Wednesday, September 2, 2009

ULASAN KETUA PENGADIL SAYEMBARA

Pertamanya, saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakan yang mengunjungi blog ini kerana 'hit counter' yang baru seminggu dimasukkan telah mencatat lebih 300 pengunjung. Keduanya, terima kasih juga atas sokongan rakan sekalian kepada idea Kelab Deklamator. Sebenarnya, idea ini bukan baru tercetus. Seingat saya, sejak saya mula-mula berjinak dengan sayembara, idea ini telah diperkatakan. Saya tidak pasti siapa yang memulakannya. Idea ini di catat dalam setiap minit mesyuarat peserta. Bagi paserta yang baru, mungkin tidak tahu bahawa pada masa yang lepas, pada hari pertama, kita akan berhadapan dengan sesi suaikenal. Kemudian kaum kerabat dimohon supaya tidak mengikut peserta supaya ia dapat bergaul dengan yang lain. Pada malam akhir sayembara, semua peserta akan menghadiri satu mesyuarat akhir yang di pengerusikan oleh Penghulu yang dilantik dan di hadiri oleh wakil-wakli dari GAPENA. Dalam mesyuarat inilah komen, cadangan, idea, rasa tak puas hati dll akan diangkat dan direkodkan. Saya memang 'confirm' akan kena jadi Penghulu pada setiap tahun yang saya sertai. Justeru, sesetengah minit tu saya masih simpan hingga ke hari ini. Kalau nak baca, kelak saya akan paparkan. Dan pada malam akhir itu juga, kita akan berkenduri sama ada di mana-mana restauran yang dipilih dan harganya berpatutan atau kenduri durian kat 'lobby' hotel je. Kenduri ini melibatkan semua peserta dan AJK. Kos kenduri ini ditanggung oleh tiga orang yang menang iaitu Johan, Naib Johan dan Ketiga. Tong-tonglah sorang sikit. Sejumlah wang diserahkan kepada Penghulu. Banyak kali juga wang tersebut tak cukup. Maka sama ada ditambah oleh Johan atau Penghulu yang kenaaaa. Banyak kali juga saya yang kenaaaa. Sekiranya ada wang lebih, akan dibawa ke tahun hadapan. Dengar ceritapun dah meriahkaannnn. Sebab tu kalau adik-adik yang baru tengok, geng otai ni boleh melawak macam-macam. Mereka dah tak kisah sebab dah sebati kerana ia melalui satu proses yang baik.
Saya masih simpan satu komen atau ulasan ketua panel semasa pertandingan akhir di Sabah. Saya ingin kongsikan bersama supaya kita dapat faedah daripadanya. Sungguhpun ulasan ini melalut tah apa-apa, tapi yang melalut tu lah diterima pakai dan kitalah mangsanya. Kalau tn/pn baca ulasan pengadil setiap tahun, akan tahulah betapa celarunya keperluan. Al maklumlah, setiap pengadil datang dari sekolah yang berbeza, kata nenek saya 'different thought'. Tatapilah ulasan ini. Jangan pening sebab GAPENA pun pening dan terkejut dengan ulasan ini dan ulasan ini juga memeningkan. Terima kasih.
L A P O R A N PENGHAKIMAN SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI
BULAN KEBANGSAAN 2003

Pendahuluan

Finalis Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan 2003 menerima penyertaan 18 peserta yakni juara bagi setiap negeri di Malaysia termasuk juara Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia. Sayembara selamat dilangsungkan di Dewan Sa’adah, Wisma Muis, Kota Kinabalu Sabah yang dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Panglima Timbalan Ketua Menteri yang mewakili YAB Datuk Haji Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah.

Para finalis ini telah membaca puisi yang diperuntukkan oleh Urusetia daripada antologi Aksara Merdeka. Para peserta itu ialah Basri Ramli juara negeri Perlis membawakan “Menjadi Warga Ternama Adalah Tanggungjawabmu”; Mohd. Zulkefli Mohd. Noor juara Negeri Sembilan membaca “Berjalan di Bumi Merdeka”; Salbiah Ajis juara Wilayah Persekutuan Labuan membaca “Mengusir Sangsi”; Siti Nor Aisyah Sit Abdullah juara Trengganu membaca “Di Tanah Bertuah Ini”; Wezan Saili juara Sarawak membaca “Kitalah Tuan”; Intan Marhayu Rahman juara Selangor membaca “Menyelusuri sungai Merdeka”; Mohd. Anwar Jamil juara IPTA membaca “Watikah Di Daerah Merdeka”; Noorfaizatul Hanim Mohd. Nor juara Kedah membaca “Lelaki Pertama Membuka Sangkar Derita”; Ahmad Saidun Mohammad Mokhtar juara Johor membaca “Untukmu, Aduhai Negeriku”; Amaruszati Noor Rahim juara Pahang membaca “Mencari Wira”; Tarmizi Osman juara Pulau Pinang membaca “Pewaris Kecemerlangan”; Suliha Yusof juara Kelantan membaca “Janji Muda Lela”; Lt. Kol. Mohd. Radzi Abdul Hamid juara angkatan tentera Malaysia membaca “Ini Ruang Persembahan Sebuah Perjuangan”; Datu Ruslan Sulai juara Sabah membawakan “Tanah Airku Saksikanlah”; Mohd. Alizan Md. Rasat juara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membaca Bahasa Cerminan Budaya Bangsa”; Azmi Ismail juara Perak membaca “Naskhah Daftar Cinta”; L/Kpl Fauziah Haji Omar juara Polis Diraja Malaysia membaca “Cinta Waja Warga Merdeka”; dan Jamilah Ishak juara Melaka membaca “Aksara Merdeka”.

Seperti sedia kita maklum bahawa matlamat Sayembara ini diadakan adalah untuk “menyerikan perayaan menyambut Bulan kemerdekaan pada setiap tahun dengan acara deklamasi puisi bersemangat kebangsaan, menanamkan semangat cintakan agama, bangsa dan negara melalui deklamasi puisi yang teratur dan sistematik; mempopularkan puisi bersemangat kebangsaan dan memartabatkannya sebagai salah satu unsur budaya yang penting dalam pembinaan negara Malaysia. (JANGAN LUPA BAHAWA KITA JUGA INGIN MENCARI JAGUH PUISI NEGARA BAGI TAHUN 2003). Para peserta membaca sebuah puisi yang ditentukan urus setia daripada antologi Aksara Merdeka secara menghafal tetapi dibenarkan membawa teks (HUJAH BERKAITAN TEKS INI BERTENTANGAN DENGAN FAHAMAN YANG DIBAWA OLEH GAPENA YANG MANA GAPENA MENOLAK TERUS PESERTA YANG MERUJUK PADA TEKS); peserta dibenarkan juga bergerak bebas di atas pentas menurut kesesuaian puisinya – yang tak sesuai boleh mengurangkan markah begitu juga peserta dibenarkan membawa alat bantu (props) yang sesuai dan tidak membahayakan.

Pada tahun ini kita sekali lagi berhadapan dengan pembacaan puisi yang bersemangat kental dan mantap bercampur dengan pembacaan yang sederhana. Peserta cuba memperlihatkan kesungguhan masing-masing termasuklah cuba menghafal puisi yang akan dideklamasikan. Tentulah pembaca sudah memahami syarat atau peraturan yang dikenakan ke atas mereka. Jika kesasar, risikonya akan mereka hadapi dengan kehilangan markah. Seperti sayembara yang lepas para penonton/khalayak masih melihat dan berhadapan dengan suasana yang “mencemaskan” itu, apabila pembaca yang mereka minati alpakan kata-kata dalam baris dan rangkap. Sekurang-kurangnya ada tujuh peserta membuat kesilapan itu. Kelupaan mereka itu menyebabkan kelicinan deklamasi terganggu. Pembaca yang pada mulanya diduga akan berjaya secara otomatis markahnya menjadi rendah. (BAGAIMANA MUNGKIN BERJAYA SECARA AUTOMATIK, INI PERLU DIJELASKAN OLEH PANEL). Dia menjadi gugup, konsentrasi terganggu, sebutan mulai tak menentu walaupun pada mulanya penampilan, suara dan kostum menyerlahkan harapan dan wibawanya. Kelemahan dasar dari aspek penghayatan, kualiti puisi, komunikatif, artikulasi, inovasi dan intonasi, kesinambungan ekspresi antara satu bait ke satu bait, antara satu kata dengan kata yang berikutnya, kata berangkai yang wajar disebut bersama (tak usah dipisahkan, atau terpisah kerana hentian yang salah), pembaca mengambil nafas pada tempat yang tidak sepatutnya dia berhenti, apabila menyambung pembacaan sudah menimbulkan makna yang aneh, pelik dan samar-samar. Pembacaan yang harmonis dengan unsur-unsur yang berpadu antara penghayatan, artikulasi, intonasi (lagu suara, alunan tinggi rendah), mimik wajah (sayu, geram, hiba, gembira, nestapa dan sebagainya), bisikan, desisan, garau parau, bentakan, hunjaman pada waktu yang damai dan pada waktu yang tegang di kemuncaknya seperti hempasan ombak ke beting karang boleh memberikan kesan yang efektif.

Pembacaan yang tegang dari awal hingga ke akhir dengan suara yang tinggi atau pembacaan yang rendah sajak awal yang akhir mendatar dan streotaip, tak akan memberi makna apa-apa pada seni deklamasi atau pembacaan puisi. Yang hadir hanya jeritan marah-marah tak menentu, emosi yang sulit dikendali, ekspresi akan menjadi kacau, kabur dan perkataan mungkin terlepas begitu sahaja atau dikulum ke dalam sehingga tak dapat didengar sebutannya yang tepat. Atau suaranya merayap rendah, mendatar hambar, tiada warna dan tak punya variasi turun naik suara yang akan memberikan kita kebosanan.

Alegori untuk deklamasi atau pembacaan yang bervariasi itu samalah seperti kita menatap situasi lautan yang ada kocak dan riaknya, ombak dan gelombangnya. Ada waktunya laut beriak tenang, di udara sekelompok camar sedang memapasi angin, me ninggi merendah, membulat, melengkung indah, kemudian secara beransur-ansur riak tenang itu, berganti dengan gemulung ombak yang kian membesar, langit perlahan-lahan mendung, angin berpuput dari puputan yang sederhana beransur keras, guruh kedengaran di kejauhan beransur mendekat dengan kilat memancar-mancar, ombak menjadi gelombang mendesah dan memukul pantai, gelombang yang dihantar taufan menghunjam karang dan tiba-tiba petir meledak! Ya, ada waktunya laut harmonis dan manis, ada waktunya laut mengancam dan memakan korban antaranya sang nelayan yang tak bersalah (mungkin jahil ilmu alam) perahunya pecah berkecai dan sang nelayan tenggelam di perut laut atau tersadai di beting karang.

Kata-kata wajar disebut dengan persis dan tepat, kita mendengar ada peserta menyebut rentet sebagai rintit, pongah menjadi pungah, lengah menjadi lingah, lintang menjadi lentang, membenteng menjadi membinting, selendang menjadi selindang. Bagaimana pembaca dapat menyebut persis sintak, sentak, santak pada konteks yang betul supaya makna sajak yang dibaca tidak kesasar. Semua ini memerlukan penguasaan yang menyeluruh bukan hanya bergantung semata-mata kepada daya hafalan semata-mata. Makna sajak akan tersimpang jauh jika kata dan kata disebut dengan tidak persis.

Penghayatan yang total, ragam atau variasi intonasi, mimik dan teknik yang sesuai akan melahirkan deklamasi atau pembacaan yang hidup yang tentunya akan diberikan respons yang hangat oleh khalayak. Itupun banyak bertolak oleh teks puisi yang baik mutunya tidak dengan serampangan sahaja puisi yang dipilih atau yang ditentukan (dipaksakan?) kepada pembaca. Respons yang apresiatif dari khalayak ini memang dapat kita saksikan pada malam akhir itu terutamanya apabila dua tiga pembaca utama membacakan puisinya. Respons sebegini tentulah di luar dugaan pembaca, namun begitu dia harus bersikap bijak mengendali konsentrasinya dan emosinya, fokusnya ialah terhadap pembacaannya, kebulatan fikirannya adalah bait-bait sajak yang belum disempurnakannya lagi. Maka wajarlah dia ‘bersabar’ dengan sambutan itu, terus mengendalikan deklamasinya dengan tenang hingga ke titik noktah yang akhir.

Kita juga menyaksikan Dewan Sa’adah hingar-bingar sebentar, apabila pembaca idola mereka membuat kesilapan sama ada terhenti untuk beberapa detik bagi mengingatkan kata yang tiba-tiba hilang tak semena-mena walhal puisi ini enteng sebelumnya, sudah dihafal begitu rupa, maka ketika diperlukan di hadapan khalayak sendiri, maka ‘dia’ merajuk menghilang diri? Ini salah siapa? Ini bukan salah sesiapa, persekitaran sekarang bukan persekitaran yang enteng lagi, pembaca kini bukan sahaja berhadapan dengan khalayak lama tetapi khalayak baru, di hadapan lima hakim yang memerhatikan dengan peraturan-peraturan rigid yang ditetapkan,tambahan pula ada tamu-tamu istimewa dengan para pembesar negeri yang juga mahu ikut menilai sama, dan mereka juga ada teks-teks di tangan, ikut menyimak. Apabila peluh dingin mulai memercik, kata tak mahu datang juga mulalah ekspresi juga melayah salah, dan yang malangnya akan tergubahlah bait-bait baru. Bukan sahaja pembaca kecewa tetapi para penyokongnya lebih kecewa lagi. Jika Hakim memberikan markah yang rendah, salahkah kami? Itulah malang yang tidak berbau itu. Saudara jangan percaya dengan keyakinan awal hafalan saudara boleh membantu dan setia selamanya kepada saudara, jika syarat mengizinkan membawa teks untuk dikerling jika lupa, maka buatlah begitu, markah tidak akan dipotong! Dalam Sayembara ini finalis tidak ada yang membawa teks, mungkin mereka sudah yakin diri, tapi akhirnya mereka dilanda kegugupan pentas apabila mulai salah satu demi satu.
Keputusan yang kami ambil bagi menentukan pemenang Sayembara ini adalah keputusan bersama dan menurut agregat seperti syarat Urus Setia.Nampaknya kami sekata dalam menentukan tiga pemenang utama itu. Agregat juara 11, agregat Naib Juara 20 dan agregat pemenang ketiga 22. Kami bersama-sama bertanggungjawab ke atas keputusan itu. Tidak ada sesiapa di luar penghakiman ini yang mempengaruhinya. Dasar-dasar yang kami ungkapkan adalah dasar yang sudah kami kuasai dengan baik semenjak Sayembara ini diadakan pada awalnya dan sudah pernah saya utarakan dalam Pengantar antologi Maruah Merdeka. Mewakili panel hakim yang lain, Dato Prof. Dr Firdaus Abdullah, Dharmawijaya, Haji Hamzah Hamdani dan Hajah Zaiton Ajmain saya mengucapkan terima kasih kepada GAPENA yang memberikan kepercayaan kepada kami bagi menghakimkan Sayembara Deklamasi peringkat Kebangsaan 2003 ini pada peringkat akhir. Kami sudah merenung dan membincangkan secara telus beberapa masalah dasar bagi memperbaiki mutu Sayembara ini pada masa akan datang dan mohon pertimbangan YBhg. Tan Sri Profesor Emeritus (Dr) Dato Ismail Hussein, Ketua I GAPENA dan YBhg. Dato Prof. Dr Abdul Latiff Bakar Ketua II GAPENA selaku Penyelaras Sayembara ini agar diberikan pertimbangan yang sewajarnya kepada beberapa saranan kami seperti berikut:

1. Bagi mengelakkan kejadian pembaca membuat kesilapan lupakan kata dan baris sajak yang dibacanya sehingga terganggu pembacaannya dan menimbulkan ‘rasa malu’ berpanjangan, maka syarat menghafal itu hendaklah dihapuskan. Peserta diizinkan menggunakan teks pada waktu yang perlu atau disediakan teks melalui kaca tv atau komputer di hadapan. Sayembara yang berlaku di negara-negara jiran Malaysia dan juga di di negara yang lebih maju termasuk dalam festival baca puisi kebanyakan pembaca/penyair masih menggunakan teks termasuklah pembaca/penyair yang terkenal berbobot.

2. Teks puisi yang digunakan dalam Aksara Merdeka ada yang di bawah mutu dan tidak sesuai untuk dibaca dan dideklamasikan, tidak komunikatif. Justeru kerana itu sulit hendak dihafalkan.

3. Bagi memertabatkan Baca Puisi Malaysia/ Sayembara Deklamasi Kebangsaan ini, wajarlah puisi yang dibaca itu dipilih daripada puisi patriotik yang bermutu karya penyair-penyair tersohor tanahair dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Sebuah kumpulan puisi yang menghimpunkan pilihan puisi yang bermutu ini boleh diterbitkan dan dipilih oleh panel pemilih yang ditunjuk GAPENA dan diterbitkan dalam penerbitan yang prestigious dan diberikan pengantar oleh sarjana puisi tanahair.

4. Sayembara menulis puisi patriotik untuk bakat-bakat baru seperti yang sudah dianjurkan seperti sekarang ini wajar diteruskan bagi menggali bakat-bakat baru dengan tema patriotisme dan tak perlu disyaratkan berapa panjang dan pendeknya. Dari masa ke semasa penyair yang berbakat besar puisinya akan diikuttambahkan dalam buku prestigious yang diterbitkan itu.

5. Bagi memberikan kesan yang lebih jitu peserta Sayembara masa depan akan membaca dua buah puisi yakni Sajak Wajib dan Sajak Pilihan. Sajak Wajib (misalnya “Tanah Air” oleh Usman Awang) akan dibaca oleh semua peserta pada peringkat Negeri dan peringkat Akhir. Sajak Pilihan adalah pilhan peserta daripada antologi mahakarya yang akan diterbitkan itu. Mereka memilih sendiri, mengikut selera dan kesesuaian jiwanya bukan diberikan, diundi dan menerimanya secara terpaksa.

6. Dalam masa terdekat, GAPENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka boleh bekerjasama menganjurkan pertemuan bersama pakar/sarjana puisi/antusias/seniman/deklamator bagi satu Wacana dan bengkel baca puisi supaya kita dapat sama-sama belajar mendengar pembacaan puisi yang standard daripada pembaca puisi Timur dan Barat. Sebagai contoh Baca Puisi oleh Pablo Neruda, Yevtushenko, Allen Ginsberg, Richard Burton dan Rendra bolehlah dipertimbangkan. Mungkin Rendra boleh didatangkan dari Indonesia. Begitu juga rakaman pembacaan puisi Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur dan Festival Puisi Dunia yang lain boleh dirujuki juga. Hal ini penting agar kita dapat kembali kepada pembacaan yang betul .

Penutup

Panel Hakim mengucapkan tahniah kepada semua peserta Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan 2003. Anda telah memperlihatkan sumbangan kepada pembentukan Seni Baca Puisi tanahair. Sebenarnya setiap anda adalah juara dan pemuka Seni Baca Puisi kerana anda mewakili negeri masing-masing. Anda merupakan jembatan kepada khalayak bagi melestarikan semangat patriotisme dan mengobarkan rasa cinta terhadap tanahair, bangsa dan agama. Bacaan yang mengesankan bermula daripada penghayatan yang mendalam, sikap jujur kepada kesenian. Makna puisi erat hubungannya dengan nilai-nilai keindahan dan kita semua boleh bekerjasama lebih erat lagi bagi melestarikan cinta kita kepada kesenian puisi dan tanah air yang kita cintai ini. Kami memilih mutiara yang lebih memancar sinarnya dari sekelompok mutiara yang belum sempurna gilapannya. Saudara, esok masih ada dan peluang masih terbuka!
Negeri Sabah di bawah bayu,
Kinabalu disaput awan;
Mustika hayat puisi Melayu,
Cinta dijunjung para sasterawan.
Kinabalu disaput awan,
Lengkung pelangi bersisip tujuh;
Cinta dijunjung para sasterawan,
Matlamat ampuh Wawasan kukuh.

Dato Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Ketua Hakim, Kota Kinabalu 24 Ogos 2003

1 comment:

D'Rimba said...

Tahun ini langsung tiada ulasan hakim. Ada baiknya juga ada buruknya juga. Makin didengar makinlah terkeliru adakala. Apapun tahniah menyiarkan dokumentasi bermakna ini untuk ditelitikan kami anak muda. Jika ada apa untuk dibantu akan hal persatuan deklamasi itu, bolehlah tuan hubungi saya ya. InsyaAllah saya bantu apa yang saya tahu dan mampu sebaiknya. Sila tunjuk ajar ya Tuan. Dahulupun di Johor tahun 2005 Tuan ada beri sedikit kaedah deklamasi kepada saya. Masih terpahat lagi apa yang Tuan katakan ubtuk saya simpan jadikan azimat.