Sunday, August 30, 2009

LEGA, PUISI AMBANG MERDEKA

Apabila dimaklumkan bahawa ambang merdeka peringkat negara tak jadi buat, aku lega sungguhhh. Lepas tu, sajak di kem pun tak jadi sebab ada kes H1N1. Ini mesti ada yang tak ambil vaksin sebab anggota dalam kem saya semua ambil vaksin H1N1. Acara ambang merdeka tu dibatalkan terus. Jadi saya pergi ke selangor dengan hati yang lega. Lokasinya saya tak pasti. Katanya dibuat di kawasan legar Kelana Jaya. Saya terfikir Tasik Kelana Jaya yang dah cantik sebelah dengan Pusat Latihan MAS. Saya pernah baca puisi di tasik tu dua kali.

Acara dirancang bermula jam 10 mlm. Saya bertolak dari rumah lebih awal. Lagipun dah biasa begitu, acara orang, kita kena hormat. Sejak dulu saya amalkan akan tiba di lokasi bagi apa-apa acarapun satu ke dua jam sebelum. Sekitar jam 5 ptg mcm tu dan sampai di lokasi acara lebih kurang jam 0630 ptg. Pergi merayap di pusat membeli belah dulu. Oleh kerana meja membuka puasa penganjur dah penuh, saya pergi kedai mamak je, nampak mcm kedai mamak tapi mok cik melayu yang jual. Silap saya juga sebab tak bagi tau nak datang awal. Lagipun saya sekarang ni tak makan sangat. Nasi dah lama ditinggalkan, hampir 3 tahun. Mee goreng sepinggan dah cukup untuk saya.

Sekitar jam 930 mlm, saya pergi ke lokasi dan bertemu dengan Cik Amran (Raihan), dia jelaskan macam mana acara akan berlangsung. Sepatutnya saya baca satu sajak sahaja tetapi DJ IKIM tak jadi baca sajak, jadi saya kena balun dua sajak. Memang dah agak dari awal lagi. Acara bermula dengan tahlil ringkas di atas pentas bagi mengenang pejuang-pejuang kemerdekaan, kemudian satu lagu ketuhanan dari Kump Raihan, disusuli dengan sajak saya bertajuk Doa Keamanan (sajak ni pernah disiarkan dalam Berita Harian). Banyak juga Kump Nasyid seperti Rabani, Hijaz, Kump penyanyi dari Negara China, Razak, Akay dll. Mereka memang baik sungguh. Melihat kepada susunan acara, saya sangat tertarik kerana konsepnya jauh berubah. Ambang merdeka ini lebih kesyukuran kepada Tuhan dan keinsafan. Ramai adik-adik dari Rumah Anak Yatim yang datang. 3 minit sebelum laungan merdeka adalah sajak saya bertajuk 'Gema Laungan Merdeka' (Sajak ini pernah di baca oleh Fauziah Ghouse dalam acara Menjunjung Damai di Bukit Jalil). Bangga juga bila artis baca sajak kita sebab bukannya bagus sangat sajak kita. Bacaan terganggu sikit sebab nak kejar masa.

Habis sajak saya, kita laungkan merdeka tujuh kali, lagu Negaraku dan diakhiri dengan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Habis acara, kami dijamu khas. Saya duduk sebelah dengan Pengerusi Akhbar Sinar. Nak jadi cerita, kami sama-sama minat daging kambing. Masakan malam tu ala Arab, memang sedap sungguh. Tetamu yang lain elergi sepi dengan kambing, jadi kami berdua juga pantang tapi pantang jumpa. Habuan kami berdua je laaa.

Dalam perbualan dengan Kumpulan Raihan, mereka bagitahu bahawa minggu lepas ada buat persembahan di kem saya. Saya diam jelahhh sebab saya yang bosssnya dan nak jemput Raihan. Tapi semasa acara tu berlangsung saya terpaksa tinggalkan kepada pembantu sebab kena jadi Ketua Pusat Peperiksaan Kenaikan Pangkat Pegawai Tentera di Bukit Tinggi. Jadi mereka tak kenal saya. Walaupun saya dibayar tidak seperti yang dicakapkan oleh sahabat baik saya, saya tidak berkecil hati. Saya sangat bersyukur sebab sekurang-kurangnya saya telah dihargai. Kalau tidak malam tu duduk kat rumah je. Bagi saya bayaran tu perkara yang tak ada dalam perkiraan sebab minat yang tinggi. Lagipun dah biasa sangat, sajak dalam acara tentera, tak di bayar. Kita yang kena bayar. Ada pendeklamator yang menetapkan harga shiling. Janganlah macam tuu. Sekurang-kurangnya kita menimba pengalaman.

Terima Kasih Pengalaman.

DOA KEAMANAN (telah disiarkan oleh Berita Harian)
(Karya: Mohd Radzi Abd Hamid)

DI CELAH REKAHAN SUSILA
DI LINDUNGAN BAYANG RUNTUHAN BUDAYA
DI SEBALIK KEBINGUNGAN BAHASA IBUNDA
KAMI MEMOHON SEBUAH KEAMANAN
BAGI BUMI MALAYSIA YANG TERCINTA
DOA KAMI MELEKAT DI BILAH SINAR MENTARI
MEMANJAT LANGIT KE ANGKASA RAYA
KURNIAILAH KAMI SEBUAH KEDAMAIAN YANG PANJANG
KURNIAILAH KAMI SEGENGGAM SEMANGAT
NESCAYA AKAN KAMI JAGA SEBAIKNYA
AKAN KAMI INDAHKAN RUANGNYA
AKAN KAMI BANGUNKAN KOTA DENGAN JAYA
AGAR BUMI INI TERPELIHARA DARI MALAPETAKA.

DI CELAH GEMA PEKIKAN MERDEKA
DEMI JASA DAN NYAWA PARA PEJUANG YANG TELAH DISANDARKAN
DOA KAMI BERSAMA LAUNGANNYA
TEGAKKAN SUSILA ANAK BANGSA
KUKUHKAN JATI DIRI GENERASI
AGAR MALAYSIA DAMAI SELAMANYA
AGAR KITA KENAL AKAN AKAR ASAL JADI

DI CELAH GEMA LAUNGAN MERDEKA
MARILAH
KITA PELIHARA PEMBERIAN YANG ADA
KERANA IA ADALAH ANUGERAH TUHAN YANG ESA
USAH KITA ASYIK BERPESTA DAN LEKA
NESCAYA BUMI INDAH INI AKAN GERHANA
JIKA KITA TERUS ALPA.

DI CELAH GEMA LAUNGAN MERDEKA
MARILAH KITA PERKUKUHKAN AZAM
MARILAH KITA MEMPERTAJAMKAN TEKAD
BUMI MALAYSIA PERLU DIJAGA
AGAR GENERASI SELEPASNYA
TIDAK HILANG PUNCA
HITAM KATA TINGGAL – TINGGALLAH HITAM
PUTIH KATA TINGGAL – BAHAGIA MENJELMA
MERDEKALAH KITA, NEGARAKU MALAYSIA
DARI KEKALUTAN DAN SENGKETA.

GEMA LAUNGAN MERDEKA
(Karya: Lt Kol Mohd Radzi Abd Hamid)

MALAYSIAKU
MERDEKA BUKANNYA PERCIKAN BUNGA API
YANG BERSERAK DI DADA LANGIT
YANG SIRNANYA MENJADI GEGAK DEK SORAK
MERDEKA BUKANNYA SETAKAT PEKIKAN ‘MERDEKA’
YANG DILAUNGKAN KETIKAN JAM BERDETIK DI KEPALA
KEMUDIAN KITA BERDANSA BERPESTA PENUH ALPA

MALAYSIAKU
MERDEKA ADALAH BUMI BERTUAH
YANG DIANUGERAHKAN TUHAN KEPADA KITA
UNTUK DIBAJA DIJAGA SEBIJAKNYA
MERDEKA KITA TELAH DIDIRIKAN DENGAN DARAH DAN NYAWA PARA PERWIRA
MERDEKA KITA TELAH DIBANGUNKAN DENGAN AKAL BIJAKSANA PARA PEMIMPIN

MERDEKA INI ADALAH SEBUAH KEBEBASAN YANG DIWARISKAN PENUH RAHSIA
RAHSIA DALAM SEJUTA RAHSIA YANG MINTA DIBONGKAR
MERDEKA ADALAH KITA DAN GENERASI YANG AKAN DATANG
YANG MENDUKUNG WAWASAN NEGARA
YANG HARUS MENJADI BIJAKSANA
UNTUK MENGISI KEMERDEKAAN YANG DIWARISKAN

MALAYSIAKU
KEMERDEKAAN HARI INI ADALAH CERITA KITA
YANG PERCAYA KEPADA TUHAN
MERDEKA ADALAH KITA YANG SETIA KEPADA RAJA DAN NEGARA
BERDIRI TEGAP BERSAMA BARISAN PERJUANG
MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN DARI ANASIR DURJANA
MERDEKA ADALAH KITA YANG MENGIKAT KELUHURAN PERLEMBAGAAN DI DADANYA
ADALAH KITA YANG MENGHORMATI KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
MERDEKA ADALAH KITA, BANGSA MALAYSIA YANG MENUNJANG KESOPANAN DAN KESUSILAAN
UNTUK MENJADI GEMILANG, CEMERLANG DAN TERBILANG
MALAYSIAKU
LAUNGKANLAH MERDEKA DENGAN PENUH RASA RENDAH DIRI,
BERSYUKUR KEPADA TUHAN
DAN MELANGKAH GAGAH KE MERCU JAYA.

1 comment:

D'Rimba said...

Hebat banyak karya sudah tersiar ya Tuan...Tahniah...