Saturday, August 29, 2009

PERISTIWA DI JABBAL RAHMAH

Seperti yang saya janjikan dalam artikel terdahulu perihal dua kisah unik dan anih semasa berada di tanah haram. Saya berkongsi cerita ini, bukanlah bertujuan untuk mendedahkan keburukan sahabat tetapi ingin menjadikan kisah ini sebagai satu pedoman dan renungan kita bersama sempena Ramadan al-mubarak ini. Insyaallah.
Semasa di tanah haram, kami ada melakukan lawatan ke Jabbal Rahmah iaitu bukit kekasih. Di sinilah Nabi Allah Adam dan Hawa bertemu semula selepas diturunkan kebumi. Kisah ini difirman kan Allah S.W.T di dalam Surah Al-A'raf. Mengikut huraian ulama dan ada yang mengatakan ia sebagai kisah 'israel liat', setelah Nabi Allah Adam di keluarkan dari syurga kerana melanggar larangan Allah, baginda dan hawa dikeluarkan dari syurga tetapi masih di atas langit. Setelah sekian lama, baginda memohon supaya diberi satu tempat untuk memulakan penghidupan. Maka ia diturunkan ke bumi yang ketika itu belum berpenghuni. Nabi Adam dikatakan diturunkan di benua India. Manakala Hawa diturunkan di sempadan Yaman. Saya telahpun berkunjung ke lokasi yang dikatakan Nabi Adam diturunkan di India dan saya mendapati cerita israel liat ini ada logiknya. Ini kerana di kawasan ini tumbuhnya banyak pohon-pohon dari syurga dan dua spesis binatang yang dikatakan diturunkan bersama Adam terlalu banyak di sini. Kawasan ini terkenal dengan produk minyak dan kayu wangi yang dibuat dari pohon-pohon syurga yang tinggi menjulang. Ia tumbuh hasil daun-daun kayu yang diambil Adam untuk menutup dirinya. (Insyallah diruang yang lain saya boleh menceritakan kisah ini dengan panjang lebar bersama petikan surah, jika tn/pn berminat nak tahu)
Kita kembali pada cerita Jabbal Rahmah. Oleh kerana ia adalah lokasi pertemuan Adam dengan kekasihnya Hawa, maka ia juga dikenali sebagai bukit kekasih. Terkenal sebagai lokasi untuk berdoa bagi yang susah bertemu jodoh, bagi yang ingin memohon dipanjangkan jodoh, dikukuhkan rasa kasih dan sayang. Oleh kerana bukit itu agak tinggi, maka dalam kumpulan kami yang ramai orang tua, hanya saya dan sepasang suami isteri (haji dan hajjah) yang mendaki bukit tersebut. Saya pun naik, sembahyang sunat diatasnya dan berdoa (difahamkan sekarang dah tak ada ruang untuk sembahyang kerana penuh dengan peniaga). Ramai juga kawan-kawan yang kirimkan doa untuk cepat bertemu jodoh termasuk kakak saya yang telah hampir 6 tahun menjadi ibu tunggal yang mana abang ipar saya yang terbaik meninggal dunia semasa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bekerja. Beliau dilanggar oleh seorang pemuda cina yang mabuk ketika memandu kereta 'sport'. Saya juga berdoa buat diri saya dan buah hati saya. 'Kalau memang disuratkan ia adalah hak saya, mohon dirapatkan segera; kalau ia bukan hak saya, mohon dijauhkan dan ditemukan ia dengan siempunyanya, Amin'. Begitulah lebih kurang isi kandungan antara banyak-banyak doa saya.
Saya dapati haji tadi tidak berdoa, beliau asyik dan sibuk mengambil gambar. Hajjah yang duduk disebelah saya berdoa sampai menangis-nangis hingga situasi itu menggugat emosi saya. Saya dan hajjah menyelesaikan doa dan turun ke bawah kerana jemaah yang lain sedang tunggu dalam bas. Tn haji dah jauh di hadapan. Mereka sekitar umur dekat 50an gitu. Dalam perjalanan menuruni Jabbal Rahmah, saya bertanyakan apakah yang dihajati oleh hajjah sehingga begitu sekali doanya. hajjah menjawab begini:
"Saya hanya ada satu sahaja doa, saya mohon supaya tn haji ceraikan saya dengan segera"
Nauzubillahh, saya terkejut dan tiba-tiba air mata menitis tanpa dapat diseka lagi. Saya rasa menangis kategori ini adalah kategori baru. Selalunya orang menangis bila dalam kesakitan, kesedihan, dan kegembiraan sahaja. Tapi saya tidak sedih, tidak sakit dan tidak juga gembira. Saya terkejut, terkejutpun boleh buat kita menangis.
Sehingga hari ini saya tidak boleh melupakan detik itu. Sekembali dibilik, saya sedikit sugul dan disedari oleh rakan sebilik dan ditanya oleh beliau. Saya katakan, kemudianlah saya akan kongsi cerita ini iaitu selepas meninggalkan tanah haram. Saya tak pasti sama ada mereka masih bersama atau telah berpisah.
Maafkan saya.

No comments: