Sunday, September 6, 2009

KELAB DEKLAMATOR

Seperti yang telah saya katakan iaitu idea berkaitan kelab deklamator ini bukan baru dan saya sendiri tak tahu siapakah pencetusnya. Justeru, bila ada member hantar sms dan katakan isu tersebut adalah idea beliau, jadi saya kurang bersetuju sebab member tu pun baru dua kali masuk sayembara dan merupakan pendatang baru. Dia tetap berkeras, tapi saya tetap jawab 'tak betul' sebab saya ada bukti. Bukti pertama ialah minit mesyuarat tahun 2002, dalam Perkara Keenam dan bukti kedua ialah surat rasmi saya kepada Tan Sri Prof Emeritus Dato' Ismail Hussein yang mengangkat idea tersebut kepada GAPENA pada tahun 2002. Bersama ini saya kepilkan minit berkenaan. Manakala surat tersebut di pertemuan yang lain. Pada tahun itu (2002) sayembara di lakukan di Perlis. Sebagai penghulu, saya telah mengutuskan 3 pucuk surat iaitu kepada Tan Sri (memaklumkan beberapa masalah dan cadangan peserta), Tn Hj Rejab F.I. (ucapan terima kasih peserta kepada 3P - penganjur) dan kepada surat tahniah peserta kepada Johan iaitu Norhasnida). Bagi yang berkenaan, bacalah minit mesyuarat ini (kembaran tidak disertakan). Idea siapa tidak penting, yang penting ialah kelab ini mesti di lestarikan. Saya sedang menyiapkan kertas kerjanya (logo, objektif, organisasi, syarat-syarat, dll) bagi keperluan pendaftaran. Siapa ada cadangan logo n cogankata, sila emailkan (radzi_hamid@yahoo.com). Bersabar.

Cawangan Sumber Manusia
Markas Tentera Darat
Kementerian Pertahanan
50634 Jalan Padang tembak
Kuala Lumpur

03 – 26921333 Samb 2254

Ogos 2002

PUISI/PERLIS/2002

Lihat Agihan

MINIT MESYUARAT PESERTA-PESERTA SAYEMBARA PUISI PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2002 DI BILIK MAYANG SARI, HOTEL PUTERA, PERLIS, PADA 23 OGOS 2002 JAM 1430

Rujuk:

A. Minit Mesyuarat Peserta Sayembara Puisi Peringkat Kebangsaan tahun 2001.

Kehadiran:

Mej Mohd Radzi bin Abd Hamid, ATM, Pengerusi
En. Ag. Asim bin Ag. Besar, WP Labuan
Puan Amaruszati binti Noor Rahim, Pahang
En. Benyamin Matusin, Sarawak
En. Dulamid Rudin, Sabah
En. Fairuzan bin Majid, WP K.Lumpur
Cik Farah Nabila Noor binti Anuar, N.Sembilan
Insp Mohamed bin Mahat, Melaka
Puan Intan Marhayu binti Rahman, Selangor
Kpl Yusuf bin Ramji, PDRM
En. Mohd Shuhaimi bin Hj Zubir, Perak
En. Muhammad Shahrib bin Haron, IPTA
Cik Noorfaizatul Hanim binti Mohd Nor, Kedah
En. Samsul bin A.Wahab, Johor
Cik Siti Nur Zafran binti Zainal Abidin, Kelantan
En. Tarmizi bin Osman, P.Pinang
YM Tg Anizan Tg Ibrahim, Terengganu
Cik Nor Hasnida binti Ab Ghani, Perlis

PENDAHULUAN

1. Pengerusi mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta kerana hadir dalam mesyuarat. Seterusnya mengalu-alukan penyertaan peserta-peserta yang kali pertama terlibat. Pengerusi menegaskan semua peserta perlu mempunyai sikap terbuka kerana dalam rumpun peserta akan berlaku senda gurau antara satu sama lain. Sungguhpun kadangkala senda gurau tersebut pahit untuk ditelan tetapi ianya adalah satu kaedah perhubungan atau interaksi antara satu sama lain.

2. Pengerusi menerangkan bahawa resolusi-resolusi yang dikemukakan dalam mesyuarat 2001 telah dicatat dan satu salinan minit telah dimajukan kepada GAPENA.

PERKARA-PERKARA BERBANGKIT

3. Tabung Kewangan Peserta. Pengerusi memaklumkan bahawa Baki Tabung Peserta 2001 ialah RM 56.05 sen seperti yang dicatat dalam minit 2001. Baki tersebut ada dalam simpanan Pengerusi dan akan dibawa ke tahun 2002.

PERKARA PERTAMA: UCAPAN PENGHARGAAN

4. Semua peserta menyarankan agar Ucapan Penghargaan dan berterima kasih perlu dizahirkan kepada GAPENA dan 3P kerana telah mencuba sebaik mungkin untuk menyediakan semua kemudahan kepada peserta khususnya saguhati wang berjumlah RM 200.00. Sungguhpun jumlah ini agak kecil tetapi ianya sedikit sebanyak dapat meringankan beban peserta-peserta.

5. Keputusan. Saguhati RM 200.00 kepada semua peserta dikekalkan dan jumlah tersebut adalah sesuai.

PERKARA KEDUA: PENTAS UNTUK PERSEMBAHAN

6. Peserta Melaka menyatakan masalah pentas yang tidak siap mengganggu persiapan peserta. Seboleh-bolehnya pentas hendaklah disiapkan selewat-lewatnya sebelum raptai/latihan akhir peserta. Ini akan membolehkan peserta membuat keputusan untuk memilih ruang persembahannya. Seterusnya menyarankan agar pentas dirangka oleh GAPENA sendiri.

7. Peserta IPTA menyarankan agar pentas hendaklah ‘standard’ dan tetap.

8. Pengerusi menjelaskan bahawa masalah pentas yang tidak siap bukanlah satu perkara baru dalam Sayembara Puisi Kebangsaan. Peristiwa pertandingan berlangsung walhal pentas masih belum siap pada tahun 2001 adalah satu keadaan yang perlu dijadikan ‘alah biasa tegal biasa’. Justeru ia tidak perlu dihiraukan sangat kerana mungkin boleh mengganggu persembahan. Walau bagaimanapun saranan peserta akan disampaikan kepada GAPENA.

9. Keputusan. Perkara keadaan pentas tidak siap akan disampaikan kepada GAPENA.

PERKARA KETIGA: KETEPATAN MASA DAN DISIPLIN ANGGOTA

10. Peserta Perak memaklumkan bahawa ada segelintir peserta yang tidak menepati waktu yang telah ditetapkan untuk sesuatu tujuan. Perkara seperti ini tidak sewajarnya berlaku kerana ia memberi gambaran negatif terhadap peserta, melengahkan pergerakan dan menyulitkan hal-hal pentadbiran.

11. Pengerusi menegaskan bahawa kelewatan peserta tidak sewajarnya berlaku kerana hal ini telah ditegaskan semasa perjumpaan pertama. Situasi ini amat memeranjatkan kerana ia berlaku kepada peserta-peserta baru yang seharusnya lebih menepati waktu dari peserta-peserta veteran. Kegagalan memaklum pergerakan juga telah menyulitkan pentadbiran seperti mana berlaku semasa acara riadah ke Padang Besar. Pengerusi menyarankan agar sikap menepati masa dijadikan satu budaya diri masing-masing.

12. Peserta Selangor menyatakan bahawa YB Menteri menunggu untuk minum bersama-sama peserta selepas pertandingan selesai kerana ada sebahagian peserta yang telah pulang dengan bas.

13. Pengerusi menyatakan bahawa perkara ini berlaku adalah disebabkan kesilapan Pengerusi sendiri iaitu tidak memaklumkan kepada semua peserta berkaitan adanya jamuan selepas pertandingan. Justeru Pengerusi memohon maaf dan menjelaskan bahawa beliau beranggapan semua peserta mengetahui budaya jamuan selepas pertandingan. Seterusnya beliau menjelaskan ketiadaan bas yang dikhaskan untuk peserta juga menyulitkan beliau yang mana bas yang dinaiki oleh majoriti peserta telah bergerak terlebih dahulu, sedangkan beliau masih berusaha mencari 3 orang peserta lain yang lewat.

14. Peserta IPTA memohon maaf daripada semua peserta khususnya GAPENA kerana lewat untuk melapur diri. Beliau menjelaskan bahawa ia terlibat dengan peperiksaan akademik di UiTM.

15. Keputusan. Semua pihak mengambil maklum.

PERKARA KEEMPAT: TARAF PERTANDINGAN SAYEMBARA PUISI KEBANGSAAN

16. Peserta Sabah menyatakan bahawa adalah baik mempakejkan sayembara puisi dalam satu festival tetapi malangnya Pertandingan Sayembara Puisi yang sepatutnya menjadi acara utama telah menjadi acara selingan. Justeru perkara-perkara yang melibatkan peserta dilihat sebagai tidak penting. Bahkan tidak ada liputan media massa yang memaklumkan adanya acara sayembara puisi. Hanya kaum kerabat sahaja yang mengetahui acara tersebut. Beliau menyarankan agar acara sayembara dikekalkan sebagai acara utama

17. Pengerusi menjelaskan situasi tersebut berlaku kerana masalah untuk mendapatkan penaja acara sayembara puisi yang dihadapi oleh GAPENA. Pengerusi berpendapat bahawa status sayembara puisi telah turun sedikit tarafnya lanjutan dari pertukaran nama Sayembara Puisi Peringkat Kebangsaan kepada Sayembara Puisi Sempena Bulan Kemerdekaan. Pertukaran nama tersebut samada secara sedar atau tidak ianya seperti ada satu anjakan strategi yang mungkin mempunyai objektif yang sukar ditafsirkan. Beliau menambah isu ini tidak perlu digembar-gemburkan dan peserta harus melihatnya dengan positif dan seterusnya dijadikan satu sumber perangsang untuk memberi persembahan yang lebih baik.

18. Keputusan. Perkara ini akan disampaikan kepada GAPENA.

PERKARA KELIMA: MASALAH PENGIRING

19. Pengerusi memaklumkan ada sesetengah peserta menyuarakan rasa tidak senang dengan kehadiran pengiring-pengiring peserta. Perkara berkaitan pengiring telah pun dinyatakan secara jelas dalam arahan sayembara yang dihantar oleh GAPENA. Terdapat pengiring yang mengekori peserta ke mana sahaja hinggakan ke bilik solek yang sempit.

20. Pengerusi menjelaskan perkara ini bukanlah masalah peserta tetapi masalah urusetia sayembara iaitu GAPENA. Maka biarlah GAPENA menyelesaikan masalah ini kerana sekiranya GAPENA membenarkan peserta membawa pengiring dan menginap bersama peserta samada secara sah atau tidak sah, ianya akan memberi kesan pada jangka masa panjang. Pengerusi percaya pada sayembara akan datang, kehadiran pengiring mungkin bertambah kerana perkara ini telah diringankan semasa di Perlis.

21. Keputusan. Perkara akan disampaikan kepada GAPENA.

PERKARA KEENAM: KELAB DEKLAMATOR

22. Peserta Sarawak bertanyakan tentang kedudukan Kelab Deklamator. Beliau menyatakan kelab ini amat penting untuk menaikkan taraf deklamator.

23. Perbincangan berkaitan Kelab Deklamator menerima idea-idea berikut:

a. Peserta Perlis bersetuju dengan cadangan tersebut.

b. Manakala peserta Terengganu memaklumkan bahawa di Terengganu, kaum hawa tidak boleh membaca puisi. Justeru masalah seperti ini wajar diselesaikan oleh kelab deklamator.

c. Peserta Melaka menyarankan Kelab Deklamator perlu bernaung di bawah GAPENA.

d. Peserta Sarawak mencadangkan agar GAPENA didesak menubuhkan Kelab Deklamator, menyediakan peruntukan, meningkatkan taraf pendeklamator melalui kelab, dan penubuhan segera kelab.

e. Peserta Pahang mencadangkan agar kelab menentukan bayaran kepada deklamator jemputan dalam apa-apa pun acara.

f. Peserta IPT menyarankan agar peserta sendiri memiliki inisiatif iaitu mencari dan berusaha untuk mendapatkan tempat bagi dirinya membaca puisi dalam apa-apa pun acara. Beliau juga menambah agar kelab ini didukung oleh bekas-bekas johan kebangsaan.

24. Pengerusi menjelaskan kepada semua peserta bahawa isu Kelab Deklamator bukanlah satu perkara baru dan ianya bukanlah mudah seperti apa yang diperkatakan. Penubuhan kelab adalah perkara yang mudah dan ia boleh ditubuhkan sekarang tetapi mengaktif dan menjalankan peranan kelab adalah perkara yang sukar. Wujudnya kesukaran ini kerana adanya masalah-masalah berikut:

a. ‘Kroni Puisi vs Suku Sakat Puisi’. Penganjur-penganjur acara puisi hanya akan menjemput sahabat-sahabat mereka, orang yang dikenali, saudara mara atau anak-anak kenalan sahaja tanpa mengira kebolehan berpuisi. Justeru pendeklamator-pendeklamator ‘kecil berhati besar’ tidak dijemput. Situasi ini sukar diubah kerana ia seakan-akan telah menjadi budaya Malaysia dalam apa-apa pun acara.

b. Pentingkan Diri Sendiri. Faktor ini merupakan sebab utama yang akan menjejaskan fungsi Kelab Deklamtor. Pengerusi mengemukakan contoh acara baca puisi di Kedah dan beberapa pendeklamator dari negeri-negeri yang agak jauh telah dijemput sedangkan pendeklamator negeri Kedah (berdekatan) tidak dijemput. Sepatutnya pendeklamator yang jauh menyuarakan kepada penganjur adalah lebih baik si polan dari Kedah (berdekatan) dijemput kerana lebih sesuai dan ekonomi bukannya berdiam diri untuk membolot saguhati. Perasaan hormat kepada sahabat (deklamator berdekatan) perlu ada dalam diri setiap deklamator. Pengerusi memaklumkan bahawa beliau sendiri menolak jemputan membaca puisi dalam acara lawatan KDYMM SPB YDP Agong di Sabah dan Sambutan Hari Kemerdekaan Negeri Pahang yang dikelolakan oleh ATM dan menyarankan kepada penganjur untuk menjemput deklamator-deklamator yang ada di kawasan tersebut.

c. ‘Deklamator seperti Cendawan Tumbuh’. Faktor jumlah deklamator juga perlu diambil kira. Dewasa ini semua pihak atau individu ingin membaca puisi tanpa mengira kedudukan atau kebolehannya. Samada disebabkan oleh faktor minat atau pun saguhati adalah sukar ditelah. Bahkan penulis-penulis puisi sendiri, pak-pak menteri termasuk isteri atau mak-mak menteri, tokoh-tokoh korporat dan kanak-kanak sekolah berlumba untuk membaca puisi sehinggakan ‘deklamator berhati besar’ dipinggirkan. Situasi ini perlu dilihat dalam skop yang positif dan membina kerana berpuisi itu adalah hak semua individu.

25. Keputusan. Bagi mengatasi masalah-masalah yang dinyatakan di atas, Pengerusi menyarankan semua deklamator mengambil tindakan-tindakan berikut:

a. Berusaha memasukkan dirinya dalam ‘kroni’.

b. Bernaung di bawah persatuan-persatuan sastera dan menjadi ahli yang aktif.

c. Sentiasa menawarkan diri (buat muka tebal/tembok) kepada penganjur-penganjur acara baca puisi.

d. Jika masih tidak dijemput, jadilah penganjur acara baca puisi dengan peruntukan yang dicari sendiri dan jemputlah sahabat deklamator.

e. Jika masih tidak dijemput juga, datanglah menyaksikan acara baca puisi dengan penuh minat pada dunia puisi dan bertemu dengan rakan ‘kroni’ yang dijemput.

PERKARA KETUJUH: MENGHORMATI KEPUTUSAN JURI HAKIM

26. Pengerusi menjelaskan bahawa setiap tahun ada pemenang yang dinobatkan. Di sepanjang pengalaman lima kali menyertai Sayembara Puisi Peringkat Kebangsaan belum ada lagi keputusan pengadil/juri yang disukai oleh peserta yang tidak menang atau pun memuaskan hati semua pihak. Imbauan kejadian keputusan di Pahang harus dijadikan sempadan dan teladan. Pengerusi menyeru semua peserta agar menerima keputusan pengadil/juri dengan hati yang terbuka. Sekiranya keputusan diragui dan tidak dihormati, ianya seperti kita tidak menghormati rakan deklamator sendiri. Jika tidak mahu menghormati keputusan pengadil/juri sekalipun tetapi hormatlah rakan deklamator yang dinobatkan sebagai pemenang pada hari-hari terakhir sayembara.

PERKARA KELAPAN: BUDAYA BERKONGSI KEMENANGAN

27. Peserta Melaka mencadangkan agar budaya berkongsi kemenangan diteruskan iaitu melalui sumbangan Johan, Naib Johan dan Tempat Ketiga. Sungguh perkara dan sumbangan ini kecil tetapi ianya memberi erti yang mendalam kepada semua peserta, urusetia dan pihak-pihak lain yang terlibat.

28. Semua peserta bersetuju dengan cadangan tersebut dan memohon pengerusi menjelaskan tentang sumbangan yang perlu di ikhlaskan. Pengerusi memaklumkan bahawa sumbangan yang telah dibudayakan ialah seperti berikut:

a. Johan - RM 200.00
b. Naib Johan - RM 150.00
c. Ketiga - RM 100.00

29. Sekiranya jumlah tersebut tidak mencukupi, ianya akan ditambah oleh Johan dan Naib Johan.

PERKARA KESEMBILAN: HAL-HAL LAIN

30. Tanda Kenangan Sayembara. Peserta Sarawak mencadangkan agar GAPENA membuat tanda kenangan sayembara seperti T-Shirt.

31. CD/Video Sayembara. Peserta Johor menyarankan supaya CD/Video Sayembara diusahakan dan peserta sanggup membayarnya.

32. Perhubungan Antara Urusetia Dengan Peserta. Semua peserta mengharapkan perhubungan yang lebih akrab dan harmoni terjalin antara urusetia dan peserta. Sikap saling menghormati perlu dipraktikkan kerana semua pihak datang dari pelbagai lapisan umur dan ucapan-ucapan yang boleh mengecilkan hati mana-mana pihak hendaklah dielakkan.

33. Saling Menghormati. Peserta Melaka menyatakan ada sesetengah peserta baru yang boleh dimasukkan dalam golongan ‘adik’ atau ‘anak’ beliau telah membahasakan ‘I’ dan ‘YOU’ semasa berbual dengannya. Ini amatlah tidak sesuai kerana panggilan ‘ABANG’ atau ‘PAK CIK’ lebih santun.

34. Alamat Peserta. Semua alamat peserta-peserta adalah seperti di Kembaran A.

35. Pecahan Perbelanjaan. Perbelanjaan bagi majlis Berkongsi Kemenangan adalah seperti di Kembaran B.

36. Laman WEB Sayembara. Pengerusi memaklumkan bahawa beliau sedang membina laman WEB sayembara dan insya-Allah akan dilancarkan.

PENUTUP

37. Pengerusi mengucapkan terima kasih kerana telah kali kelima dilantik sebagai Penghulu dan Pengerusi. Justeru ketika tugas dilaksanakan semestinya ada asam dan garamnya. Oleh yang demikian, Pengerusi memohon maaf sekiranya terkasar bahasa dan terimalah teguran dengan positif.

38. Mesyuarat ditangguhkan pada 1643.




MOHD RADZI BIN ABD HAMID
Peserta ATM
Pengerusi

Kembaran:

A. Alamat Peserta-Peserta Sayembara Puisi Peringkat Kebangsaan tahun 2002.
B. Pecahan Perbelanjaan Terperinci Malam Berkongsi Kemenangan.

Agihan:

Tindakan:
GAPENA
(Untuk Perhatian: Tan Sri Prof. Emeritus Dato’ Ismail Hussein
Prof Madya Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar
Sdr. Abdul Aziz bin Mohd Ali)

Maklumat:

3P
(Untuk Perhatian: Sdr. Rejab F.I)

Peserta-Peserta:

En. Ag. Asim bin Ag. Besar, WP Labuan
Puan Amaruszati binti Noor Rahim, Pahang
En. Benyamin Matusin, Sarawak
En. Dulamid Rudin, Sabah
En. Fairuzan bin Majid, WP K.Lumpur
Cik Farah Nabila Noor binti Anuar, N.Sembilan
Insp Mohamed bin Mahat, Melaka
Puan Intan Marhayu binti Rahman, Selangor
Kpl Yusuf bin Ramji, PDRM
En. Mohd Shuhaimi bin Hj Zubir, Perak
En. Muhammad Shahrib bin Haron, IPTA
Cik Noorfaizatul Hanim binti Mohd Nor, Kedah
En. Samsul bin A.Wahab, Johor
Cik Siti Nur Zafran binti Zainal Abidin, Kelantan
En. Tarmizi bin Osman, P.Pinang
YM Tg Anizan Tg Ibrahim, Terengganu
Cik Nor Hasnida binti Ab Ghani, Perlis

fail: 3937/RADZI/PERS/SAYEMBARA 2002
p/s minit mesyuarat di hantar kepada semua peserta

1 comment:

D'Rimba said...

Tidak sabar rasanya menunggu klab deklamasi ini wujud. Penting benar untuk mencari banyak pentas pertandingan setiap tahun untuk deklamator termasuk juara-juara kebangsaan bertanding semula. Juga format baru yang lebih segar dan menyeluruh pengiktirafan kepada karya, penulis dan deklamator seiring setiap tahun. Setiap tahun buku baru dan karya baru yang akan dijulang bersama penulis dan deklamator. Jika ada apa-apa saya rela dan bersedia membantu apa yang saya tahu dan mampu. Sila tunjuk ajar ya Tuan.