Thursday, March 6, 2008

CERPEN: SURAT BUAT KEKASIH, SURIKU

(Telah disiarkan dalam majalah wanita)

Dengan nama Allah yang maha penyayang lagi pemurah, Abang menciptakan warkah kenangan ini untukmu. Semoga kata-kata usapan kerinduan akan membuka hatimu.

Sayang, setelah dua puluh tiga tahun tidak menjengah kampung ini, kampung yang telah kita buang dari ingatan. Ketika itu, kampung ini gelap-gelita ketika malamnya. Yang ada hanyalah bunyi mergastua. Tatkala jari sang suria melabuhkan tirainya, riuhnya seperti perang. Tiada sesiapa pun pernah mengira berapakah jumlah mergastua yang berpesta menyambut kedatangan malam. Rata-ratanya mengatakan yang berbunyi itu adalah reriang hijau dan orang-orang tua menggunakan bunyi tersebut untuk menAbangtkan anak-anak kecil termasuklah dirimu dan diriku, ketika kita kecil. Tidak ada tempat yang lebih cantik melainkan paya rumbia dan caruknya yang jernih dengan anak-anak ikan seluang, pelaga siam dan belacak berenang dengan bebas menyaksikan sejarah persahabatan kita terjalin. Bukan setanak nasi jauhnya, bahkan melebihi hayat pokok remia yang bangun dengan megah di simpang tiga. Simpang tiga itu memang bersimpang tiga. Dari arah Bukit Enggang terbentang jalan masuk ke kampung kita yang jaraknya tiga batang rokok daun. Simpang ke kanan menuju ke ke Kampung Teloi Tua dan bertemu dengan jalan besar menuju ke Baling. Manakala simpang kiri pula menuju ke Kampung Charuk Padang yang sebahagian dihuni oleh masyarakat Siam. Itulah jalan yang paling tidak digemari oleh mu, kekasihku, kerana ketika melintasi kawasan rumah-rumah siam, kita akan melihat hampir lima puluh anak-anak babi sedang menyondol selut di bawah pokok-pokok kopi yang ditanam di kanan jalan. Anak-anak babi yang berwarna putih kemerahan merupakan binatang ternakan penduduk bangsa siam dan ini akan menyebabkan dirimu loya dan tidak selera untuk menjamah makan. Kadang-kadang mualmu berlarutan hingga ke minggu.

Jalan itu adalah satu-satunya jalan yang boleh dilalui untuk ke bandar ketika kampung kita dilanda bah kerana dua jalan lagi ditenggelami air. Abanglah yang paling suka bila bah melanda kerana ia akan menenggelamkan semua sawah padi, retak, dan jalan. Kelihatan seperti laut. Maka abang bersama Jat, Senun, Dolah akan menjadikan padang air tersebut tempat kami bertarung kapal layar yang dibuat dari mayang kelapa. Kau, Sania, Noriah dan Jah akan melihat dari tebing di tepi Simpang Tiga sambil menutup mulut kerana kadang-kala ada kapal layar yang tenggelam. Memang, pertandingan itu sering kali dimenangi oleh Jat kerana dia memang pandai memilih mayang dan bijak mengagak berat selut yang perlu digunakan untuk mengimbangi kapal layar, lagipun dia lebih tua dari kami. Sawah itu juga akan menyaksikan kami berlumba mengejar burung puyuh, bermain wau kemetek dan menyusuri sungainya mencari rebung muda. Suasana ini akan berlAbang selepas padi dituai. Suasana itu terakam indah dalam minda kita kerana kita membesar bersamanya. Kita membesar bersama pokok remia, sungai, paya rumbia, sawah padi dan anak-anak ikan.

Sayangku, malam ini iaitu selepas dua puluh tiga tahun, Abang kembali mengatur langkah menuju ke kampung yang telah kita tinggalkan. Sengaja Abang melalui jalan yang sama kita gunakan ketika meninggalkan kampung dulu. Sebenarnya, ketika di Pekan Gurun tidak ada lagi teksi atau kereta sapu yang sanggup menghantar penumpang pada waktu malam kerana bimbang ditahan penyamun di tengah perjalanan. Setelah meyakinkan seorang Pak Cik Tua yang memandu teksi lama, beliau akhirnya sanggup menghantar Abang ke simpang masuk ke kampung kita dengan syarat Abang membayar jumlah tambang untuk empat orang penumpang. Abang tidak ada pilihan dan bersetuju. Dalam perjalanan, kami berbual tentang banyak perkara. Perkara pertama yang ditanya kepada Abang ialah apakah tujuan Abang nak ke kampung itu. Kata Abang hanya nak menziarahi sahabat lama. Berbohong sebenarnya tapi malas hendak berbual.

Ketika teksi menurunkan Abang di simpang itu, azan maghrib berkumandang dari surau yang di tepi jalan yang bersebelah dengan tanah perkuburan. Di situlah ibu dikebumikan ketika Abang berumur dua tahun. Selepas itu, bagiku ibumu adalah ibuku juga. Abang melangkah dalam samar-samar remang senja, kelihatan deretan dua buah kedai papan yang hampir sama seperti masa kita tinggalkan. Tidak banyak berubah, Cuma ianya diterangi oleh cahaya lampu kalimantang. Dalam pertengahan jalan, ketika melintasi pokok sentul Abang berehat sekejap dan tunggul kayu yang kita duduk berehat malam itu telah tidak ada lagi. Abang cuma berdiri, melihat sekeliling dan melangut ke atas. Dah tinggipun pokok sentul itu, sayang.

Jika kau masih ingat jambatan yang menghubungkan jalan untuk ke kampung kita dipanggil retak. Bukan sebak ia retak tetapi begitulah bahasa kampung kita. Ada juga yang panggil titi tetapi rata-ratanya memanggil retak. Retak itu akan memanggil sesiapa sahaja untuk menoleh ke arahnya ketika ada basikal atau motosikal yang melintasinya kerana ia akan mengeluarkan bunyi yang boleh didengar hingga ke tengah kampung. Retak ini rasanya telah beralih tempat, rasa Abang retak yang menakutkan kita malam itu terletak sedikit ke hujung selekoh sungai tapi yang ini hampir selari dengan jalan. Malam itu kau memaut erat tangan abang ketika melintasinya kerana retak itu terlalu banyak lubang kerana banyak juga kayunya yang telah patah. Lubang-lubang itu adalah tempat kegemaran Jat dan Dolah untuk mengintai dirimu, Sania, Tijah dan kadang-kadang Tok Esah pun mereka intai tatkala melintasi lubang retak itu. Retak ini dah besar dan kukuh tetapi rasa Abang masih memberi bunyi sungguhpun tidak sekuat retak yang lama.

Kekasihku, debaran jantung abang semakin kencang ketika langkah mula merapati rumah pusaka ibu. Bermacam-macam jenis soalan datang dengan tiba-tiba ke minda dan bermacam-macam pula jawapan yang timbul hingga Abang jadi tidak selesa. Telah menjadi kebiasaan ayah tidak menutup pintu pagar rumah kami, juga mungkin rumahmu dulu. Rumah itu senyap dan sunyinya seperti dulu juga tetapi telah tidak ada lagi nyanyian mergastua yang menakutkan kita.
“Assalamualaikum!” lalu Abang memberi salam.
“Mualaikumusalam” bunyi suara yang agak garau. Agaknya seperti suara ayah. Ketika pintu rumah tua itu dibuka, kelihatan seorang tua yang masih gagah dengan ketayap putih di atas kepala. Itulah ayah dan seumur hidup abang tidak akan silap menelah sungguhpun jika di lihat dari belakang. Ayah merenung tajam.
“Astafirullahul azimmmmmm, Adi!” ayah istighfar panjang. Lalu disambutnya tanganku yang sedikit sejuk dan Abang mencium tangan tua itu setelah dua puluh tiga tahun tidak mencium dan memeluknya. Lansungnya airmata menitis dan Abang berusaha kuat untuk menahan sebak. Lalu kami duduk di ruang dapur.
“Pergilah mandi dan solat dulu, lepas tu kita makan” cakap ayah dengan perlahan.

Esuknya tanpa sempat matahari melepasi kepala, berita kepulangan abang telah tersebar hingga ke rumah Pak Lang Kecik iaitu rumah yang paling akhir di kampung kita. Sejak itu, rumah tua ayah dikunjungi tetamu hingga ke senja. Orang yang pertama sampai ialah Tok Lang Piah iaitu insan yang menjaga Abang setelah emak kembali ke rahmatullah. Setakat ini tidak ada sesiapa pun yang bertanyakan tentang dirimu, termasuklah ayah dan ibumu. Ketika bersalam dengan ibumu, Abang menggenggam tangan ibumu dengan erat sekali dan menciumnya agak lama. Ibumu mengusap kepala abang. Abang rasa mungkin mereka memang dah tahu apa yang telah terjadi padamu. Justeru Abang tidak ditanya langsung dan Abang sebenarnya tertunggu-tunggu untuk ditanya kerana batin meronta-ronta untuk menerangkan apa yang telah berlaku. Jat sejak dari dia sampai awal pagi tadi sehingga kini, dia masih ada, tersandar di dinding sebelah kiri ruang tamu rumah tua itu. Barangkali melepaskan rindunya pada seorang sahabat lama ataupun menunggu masa yang luang untuk berbual lebih panjang dengan abang. Jat dah kahwin dan dikurniakan lima anak. Dia telah pun bekerja sebagai pencuci tali air di kawasan kampung kita, di samping bertanggungjawab menjaga rumah enjin air.

Sayang, Abang tidak berhajat untuk bercerita terlalu panjang tentang kampung kita kerana Abang amat mengharapkan agar Ina pulang dan menyaksikannya sendiri. Setelah tiga hari di kampung, akhirnya soalan tentang dirimu diluahkan juga oleh ayahku. Abang bercerita dari awal hingga akhir seperti yang dikehendaki oleh dirimu kekasihku.

“Ayah, terlebih dahulu Adi memohon ampun dan maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki atas kesilapan lalu dan Adi kembali adalah untuk membina satu dunia yang baru dengan restu ayah juga”.
“Yang lalu tu biarlah berlalu Adi, ayah pun dah tua untuk mengingatkannya”. Jawab ayah dengan tenang.

Abang pun meneruskan cerita.
“Ina masih di kota tetapi bukanlah Ina yang ayah kenal dua puluh tiga tahun yang lalu; sopan santun dan sendat dengan budi. Dia dah jauh berubah dan kami tidak lagi bersahabat atas sebab pendapat dan haluan yang berbeza” jelas abang dengan jujur.
“Kami berkahwin secara yang sah tetapi bahtera kami tidak lama kerana hidup di kota sering mencabar kami, lebih-lebih lagi Ina tetapi kami tetap bersahabat dengan baik. Maklumlah cucu-cucu ayah dah besar”.
Mulut ayah ternganga luas. Tanpa dapat bersabar dia bertanya macam peluru.
”Kenapa tak bawa balik?”. Berapa orang semua sekali?”. Berapa lelaki, berapa perempuan?. Yang kecil umur berapa tahun?. Yang sulung kerja apa?”. Tanya ayah terburu-buru.
Kau sepatutnya membenarkan Abang membawa mereka pulang berjumpa dengan satu-satunya datuk mereka. Kalau tidak pun, bagilah Abang bawa Risya sebab dia lebih bijak dan bersopan. Ayah mesti tertawan dengan sikapnya yang saling tak tumpah seperti arwah ibu.

“Ayah, kami dikurniakan tiga orang anak, dua perempuan dan satu lelaki. Yang sulung bernama Risya Nurain, telahpun bekerja sebagai seorang doktor di Hospital Besar di Kota. Inilah anak yang menyebabkan kami lari dari kampung ayah”. Sambung abang.
“Dahlah tu, jangan dikenang-kenang lagi”. Pinta ayah.
“Anak yang kedua juga perempuan, bernama Risya A’idah, telahpun bekerja sendiri iaitu membantu ibunya dalam mengurus butik kami. Manakala yang bongsu adalah lelaki bernama seperti nama ayah. Kini berada di London sedang belajar dalam jurusan sejarah. Itulah cucu-cucu ayah yang sempat Ina lahirkan selama dua puluh tiga tahun kami berumah tangga”. Abang akhiri kata dengan penuh debar dan harapan.

Kekasihku, Abang percaya ayah akan sayang cucu-cucunya kerana Abanglah satu-satu zuriatnya kerana dengan melihat suasana rumah tua ini, Abang yakin ayah masih membujang. Gambar arwah ibu yang masih tergantung di dinding meyakini Abang. Selepas itu, ayah mohon diri, katanya nak ke surau ada mesyuarat kenduri kahwin. Begitulah kampung kita Ina, surau menjadi tempat mesyuarat sejak dulu lagi.

Ina, sungguhpun kita tidak bersama lagi, pulanglah ke kampung dan bawalah bersama cucu-cucunya. Abang percaya sejuk kaki Bukit Enggang akan mengembalikan kesopanan kepadamu. Abang yakin Pak Teh dan Mak Teh juga tak sabar nak melihat dirimu dan cucu-cucu mereka setelah hilang dua puluh tiga tahun. Esuk, lusa adalah hari mengetam padi, cuma dua hari sahaja lagi. Pulanglah Ina kerana hari mengetam padi adalah ketika yang paling baik untuk kita merungkai kekusustan. Itulah amalan di kampung kita. Semua orang kampung telah melupakan cerita kita. Maruah kampung dan keluarga kita yang tercalit dulu telah dilupakan orang. Yang ada hanyalah muka-muka kerinduan dan air mata menagih kepulanganmu. Sungguhpun hatimu telah tertutup tetapi Abang percaya hatimu tidak tertutup untuk kedua orang tuamu. Apa yang boleh Abang buat melainkan penyesalan yang amat sangat atas kesilapan yang Abang buat iaitu melukakan hatimu kerana nafsu syaitan yang menyesatkan. Abang tahu kau telah bersabar untuk selama dua puluh tiga tahun dan di sepanjang itu juga kau telah bersabar dan dirimu sering ditemani air mata yang tak pernah dipinta. Kesabaranmu akhirnya pecah juga dan terus menutupi hatimu untuk ku. Kehilanganmu mula menyedarkan Abang akan pentingnya dirimu padAbang.

Kekasihku, maafkanlah Abang dan pulanglah.








Abang
Kampung Tanjung
14 Nov 2003

3 comments:

marvicn.com said...

tak tahu la pulak u ni suka berkarya...actualy i have one with me..still not yet finish..terbengkalai lama dah..anyway, i am interested to read all of ur work in this blogspot...will start reading marathon soon....

marvicn.com said...

sedih nya aku baca this letter.

Fazzy said...

terharu baca surat. mudah2 roh mereka ditempatkan di syurga. Amin.