Thursday, March 6, 2008

cerpen:“ADNAN MASIH HIDUP”

(TELAH DISIARKAN DALAM BERITA HARIAN)

HEBOH satu negara. Gempar masyarakat Ulu Langat. Begitu juga di Sg Ramal, kecoh macam ayam terkejut ular masuk reban. Ahli-ahli sejarah negara berpecah dua tetapi ramai yang menidakkan khabar tersebut. Di Kementerian Pertahanan, dari kantin di belakang muzium hinggakan ke tingkat 20, isu ini menjadi topik hangat mengalahkan isu pembelian helikopter baru. Telefon di Cawangan Perhubungan Raya, bunyi macam bertih meletup atas belanga. Orang-orang kuat PR MINDEF, bayang pun tidak nampak; semua lari ke Sg Rengit, Pengerang. Berita yang disiarkan oleh Radio FM Klasik semalam, menggemparkan negara. LT ADNAN dan SHAHIBUL KAHFI. Begitulah bunyinya tajuk besar muka depan semua media bertulis negara pada pagi ini. BH memperuntukan lapan muka surat termasuk seluruh muka depan memaparkan gambar dan berita penemuan Lt Adnan Saidi di dalam ‘survival room’ di kubu bawah tanah pertahanan British di Bukit Pengerang. Surat Khabar negara jiran memaparkan gambar Lt Adnan sedang bersandar di tiang seri rumah Penghulu Sg Rengit.
Berita ini menyebabkan Tentera Darat terpaksa menangguhkan latihan perbarisan sambutan hari kemerdekaan. “Kalau betul wira kita masih hidup, kita bawa dia ke perbarisan merdeka tahun ini” cadang seorang ahli Parlimen dalam sidang kabinet pagi tadi. Satu mesyuarat tergempar di adakan di Kementerian Pertahanan.
“Nak siasat apa lagi, barang-barang bukti semua jelas. Senapang, benet, topi hutan, botol air, disc pengenalan dan pakaiannya, 100% mengesahkan dia adalah wira bangsa melayu – Lt Adnan.” Tegas Hj Musa, Penghulu Sg Rengit kepada suara-suara sumbang dari pemberita luar negara. “Pakar sejarah negara Prof. Dr. Mursyid Ali telah mengesahkan bahawa beliau adalah Lt Adnan bin Saidi” tambah Hj Musa lagi dengan meninggikan suaranya apabila menyebut perkataan bin.
“Penemuan ini adalah anugerah Ilahi dan rahmat kepada negara khusus Bangsa Malaysia. Keajaiban Pemuda Shahibul Kahfi di anugerahkan Tuhan kepada wira kita, bersyukurlah” Begitulah kenyataan seorang senator yang di paparkan di TV. Kalau semalam lapan muka surat, hari ini BH menyediakan sisipan khas setebal 14 muka surat yang menerangkan alkisah Lt Adnan Saidi bermula dari dalam kandungan ibunya hingga ke detik bagaimana beliau di temui dalam ‘survival room’ di Bukit Pengerang yang tinggi hanya 186 meter dari aras laut. Temu ramah dan pendapat dari semua pakar sejarah juga disiarkan. Bahkan ‘gesa’ yang dirasakan oleh anak Lt Adnan iaitu Kapten Razali bin Adnan turut disiarkan. SAYA RASA DIA ADALAH AYAH SAYA. Begitulah ucap Kapten Razali bin Adnan dalam temu ramah dengan TV 10.
Kubu pertahanan Tentera British, di Bukit Pengerang di bina semasa era mempertahankan Malaya dari penaklukan Jepun. Keseluruhan atas bukit tersebut di penuhi dengan kubu-kubu konkrit yang bermula dari Bukit Pengelih hinggalah ke puncak Bukit Pengerang. Manakala di dalam tanah pula terdapat lorong-lorong perhubungan dari kubu ke kubu yang lain, bilik gerakan, bilik rawatan, Mess Pegawai, gelanggang bola keranjang dan lapang sasar 25 meter. Di belakang bukit pula terdapat lapangan terbang. “Di mana letaknya ‘survival room” Yang Berhormat?” tanya seorang pemberita dari surat khabar parti pembangkang. “’Survival Room’ terletak di bawah lapang sasar 25 meter di sudut kanan, dianggarkan berada 100 meter ke dalam tanah.”, jawab YB dengan senyum lebar. “Macam mana YB boleh pergi dalam hutan di bukit tu?” tanya pemberita parti pembangkang sekali lagi sambil senyum sinis. “Sebenarnya, saya mempunyai rancangan untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai kawasan bersejarah dan mungkin menjadi daya tarikan pelancong ke Pengerang. “Esuk, Lt Adnan Saidi sendiri akan membuat pengumuman dan menceritakan sendiri rentetan perjuangan di Bukit Candu, terima kasih” YB mengakhiri sidang akhbar tersebut dengan mula bersalam dengan penduduk Kg Sg Rengit.
Rancangan Malaysia Hari Ini oleh Siaran TV termasyhur negara dibuka dengan penuh debaran dan sejarah pada pagi Ahad. Jalan raya utama di seluruh negara lengang, selengang-lengangnya. Di ibu kota tidak ada sekelumit bayang manusia pun yang melintas. Kutipan Plus tol pada pagi tersebut adalah sifar. Bahkan seluruh penghuni Rumah Insan Cacat Penglihatan di Wangsa maju, berhimpit-himpit di depan TV di kantin. Di kaca TV kelihatan seorang tua yang masih sasa memakai baju kebangsaan butang lima seragam hitam, bersongkok hitam tinggi senget sedikit ke kanan, dan bersamping hitam Askar Melayu. Di sebelah kanannya ialah Jen Tan Sri Datuk Seri Abd Hamid Salleh, iaitu Panglima Angkatan Tentera dan di sebelah kiri pula ialah Prof. Dr. Mursyid Ali, Pensyarah Sejarah Kenegaraan dari Universiti Negara. Di kiri sekali ialah pengacara popular negara iaitu Cik Risya Zu Nurain. Bermula dengan sedutan pendek pertempuran di Bukit Candu yang dipetik dari Filem Lt Adnan. Disusuli dengan pandang soal antara juruacara dengan Panglima Angkatan Tentera, Pensyarah Sejarah Kenegaraan, soal jawab telefon dengan penonton di rumah dan diakhiri dengan pengisahan oleh Lt Adnan Saidi sendiri.
“Assalamualaikum dan Salam Hormat kepada semua rakyat Malaysia. Sebagai mukadimah kepada alkisah yang sarat dengan sejarah negara khususnya semangat kepahlawanan melayu, marilah kita bersama-sama menyedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada rakan-rakan saya yang telah gugur, Al-Fatihah!”. Terasa suasana amat bening di studio TV dan kelihatan mata Lt Adnan Saidi bergenangan dengan air mata. “Sebenarnya, kami tidak tewas di Bukit Candu dan saya tidak digantung. Percayalah! Demi Tuhan Sekalian Alam, saya adalah Lt Adnan bin Saidi, Ketua Platun No 7, Kompeni C dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu DiRaja yang bertempur di Bukit Candu” ucap Lt Adnan dengan penuh yakin.
“Malam itu iaitu 16 Feb 1952, saya dan 12 lagi anggota Kompeni C, Batalion Pertama Askar Melayu berada dalam keadaan yang amat letih kerana kami telah bertempur dan berundur sejak dari Serimbun lagi. Hanya semangat sahaja yang menjadikan saya masih tegak dan berusaha untuk membakar semangat perjuangan anggota-anggota yang lain. Setelah berundur dari Ridge Park iaitu di Pt 276, kami terus berundur ke kilang ais di kaki Bt Candu dan pada malamnya memutuskan untuk bertahan di puncak Bt Candu.
“Maeilll! Kita akan berkubu di sini. Kerahkan semua anggota, siapkan kubu” bisik saya pada Leftenan Muda Ismail yang mana platunnya hanya tinggal 5 orang sahaja lagi. Sambil itu mata saya liar ke kiri dan ke kanan mencari baki anggota platun Leftenan Muda Ismail. Kelihatan dua darinya sedang berjaga di balik batang pokok di sebelah atas kanan. “Macam mana dengan bantuan peluru kita tuan? Saya dan anggota saya ada hanya beberapa butir sahaja lagi”. Soalan Ismail itu tak dapat saya jawab, hanya dengan berdeham saya katakan pada Ismail “siapkan kubu cepat!”. Bermula dari saat itu, kami mula bertungkus lumus menyiapkan kubu pertahanan kerana kami tahu tentera Jepun akan datang menyerang pada bila-bila masa sahaja. Pada ketika itu kapal terbang Jepun berlegar-legar di ruang angkasa Pulau Singapura dan sesekali kedengaran letupan meriam British yang berada di Fort Batrei.
Kami membahagi-bahagikan saki baki peluru yang ada dan saya memaklumkan kepada Kapten Goerge, “Tuan, peluru mesin gun hanya tinggal sedikit sahaja. Kalau bertempur lagi, saya rasa tak sampai lima kali semburan, mesin gun ni tak ada guna lagi”. “Adnan! Gunakan ia dengan bijak, dua peluru untuk satu semburan”. Jawab beliau sambil bergegas ke arah kubu yang paling kiri sekali. Kami telah bertempur sejak dari Kota Bharu lagi. Dalam pertempuran, mesin gun tidak boleh ditembak secara jimat kerana sekali tembak, 10 ke 15 butir peluru akan dimuntahkan. Saya pasti, Kapten Goerge amat maklum tentang hal ini kerana senjata mesin gun dibuat di negaranya. Saya bergerak dari kubu ke kubu mengarahkan itu dan ini berpesan pada anggota-anggota :

“Sahabat-sahabat semua, perjuangan kita kali ini adalah perjuangan antara hidup dan mati kerana kita adalah kumpulan yang terakhir bertahan dengan serba-serbi kekurangan. Jadi bersiaplah untuk bertempur dan mati di sini. Ingat moto pasukan kita ‘Tentera Darat Teras Utama Kedaulatan Negara”.

Ketika berada di dalam kubu, memori perpisahan dengan isteri di Stesen Kereta api Tanjung Pagar datang mengimbau. Beliau sedang mengandung anak kami yang ketiga. Saya katakan pada isteri saya,
“ Pulanglah ke Sg Ramal kerana di sini tidak selamat lagi dan jagalah anak-anak kita kerana saya mungkin tidak lagi dapat pulang ke rumah. Andai kata ini adalah pertemuan yang terakhir antara kita, saya memohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Jika kau sayangkan saya, jagalah anak-anak dengan baik, jangan biarkan Razali terlalu nakal. Kereta api pun sampai, kami bersalaman dan berpelukan dan itulah pertemuan terakhir saya dengan isteri saya. Isteri saya memberikan saya se pucuk surat yang tak sempat saya baca ketika itu kerana bimbangkan kapal terbang Jepun. Insya-Allah di akhir rancangan ini, akan saya bacakan kandungan surat isteri saya.
Seusai senja, kedudukan kami dihujani oleh tembakan meriam Jepun. Kubu di sebelah kanan terkena serpihan bedilan meriam Jepun dan ada anggota yang cedera. Kelihatan dalam samar cahaya lampu dari kampung di kaki bukit, benda-benda putih yang sedang bergerak. Keadaan tanah kebun getah milik British yang dijaga oleh buruh dari India adalah cerah. Di aras bawahnya memberi penglihatan hingga ke jarak 75 depa. Bunyi ranting getah yang patah akibat dipijak memecah suasana yang amat genting ketika itu menunjukkan tentera Jepun telah amat hampir dengan kedudukan kami. Tiba-tiba kedengaran bunyi tembakan senjata di sebelah kanan kubu. Tembakan tersebut disusuli dengan bunyi bising senjata Jepun dan akhirnya sunyi menghuni semula kaki Bukit Candu. Lebih kurang 6 minit kemudian, kelihatan lebih kurang 10 ke 12 orang Jepun sedang mendaki ke kawasan utama pertahanan kami. Sambil menjerit tembakkkkkk!.
Dengan mulanya arahan saya, maka bening malam pun pecah dan Bkt Candu menjadi terang dan bingit dengan bunyi letupan senjata. Pertempuran amat sengit dan saya lihat secara tiba-tiba sahaja Lt Abas telah berada di sebelah saya kerana Pbt Abu yang bersama saya dalam kubu telah pun ditembusi peluru Jepun. “Bas, kamu tolong pasangkan magazin mesingan ni dan saya akan teruskan tembakan”. “Baiklah, Nan”. “Bas, saya sanggup berjuang dan mati malam ni dengan syarat ada orang yang akan jaga keluarga dan anak-anak saya”. “saya pun begitu juga Nan. Selepas itu, Lt Abas pun berlari semula ke kubunya.
