Saturday, February 19, 2011

Pelancaran Drama Platun Harimau

Nadirasa, Tentera Darat terbit drama Platun Harimau

[UTUSAN MALAYSIA 19 FEB 2011]
KUALA LUMPUR 18 Feb. - Diadaptasi daripada sebuah novel perang bertajuk Platun Harimau, Nadirasa Budaya (M) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Tentera Darat menerbitkan sebuah drama bersiri bertajuk Platun Harimau.
Drama dengan tema 'Hutang Darah dibayar Darah' itu diangkat daripada kisah benar unit skuad kombat Tentera Darat dalam mempertahankan negara dari ancaman komunis sepanjang 1987 hingga 1988.
Platun Harimau yang diadaptasi daripada novel perang karya Leftenan Kolonel Mohd. Radzi Abd. Hamid yang juga ketua skuad kombat terbabit bakal ditayangkan sebanyak 13 episod di RTM1 bermula 1 Mac ini sempena Hari Ulang tahun Tentera Darat ke-78.
Penerbit drama bersiri itu, Razali Mohd. Yussof berkata, drama Platun Harimau itu bertujuan menyedarkan generasi muda bahawa komunis adalah pengganas yang bertindak kejam kepada rakyat negara ini.
"Tentera Darat khususnya askar Melayu telah berjuang menentang komunis dan ramai yang terkorban, tercedera, cacat penglihatan dan sengsara hingga ke saat ini. Bangkitlah anak-anak Malaysia menentang golongan yang memperjuangkan komunis," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran drama tersebut oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zin di Dewan Bunga Tanjung, Wisma Transit, di sini hari ini.
Hadir sama timbalannya, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zulkefli Zainal Abidin dan Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi.
Drama Platun Harimau adalah cerita sebenar yang dilalui Tentera Darat melalui Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sekitar 1980-an yang menerima tentangan hebat pengganas komunis yang dikenali sebagai 'Black Jacket'.
Seramai 16 perajurit gugur di medan perang di Daerah Gubir, di utara Perak bersempadan dengan Betong (wilayah Siam) yang merupakan kawasan hitam pengganas komunis Black Jacket yang diketuai oleh Chong Woo.
Razali berkata, drama yang menjalani penggambaran sekitar kawasan hutan di Tapah, Perak dan Kem Sungai Udang serta Kem Terendak di Melaka itu dibarisi pelakon seperti Zul Huzaimi, Norman Hakim dan Yatt Hamzah.
Sementara itu, Mohd. Radzi berkata, novel Platun Harimau merupakan pengalaman yang mampu membawa masyarakat khususnya golongan remaja mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi terutama apabila ia menyentuh soal keselamatan negara.
"Remaja sekarang harus sedar mereka mempunyai tanggungjawab dan dalam memberikan sumbangan yang bermanfaat dan bermakna kepada negara kita selain mementingkan semangat setiakawan," katanya.

3 comments:

nur_emyinda12 said...

Aloha Pena Celoreng,

Cant agree more to what had been said and suggested!Its actually like a wake up call for the nation! ...It is not what we get. But who we become, what we contribute... that gives meaning to our lives; and that's a gentle reminder to me as well. " This nation will remain the land of the free only so long as it is the home of the brave."...

Naim Qlate said...

Salam Tuan, saya minat pasal Platun HArimau, ada terbaca dalam utusan, kata drama platun harimau ditayangkan pada 1 Mac semalam d RTM...saya tgk tiada pon cerita PH tersebut di RTM, sampai tgh malam saya tunggu..Sebenar bila cerita tu di tayangkan, tak sabar rayanya nak tgk..Harap dapat maklum balas...

solareagle300 said...

jangan tanya apa negara dah sumbangkan pada anda, tapi apa sumbangan anda pada negara. setuju sangat komen nuremyinda12 tu. bravo tuan atas sumbangan tuan. tabik lah!