Saturday, November 28, 2009

MENGINSTITUSIKAN MASJID

Agama Islam adalah agama rasmi negara dan dalam masa yang sama agama-agama lain boleh mempraktikkan fahaman mereka dengan bebas sekiranya ia bersesuaian. Sejak merdeka, perkara ini telah di tetapkan tetapi apakah pengisiannya. Apa yang berlaku, ianya hanyalah tertera di atas kertas dan menjadi isu atau perkara panas apabila ia cuba dimainkan oleh sesetengah pihak. Dalam hal ini, orang Islam tidak boleh sewenang-wenang mendirikan masjid tanpa kebenaran pihak berwajib tetapi agama lain boleh mendirikan rumah ibadat mereka di mana-mana sahaja tanpa memerlukan kebenaran pun waima di tanah milik orang lain sekalipun. Contohnya di Seremban, di atas puncak bukit yang bersebelah dengan Jaya Jusco Seremban 2, kelihatan sebuah rumah ibadat di atas bukit. Pada waktu malamnya kelihatan balam api. Pada hal rumah ibadat ini dibina di atas tanah milik orang lain. Pada tahun 1998, ketika membuat latihan membaca peta (intersection-latihan mencari kedudukan) saya melihat rumah ibadat ini kecil sahaja. Dalam diam-diam ia menjadi besar dan semakin besar sehinggakan tuan tanah tidak lagi mempunyai hak untuk merobohkan. Cuba dalam hal ini, masjid yang di dirikan. Gerenti ia boleh dirobohkan dengan segera.

Contoh kedua ialah jalan raya baru di kampung saya yang dibina dari Gurun ke Empangan Beris. Dalam laluan ini, banyak masjid dan surau terpaksa dipindahkan. Banyak tanah perkuburan orang islam termasuk pusara arwah ibu saya terpaksa dipindahkan
kerana terkena laluan jalan raya yang dibesarkan. Dalam pengamatan saya, kenapa rumah ibadat dan perkuburan agama lain boleh dielakkan oleh jurutera yang dipilih? Kenapa rumah ibadat dan tanah perkuburan Islam tidak boleh dielakkan?. Dalam hal tanah perkuburan ibu saya, masih luas ruang tanah di sebelah lain, kenapa ke situ yang dibuatnya.

Kita kembali kepada isu masjid. Islam adalah agama rasmi. Justeru saya ini mengangkat cadangan bagi mempertingkatkan imej masjid sebagai lambang atau simbol agama rasmi di Malaysia. Cadangan ini hanya kepada masjid, bukan surau. Tetapi di Kelantan, masjid pun kadang-kadang dipanggil surau. Itulah surau, itulah masjid. Dalam cadangan saya ini, masjid yang saya maksudkan ialah lokasi yang boleh dilakukan sembahyang Jumaat.

Apa yang berlaku, masjid kita hari ini, khususnya di kampung-kampung berada dalam keadaan tidak diurus dengan baik. Ada yang semak, ada yang agak kotor, ada yang tidak bersih khususnya tandas; semuanya mengharapkan kerja-kerja sukarela. Masjid khas tidak termasuk dalam kategori ini iaitu masjid-masjid yang berada di tengah bandar ataupun masjid negeri seperti masjid Putrajaya, Masjid Negara dan lain-lain. Masjid Khas memang telah lama diinstitusikan. Cadangan saya merujuk kepada masjid yang bukan dalam kategori itu. Sepatutnya masjid kita yang lainpun telah lama diinstitusikan. Masjid kita sepatutnya telah lama mempunyai sebuah organisasi yang tersusun
dan lengkap. Dalam organisasi tersebut, masjid mempunyai tukang kebunnya sendiri, masjid mempunyai pencuci tandasnya sendiri, masjid mempunyai penjaga dan pencucinya sendiri, masjid mempunyai pegawai tadbirnya yang sendiri dan lain-lain lagi. Semuanya digajikan ataupun dibuat secara kontrak. Kebanyakan masjid kita pada hari ini, banyaklaahhh, semuanya di buat secara sukarela bagi yang suka dan rela. Mengharapkan anak-anak membentangkan sejadah, mencuci sudut-sudut yang sering dikunjungi tahi cicak dan tahi tikus. Apa yang ada dalam organisasi masjid hari ini ialah imam 1 hingga ke imam 2, bilal, setiausaha, dan beberapa AJK tambahan. Yang bergaji hanya imam dan bilal. Yang lain adalah sukarela. Melihat kepada kekuatan dan kekayaan negara pada hari ini dan Islam sebagai Agama Rasmi, sudah masanya kita mengangkat institusi masjid menjadi lebih tersusun dan kemas. Sekiranya masjid diinstitusikan, maka tidak ada lagi komen-komen seperti masjid kotor, tandas di masjid kotor, lanskap tidak terjaga, masjid berkunci dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, kerajaan juga wajib memperuntukkan sedikit perbelanjaan kepada masjid setiap tahun. Sekurang-kurangnya, masjid mempunyai dana untuk menjanakan aktiviti atau projek-projek yang ingin dijalankan. Janganlah kita hanya mengharapkan dana sedekah oleh jemaah sahaja atau wang zakat dari pihak tertentu. Kita bercakap pasal agama rasmi negara, bukan bahasa rasmi negara.

Selain daripada itu, imam-imam harus diberi khusus khas seperti kursus komunikasi, perucapan awam, kaunseling dll. Supaya ia mendapat skil atau kepakaran yang tinggi dalam khutbahnya dan syarahan semasa kuliah-kuliah harian. Maka, kita tidak lagi terperangkap dalam khutbah yang membosankan. Manakala para bilal pula perlu menghadiri kursus-kursus suara, vokal dan lagu.
Baru-baru ini, saya dijemput untuk memberi syarahan kepada seminar imam-imam masjid di seluruh Wilayah Persekutuan, ada sekitar 200 orang imam macam itu. Imam dari KL, Putrajaya, Labuan dikumpulkan. Usaha menteri agama yang baru ini sangat mulia dan sangat
cemerlang. Saya diberi tajuk Institusi dan pengurusan masjid. Secara kebetulan semasa syarahan saya ada beberapa ketua pengarah dari institusi agama turut hadir, maka cadangan di atas telah saya utarakan. Beberapa contoh tidak baik dan baik masjid yang ada dalam Wilayah Persekutuan telah saya tunjukkan termasuk gambar. Ada masjid yang sangat aktif, kreatif dan berjaya dan ada masjid yang jumud dan beku. Jemaah pada hari ini telah berubah dalam semua spektrum termasuk minat dan kadar dengar. Kuliah-kuliah agama tidak lagi boleh merangkum jemaah dalam kelompok yang sama. Kanak-kanak hendaklah diberi kuliah yang sesuai dengannya, begitu juga dewasa dan orang tua. Apa yang berlaku, rata-rata masjid memberi kuliah yang sama (biasanya dikhususkan pada golongan tua) tanpa mengira dalam jemaah yang hadir ada yang masih kanak-kanak dan sedang menjadi dewasa. Kenapa yang datang ke masjid hanya orang-orang tua dan amat sedikit anak-anak dewasa? Jawapan kepadanya berkaitan dengan apa yang kita isi di masjid. Ada sesetengah kes,imam menengking anak-anak yang membuat bising di masjid. Praktikal dan profesionalkah begitu? Maka imam harus berkursus. Kita inginkan anak-anak mendekati masjid dan dalam masa yang sama kita inginkan mereka berdiam seperti batu sedangkan naluri mereka tidak begitu. Tidak adakah kaedah lain seperti menyediakan ruang kanak-kanak bermain di dalam atau di luar masjid. Khususkan satu ruang dan sediakan beberapa peralatan permainan bagi mereka bermain dan ada penjaganya. Tak bolehkah? Saya tidak mahu membandingkan dengan masjid-masjid di negara lain yang telah saya tengok dan lihat dan renung dan tatkala saya melihat masjid orang lain, saya merasa sangat sayu dan bertanya kenapa masjid di kampung kita tak boleh jadi macam ni sedangkan kita jauh lebih mampu dari negara yang saya lihat?

Dalam masa yang sama, ada beberapa buah masjid di dalam negara kita telah mula bergerak dan sangat cemerlang. Saya tak pasti sama ada ia bergerak secara sukarela ataupun ada organisasi khusus. Di kampung saya, banyak jemaah selalu lepak di kedai gunting rambut di hadapan masjid hingga masuk waktu sembahyang. Pernah juga terfikir kenapa masjid tidak khususkan satu ruang kedai gunting rambut dalam kawasan masjid?. Dalam kajian dan pemerhatian saya ke beberapa buah masjid di sekitar N9, Selangor dan KL, saya ada menemui elemen ini dan sangat teruja. Ada masjid yang dah ada laman web dan blog sendiri bagi mendaftar jemaah kariahnya. Ada masjid yang membina tempat ambil air sembahyang yang sangat panjanggggg. Tak perlu lagi jemaah berbaris dan menunggu. Tahniah kepada AJK masjid-masjid berkenaan seperti Masjid Putera Nilai, Masjid Wangsa Melawati, Masjid Wardieburn dll.

Sebagai renungan, saya sertakan beberapa keping gambar sebagai renungan bersama. Marilah kita gerakkan satu usaha bagi menginstitusikan masjid kerana ia adalah simbol kepada Agama Rasmi Negara iaitu Islam.

No comments: