Thursday, March 6, 2008

cerpen: KEMBOJA DI LAMAN CHIN PENG

(Lt Kol Mohd Radzi bin Abd Hamid)

‘.......Sekeluarga Dengan Besar Hati Menjemput YBhg Dato’ Seri Jen Abdul Rahman bin Mustaffa dan keluarga ke Majlis Perkahwinan Anak Kami iaitu Kapt Sulaiman bin Sharif’.

Demikian antara bait ucapan undangan perkahwinan yang tercatat kemas dengan tulisan warna emas dalam kad jemputan yang di terima pada dua minggu lepas. Di sudut atas kanan kad terdapat gambar timbul dua ekor burung merpati menggigit dua kuntum bunga dan di bawah burung tersebut tertera nama kedua-dua bakal mempelai iaitu Sulaiman dan Fatihah. Selepas membaca kad tersebut, saya termenung seketika kerana di dada kad tercatat nama aibu bapa mempelai iaitu “Puan Melia binti Muis dan Allahyarham Lt Sharif bin Osman PJK....”
Dua puluh tiga tahun yang lalu, saya dan bapa bakal mempelai lelaki menjalani latihan pegawai kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD). Sharif yang datang dari Sik, Kedah merupakan Pegawai Kadet yang paling tinggi iaitu enam kaki empat inci. Lantaran itu Sharif mendapat nama jolokan ‘camel’. Beliau merupakan seorang pegawai kadet yang yang amat aktif di dalam bidang sukan dan tipikal produk dari MTD – ‘work hard, enjoy hard’. Setelah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda, kami ditukarkan ke pasukan yang sama iaitu Batalion Kedua Askar Melayu di Kem Mentakab, Pahang. Sharif ditempatkan di Platun Helang Kompeni Alpha dan saya di Platun Harimau Kompeni Charlie. Dua tahun kemudian, Sharif dinaikkan pangkat ke Leftenan lebih awal. Ketika itu saya sedang menjalankan Operasi Khas bersama Platun Harimau di timur hutan Pahang.
Ketinggian beliau menyukarkan Sharif untuk mendapat buah hati. Jika adapun anak-anak gadis negeri Pahang yang diminatinya, terpaksa dilupakan kerana perbezaan ketinggian yang ketara. Justeru tatkala menemui seorang jururawat yang bekerja di Hospital Mentakab yang mempunyai ketinggian hampir sama dengannya, peluang tersebut di genggam erat.
“Eeerr, Cik, kat mana Wad 8 ye?”. Tanya Lt Sharif kepada jururawat bertugas. Ketika itu, saya sedang berdiri di belakangnya.
“Encik boleh ikut saya kerana saya pun nak ke Wad 8”. Jawab jururawat bertugas dan ketika ia bangun, saya nampak namanya ialah Melia. Itulah perbualan pertama Lt Sharif dan Cik Melia binti Muis. Bermula dari saat itu, Lt Sharif dilanda mabuk asmara dengan Cik Melia. Tiga bulan selepas itu, kami sibuk menguruskan perkahwinan Lt Sharif. Selepas kahwin, Lt Sharif mabuk dalam saga cinta pada Melia. Warkah rindu Lt Sharif dari perbatasan kepada isteri seperti tidak pernah putus. Pantang ada singgahan pesawat NURI di Markas Kompeni, Lt Sharif sanggup meredah hutan dan lurah, melebihi 50 km untuk menentukan warkah rindunya dikeluarkan dari hutan. Adakalanya beliau mengutus tidak kurang dari 9 ke 10 pucuk surat segaligus. Itulah saga cinta Lt Sharif dengan Melia. Beliau sentiasa ingat jumlah surat yang dihantar. Sebenarnya, kadang-kadang dunia saga cintanya yang terlalu kuat ini menyusahkan pegawai-pegawai atasan kerana sikap beliau sentiasa diungkit oleh isteri-isteri pegawai yang lain yang mana mereka menuntut perkara yang sama dari suami masing-masing.
Tanggal 12 Ogos 1989, kami diterbangkan khas dengan NURI ke belantara di sempadan Thailand bagi memburu Chin Peng dan anjing-anjingnya. Platun Harimau diturunkan di Marker Lima Zulu dan Platun Helang diturunkan di Marker Lima Alpha. Jarak antara kedua-dua lokasi lebih kurang tujuh hari perjalanan tanpa bebanan meredah hutan tebal dan sekurang-kurangnya 11 buah gunung terpaksa didaki. Justeru kami hanya dapat berhubung dengan menggunakan radio. Boleh di katakan setiap dua hari sekali kami akan berhubung dengan kata kod ‘masuk rumah’. Bila dapat kod ‘masuk rumah’, frekuensi radio akan ditukar ke frekuensi yang kosong dan hanya diketahui kami berdua. Dengan menggunakan frekuensi ini kami boleh berbual dengan bebas. Sharif sebenarnya tertekan dengan kerinduan saga cinta kepada isterinya. Maklumlah beroperasi di tengah hutan selama tiga ke empat bulan. Pada hari-hari terakhir operasi kami, Sharif agak kerap berhubung dengan saya. Beliau menceritakan perkara-perkara yang akan dilakukan oleh beliau setelah kembali dari operasi. Pada saat itu saya rasakan Sharif tidak lagi boleh menanggung bebanan rindu pada Melia yang bertahi lalat di bibir atas sebelah kiri. Sharif berhasrat untuk memperuntukkan masa sepenuhnya melayani isterinya ke pasar, bersiar-siar di taman, menonton wayang dan macam-macam lagi. Dan yang paling menggembirakan beliau ialah permohonan isterinya untuk bertukar tempat kerja yang berhampiran dengan kem telah diluluskan. Lt Sharif menitiskan air mata ketika memaklumkan berita gembira tersebut.
Selepas cukup tempoh operasi, kami diterbangkan ke Kem Transit, Klian Intan sementara menunggu kereta api khas untuk membawa kami pulang ke Kem Mentakab. Platun Sharif diterbangkan keluar lebih awal kerana kedudukannya agak jauh ke dalam hutan. Manakala platun saya dikeluarkan seminggu selepas itu kerana masalah kabus tebal yang membahayakan pendaratan NURI. Ketika helikopter mendarat di Kem Transit, dari jauh lagi saya telah melihat Lt Sharif sedang menunggu di tepi padang. Kami bersalam dan berpelukan, kehangatan dan genggaman tangannya dapat membayangkan betapa rindunya pada saya. Selama seminggu di Kem Klian Intan, saya lihat Sharif setiap petang pergi ke Pekan Grik dan ada-ada saja barang yang dibelikan untuk isteri dan anaknya - SULAIMAN. Untuk isterinya, antara barang yang dibeli ialah sebuah kalkulator solar bagi memudahkan kerja-kerja isterinya di bank. Untuk Sulaiman, dibelinya sebuah jam tangan Citizen. “Dia dah besar sekarang”, Sharif memberitahu kami dengan pancaran kegembiraan melimpah di matanya.
Cahaya matahari seperti merangkak terlalu perlahan pada hari terakhir kami berada di kem transit. Cuaca yang agak panas amat meletihkan kami yang sedang memunggah barang ke dalam gerabak kerana kereta api akan berlepas selepas makan tengahari. Setelah tiga bulan beroperasi di hutan, meronda perbatasan saban hari, menimba pengalaman, semua anggota tidak sabar lagi untuk tiba di rumah memeluk anak dan isteri. Suara-suara gembira dan jenaka nakal dilontar seperti ‘balik rumah terus banjir’, ‘balik tabur kacang’, dan macam-macam lagi. Suasana ceria itu, tiba-tiba pecah dengan bunyi tembakan yang tidak pasti dari arah mana. Kami bersusup sasap mendapatkan senjata dan berlari ke kubu pertahanan masing-masing. Rupa-rupanya operasi belum selesai.
Pelan Tindakan Pertahanan Serta Merta pun dilaksanakan. Setiap anggota berlari ke kubu dengan senjata. Ada yang tidak sempat memakai kasut. Dalam tempoh tidak sampai satu minit, Kem Transit siap untuk di pertahankan. Platun Mortar di dalam kubu khas siap dalam kedudukan untuk menembak. Pada tahap ini, semua anggota akan berada di kubu sehingga penggeledahan selesai oleh Platun Harimau. Tidak ada sesiapa pun dibenarkan berada di luar kubu.
“Arah tembakan datang dari lereng bukit Pt 652, bering 567 mils, jenis senjata ialah Karbine”. Jelas Pegawai Risik kepada saya sambil menunjuk kepada peta yang tergantung di dinding Bilik Operasi.
“Tuan, Platun Harimau akan di pecah kepada empat, dua kumpulan memasang serang hendap di simpang denai dan Ladang Pulai. Dua kumpulan lagi akan menggeledah. Kami bergerak sekarang”. Dengan penerangan ringkas tersebut, saya berlari ke lokasi pengumpulan kecemasan Platun Harimau yang telah sedia menunggu. Dengan arahan yang ringkas, kami pun bergerak ke sasaran masing-masing. Operasi menggeledah selama lebih tiga jam tidak mendapat hasil. Kesan tapak kaki pemburu dan penduduk tempatan berselirat di merata tempat dan bercampur dengan kesan penembak curi dari kumpulan Chin Peng yang lebih dikenali dengan ‘Black Jacket’..
“Hallo! One di sini Harimau, sasaran hilang, Harimau kembali ke sarang, over”. Lapor operator radio ke Markas Operasi.
“One, Harimau satu tinggal, Harimau dua, tiga dan empat kembali ke sarang, out”. Suara Pegawai Risik jelas di dengar dari set perhubungan Platun Harimau.
“OK! Harimau satu tinggal, yang lain ikut saya” saya memberi arahan kepada Platun Harimau.
“Tuan, sasaran telah digeledah hingga ke puncak bukit Pt 652. Terlalu banyak kesan tapak kaki manusia. Ini menyukarkan anggota pengesan meneliti kesan yang ada.”. Lapur saya kepada Pegawai Risik, sebaik tiba di Markas Operasi.
“Hallo! semua stesen, semak kekuatan dan lapor”. Arah Pegawai Risik melalui radio perhubungan kepada semua ketua kubu.
“Hallo One, disini dua dua, Lima Tanggo (Lt) Sharif tak ada di kubunya”. Suara Penolong kepada Lt Sharif jelas didengar melalui corong suara radio. Saya bingkas melompat keluar dari kubu dan berlari ke kubu Lt Sharif.
“Harimau dua dan tiga ikut saya”. Jerit saya kepada Platun Harimau. Dua kumpulan kecil dari Platun Harimau bergegas mengikuti larian saya ke permatang sebelah kiri Kem Transit.
“Di mana kamu nampak Lt Sharif kali terakhir?”. Tanya saya kepada anggota yang berada di dalam kubu Lt Sharif.
“Di bawah Tuan, dekat sungai”. Jawab Pbt Musa.
“Harimau Dua! Geledah kawasan jambatan, Harimau Tiga ikut saya”. Sambil berlari ke lembah sungai, saya menjerit arahan tersebut. Di situ, Lt Sharif selalu duduk berbual dengan penduduk tempatan yang tinggal berhampiran.
“Masya-Allah”. Ucap saya sambil beristighfar panjang. Kami menemui Lt Sharif terbaring dengan berlumuran darah di kepala dan badannya. Lt Sharif terus kami angkat ke atas bukit. Langsungnya bergegas ke Hospital Grik dan doktor bekerja keras untuk menyelamat Lt Sharif. Lt Sharif, seorang sahabat, seorang ayah dan seorang suami yang penyayang. Seorang suami yang mendambakan saga cinta dan rindu pada isterinya, cedera parah. Saya duduk di sebelah kiri kepala dengan memegang tangannya dan berbisik dengannya. Matanya merenung saya dengan sayu dan mendalam seakan-akan beliau membayangkan satu harapan kepada saya. Pastinya, fikiran Lt Sharif mengingati isteri dan anaknya. Terkenang saya pada jam citizen dan kalkulator solar. Sehinggalah jam 5.30 petang, di Hospital Grik, Lt Sharif kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah. Ia amat memeranjatkan kami khususnya Platun Helang. Kepada Puan Melia dan Sulaiman semestinya kiamat yang berlorong gelap menimpa mereka. Hakikatnya, dunia ceria mereka telah berakhir.
Saya diarahkan mengurus jenazah Allahyarham Lt Sharif mengikut tradisi ketenteraan di tanah kelahirannya iaitu Kampung Belantik, Sik, Kedah. Setelah mendapat arahan dari Pegawai Memerintah dan menerima Bendera Malaysia, kami pun bergerak ke kampung Lt Sharif. Pengebumian jenazah Lt Sharif dilakukan penuh dengan tradisi, tujuh das tembakan dilepaskan, tetuang dibunyikan bersahut-sahutan, bendera Malaysia tercinta dilipat tiga segi saya kilik dan berjalan penuh tertib dan sayu menuju kepada Puan Melia dan Sulaiman. Saat itu, airmata saya bertunda-tunda ingin melimpah keluar.
“Puan! Saya bagi pihak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Negara Malaysia dan seluruh rakyatnya, bagi pihak Angkatan Tentera Malaysia khususnya Tentera Darat dan seluruh warganya, bagi pihak Rejimen Kedua Askar Melayu Diraja, dengan kalimah Allah, kami serahkan Bendera Malaysia yang mana kerananya Lt Sharif bin Osman telah berjuang dan terkorban. Negara Malaysia dan seluruh rakyatnya, bernafas dengan nyawanya”. Lalu bendera diserahkan pada Puan Melia. Pada saat itu saya tidak berkekuatan untuk memandang raut muka Puan Melia, kerana jika di pandang, nescaya akan gugurlah kesedihan yang saya bendung sejak dari tadi. Sejak itu, saya tidak lagi bertemu dengan Puan Melia dan Sulaiman kerana ditugaskan sebagai pensyarah jemputan di ‘Royal Military University of Scotland’.
Anak lelaki Lt Sharif iaitu Sulaiman adalah seorang anak yang pintar, lulusan Universiti Teknologi dalam jurusan Teknologi Angkasa. Sulaiman di tawarkan kerja di Jabatan Angkasa Lepas Negara tetapi di tolaknya. Beliau kemudian menyuarakan hasratnya untuk menyertai Tentera Darat. Puan Melia ternganga.
“Masuk askar selepas semua ini?” tanya ibunya.
“Ya” jawab Sulaiman dengan bulat dan jujur. Puan Melia merajuk hampir sepuluh hari.
“Ibu, Sulaiman anak ayah. Seluruh darah yang mengalir di badan Sulaiman adalah sama seperti ayah. Ayah telah berjuang dan mengorbankan dirinya demi negara dan keamanan yang kita kecapi hari ini” Kata sulaiman pada satu petang.
“Tapi ibu tidak mahu lagi merasakan derita kehilangan. Dulu, Ibu kehilangan ayah tetapi ibu masih punyai Sulaiman. Selepas ini, sekiranya ibu kehilangan Sulaiman, Ibu takkan punyai sesiapa lagi”. Jelas Puan Melia.
“Sulaiman anak jantan, Ibu!. Sekiranya darah dan nyawa ayah tidak dibela, hidup Sulaiman tidak bermakna. Lagipun pembunuh ayah, Chin Peng, masih bebas. Sulaiman masih berpeluang untuk menuntut bela”. Tegas Sulaiman.
“Negara telah sekian lama merdeka, yang sudah tu sudahlah. Tidak perlulah kita berdendam” tersekat-sekat suara Puan Melia.
“Ini bukan soal dendam mak. Selagi darah ayah mengalir dalam diri saya, kematian ayah wajib saya bela. Chin Peng dan anjing-anjingnya wajib saya buru hingga akhir hayat” Jitu suara Sulaiman. Akhirnya dengan berat hati Puan Melia merestui Sulaiman menjalani Latihan Pegawai Kadet Graduan di Kem Sg Besi. Kapt Sulaiman, datang ke pejabat saya pada pagi dua minggu lepas untuk menjemput saya ke majlis perkahwinannya. Majlis perkahwinan Kapt Sulaiman berjalan dengan lancar, penuh tradisi dan penuh meriah. Ketika melihat Kapt Sulaiman dan surinya melangkah di bawah pedang, dengan tiba-tiba hati saya menjadi sebak dan mata digenangi air mata. Itulah Lt Sharif pada dua puluh tahun yang lalu dan saya menjadi pengapit ketika beliau bersanding. Semoga Allah sentiasa memberkati roh Lt Sharif. Semoga Puan Melia dan Sulaiman tabah menghidu bau kemboja dari Chin Peng di

5 comments:

sharifah said...

adakah ini pengalamn realiti yang tuan pernah hadapi?

Eddiez Chieyla Pheonixussien said...

Tuan, ne kisah benar ke, dan dgr khabar akan buat drama tv....

PENA CELORENG said...

Ia berlatarkan kisah benar. Penggambaran sedang berjalan di port dickson. Kalau berdekatan boleh singgah tgk dan bergambar dgn pelakon. Pagi ini, kami di Lapangsasar Port Dickson (dekat lampu isyarat pertam selepas keluar dari lebuhrayan seremban KL, Ptg di muzium TD.

PUTERA MOHD FARIZZUL ZULKIFLY said...

Terbaik tuan..Ada copy cd x cerita ni tuan..

Eddiez Chieyla Pheonixussien said...

sy pon terlepas tngok crita ne, ada gak search kt google @ youtube kot2 ada yg upload, harap2 la RTM ulang siaran ne.....blh gak tngok crita yg berdasarkan sejarah....