Tentera Jepun semakin ditembak, semakin ramai yang datang. Maka ini biarlah saya ceritakan saat-saat terakhir saya di Bukit Candu. Peluru mesin gun dah habis, hanya senjata peribadi saya yang ada cuma 4 butir peluru lagi dan saya menjerit ke kubu belakang “balingkan peluru kamu pada saya”. Jawab Pbt Hassan “Tuan kami pun dah tak ada peluru”. Saya terus menjerit “pasang benet “ dan selepas itu saya lihat anggota saya di belakang bangun dengan tiba-tiba menghunus benet dan bertarung dengan Jepun yang tidak tahu datangnya dari arah mana. Saya menghabisi empat peluru terakhir saya dengan menumbangkan lagi 3 tentera Jepun dan peluru terakhir saya tidak pasti kerana ketika saya melepaskan tembakan terakhir saya ada 5 ke 6 tentera Jepun yang menerkam ke arah saya. Dan kami bergelut dan saya sempat menikam ke arah seorang tentera Jepun dan merampas senjatanya. Lalu saya tembak 4 orang tentera Jepun yang menerkam ke arah saya.
“Withdraw! Withdraw!” kedengaran suara Kapten Goerge jauh dari bawah bukit. “Samat, Ismail! ikut saya” laung saya kepada Pbt Samat dan Leftenan Muda Ismail. Kami bertiga berundur perlahan-lahan. “Tuan, ada tentera Jepun ikut kita”, bisik Samat kepada saya. “Kita tidak ada pilihan lagi melainkan berundur menyusuri pantai” tegas saya. Kami mula berundur menyusuri pantai dari Tanjung Rhu terus ke Bedok. Malangnya di Bedok kami terserempak dengan sekumpulan Tentera Jepun. Pbt Samat terkena tembakan di perutnya. Saya dan Lt M Ismail bergilir-gilir memapah Pbt Samat hingga ke Kg Tanah Merah Besar. Di sini Pbt Samat menghembuskan sisa-sisa nafasnya dan kami ke bumikan di situ. Dari Kg Tanah Merah Besar kami meneruskan pengunduran ke Changi. Setelah berehat 2 hari di hutan Changi, kami mengambil keputusan untuk berenang ke Pulau Tekong Besar. Setelah hari beransur gelap, kami meneruskan renangan. Menjelang subuh, kami tiba di pantai Pulau Tekong Besar. Setelah berehat, kami menyambung renangan ke Kg Pasir Gogok. Dari Kg Pasir Gogok, dengan menggunakan perahu nelayan, kami mendayung menyeberangi Kuala Santi ke Tanjung Pengelih. Di situ kami menemui Kubu Pertahanan British yang diceritakan oleh Kapten George. Saya bernasib baik kerana dimaklumkan oleh Kapt George berkaitan bilik rahsia yang di panggil ‘survival room’ dan kami berjaya menemuinya. Malangnya bilik survival tersebut tidak boleh di buka dari dalam. Di situlah saya ditemui oleh YB tiga hari yang lepas.
Akhir kata izinkan saya memaklumkan kandungan surat terakhir isteri saya dan juga merupakan bukti bahawa saya adalah Lt Adnan bin Saidi. Isteri saya menitipkan sebuah puisi pendek yang berbunyi begini:

Abang,
Berjalan, peliharalah kaki
Berpisah, peliharalah janji
Adat pahlawan, nyawa dipertaruhkan
Adat berjuang, negara dipertahankan
Jika kita dekat, kita ingat mengingat
Jika kita jauh dan berpisah, keakraban dijalin oleh zuriat
Abang telah berjuang dan mungkin mati kesudahannya
Maka kami yang tinggal akan ingat mengingat
Cukuplah darah, sengsara dan nyawa abang
dan sahabat-sahabat yang lain
Yang tidak dapat kami tulis dan tidak tertinta
Saya dan anak-anak tidak lagi akan leka dan cuai. Insya-Allah.

Salam Sayang dari kami sekeluarga
11 Feb 1952


“Tuan! Tuannn! Bangun Tuan”, seru Pbt Samad sambil menggoncang badan saya.
“Tuan bermimpi baca sajak ke?”, tanya Pbat samad.
“ Allahuakbar!, saya mengigau, maafkan saya”, jawab saya.

1 comment:

Zaman Makmur said...

iNI cERITA BETUL KE TIPU