Thursday, March 6, 2008

ISTANA BURUNG PAGI

(Buat semua kaum hawa khusus yang bergelar suri)

Suri ku
istana ini dibina dengan doa dan harapan
tiangnya adalah pengorbanan seorang lelaki
dindingnya yang kukuh dipaku pada tiang
adalah kesyukuran orang tua kita,
bumbungnya yang kerap kali tiris bila hujan
adalah kecurangan hati
yang tidak dapat ditelah
semalu yang tumbuh melata di tanah
di tepian tangga di bawah rumah
di halaman yang sering kita cabut
ketika menikmati angin petang
adalah lambang generasi yang akan kita sinarkan.

Istana burung pagi
adalah sebuah harapan yang sentiasa baru
jendelanya sentiasa terbuka menadah mesra alam
tiang seri yang membina dunia anai-anai
adalah aku insan lelaki yang bernama suami
tangganya yang patah
adalah pelayaran yang telah diredah
riuh ayam bercakaran di bawah pelantar
adalah irama yang sering kita dengan waktu lepas hujan,
adalah cerita kita

Ketika salam ijab kabul disambut
aku jadi gementar antara kejujuran dan tanggungjawab
aku sentiasa mengangankan istana burung pagi
dan dihuni sejuta generasi
cahaya pertama, biarlah sepertiku
sungguhpun kau inginkan belahannya sebagai peneman
cahayaku mengemudi bahtera
cahayamu menjahit jiwa.

Dalam angan ku
Istana burung pagi dipahat atas bukit
di mata ku sawah yang sayup mata memandang,
tat kala petang: kelihatan beburung terbang pulang ke sarang.
Di mata mu air terjun yang dinginnya mengigit sum-sum alam.
Istana burung pagi tidak tiris tiap kali hujan
dan kita tidak perlu mengusung mangkuk kecil ke hulu hilir menadah air hujan
dan kita tidak basah
dan lantainya takkan roboh kerana dibina dengan iman.
Setelah satu dasawarsa berlabuh
Istana ini tirisnya di sana sini
ketika titisan hujan berkunjung
mangkuk kecil bergelinangan air tumpah ke tanah,
tangganya patah tak bisa dirubah
tingkapnya yang mesra kini membisu diri
anjung dihiasi sesawang, lelabah berlari
dindingnya yang robek tak bisa ditampal
di halaman tidak ada semalu yang ada adalah lalang-lalang liar
yang bunganya berkeputihan terbang bila angin datang

Ketika aku cuba menutup lubang-lubang istana kita
mencuci sesawang, memaku tangga
engkau sering tertawa
sebagai insan tuhan, aku juga punya kelemahan
yang tak boleh ku rawat dan tak boleh ku bendung
tika dan saat itu, aku perlukan dirimu

Suri ku suka meminta-minta apa yang tiada
Istana batu yang besar atas bukit
di mata mu bukannya sawah
di mata mu mestilah kota, katamu,
anak-anak tak perlu ramai, kerana boleh memanggang bahagia

Aku sering kedinginan ketika malam sampai
tiada suri, yang ada hanyalah angan-angan
sebuah istana burung pagi
seekor burung yang setia.

Biarpun istana burung pagi
anjungnya sudah roboh
tangganya sudah patah dan jatuh ke bawah
dindingnya terkopek dan terbuka
titisan hujan sering bertamu
tetapi aku masih punya doa dan harapan
untuk kembali membina
sebuah istana burung pagi
di mata ku ada sawah
di mata mu ada air terjun.




Lt Kol Mohd Radzi Abd Hamid
Bn ke 15 RAMD
Kem Senawang

No comments: