Thursday, March 6, 2008

PESAN OMBAK PADA NELAYAN

Petang itu di kuala Sg. Baru
ombak menujah-nujah pantai
suaranya menjerit, melaung panjang
hingga aku tak memahaminya
tapi lewat dinihari
ombak melewati pantai lagi
dan suaranya berbisik berirama

Kata ombak
kau lihatlah dadaku
segala-galanya ada
segala-galanya tiada
lewat subuh tadi
aku telah menghukum seorang nelayan
kerana merobek dadaku dengan paksa
nelayan itu ku rejam ke dasar bersama sampannya
lalu, pagi ini kuhantar ia ke pantai
bukan untuk ditangisi oleh keluarganya
sekadar amaran kepada nelayan lain
hormatilah duniaku – laut.





Lt Kol Mohd Radzi Abd Hamid
15 RAMD, Kem Senawang

No comments: