATKAN KITA
TERIMA KASIH TUNKU ABD. RAHMAN
TERIMA KASIH TUN ABDUL RAZAK
TERIMA KASIH TUN HUSSEIN ONN
TERIMA KASIH TUN MAHATHIR
TERIMA KASIH DATO’ SERI ABDULLAH
TERIMA KASIH KEPADA KITA KELASI BAHTERA MERDEKA.
NUKILAN : LT. KOL MOHD RADZI ABD. HAMID
INSTITUT TADBIRAN AWAM NEGARA
BUKIT KIARA
No comments:
Post a Comment