Thursday, March 6, 2008

Telah Ku Saksikan Sejuta Perjuangan

(Sempena Pertukaran Panji-Panji 4 RAMD Oleh DYM Sultan Kedah)

Pada tanggal 22 nov 2000
aku diarak keluar sebagai pahlawan
dengan selaksa penghargaan
setelah 39 purnama berkibar
sebagai lambang keperwiraan bangsa

Saat itu semangat masih marak dan membara
dan aku baru melangkaui dewasa dan menjadi perkasa
di dadaku terpahat sejuta parut luka pahlawan
keringat, darah dan airmata
pernah membasuhi baju perkasaku

Konfrontasi adalah tatihku di medan juang
darurat telah menyemarakkan semangatku,
singapura telah mencabar maruahku,
tanah melayu adalah dadaku yang pernah dirobek
dan congo adalah sepatuku yang telah usang

Kini duniaku amat terasing
di sebalik cermin kaca
menjadi tontonan generasi demi generasi
yang mungkin tidak mengerti makna perjuangan
esuk, salam matahari menyaksikan
tiada lagi perarakan dan derap sepatu
tiada lagi desingan peluru dan hanyir darah
yang ada hanyalah secebis angan-angan pahlawan
sebuah rumah dan sekangkang tanah yang akan diwasiatkan
dalam mimpi para balu dan generasi yang ditinggalkan.

Sebenarnya 39 purnama
bukanlah dewasa bagiku
tetapi telah jauh meninggalkan seri
dan ketika saat tua yang menjelang
hanya dua keadaan yang aku pasti
Aku telah menyaksikan darah terpercik
dan barisan demi barisan berjuang dan terkorban,
darah mungkin terpercik lagi tetapi adakah barisan hari ini
segagah pahlawan yang pernah ku saksikan.

Kem Tapah
22 Nov 2000

No comments: