Friday, July 4, 2014

GEMA CINTA WATAN MERDEKA

GEMA CINTA WATAN MERDEKA
(SAJAK: MERDEKA 2014)
(KARYA: KOLONEL MOHD RADZI BIN ABDUL HAMID)

MALAYSIAKU
MERDEKA BUKANNYA PERCIKAN BUNGA API
YANG BERSERAK DI DADA LANGIT
YANG SIRNANYA MENJADI GEGAK DEK SORAK
MERDEKA BUKANNYA SETAKAT PEKIKAN ‘MERDEKA’
YANG DILAUNGKAN KETIKAN JAM BERDETIK DI KEPALA
KEMUDIAN KITA BERDANSA BERPESTA PENUH ALPA

MALAYSIAKU
MERDEKA ADALAH BUMI BERTUAH
YANG DIANUGERAHKAN TUHAN KEPADA KITA
UNTUK DIBAJA DIJAGA SEBIJAKNYA
MERDEKA KITA TELAH DIDIRIKAN
DENGAN DARAH DAN NYAWA PARA PERWIRA
MERDEKA KITA TELAH DIBANGUNKAN
DENGAN AKAL BIJAKSANA PARA PEMIMPIN

MERDEKA INI ADALAH SEBUAH KEBEBASAN
YANG DIWARISKAN PENUH RAHSIA
RAHSIA DALAM SEJUTA RAHSIA YANG MINTA DIBONGKAR
MERDEKA ADALAH KITA DAN GENERASI YANG AKAN DATANG
YANG MENDUKUNG WAWASAN NEGARA
YANG HARUS MENJADI GLOKAL
UNTUK MENGISI KEMERDEKAAN YANG DIWARISKAN

MALAYSIAKU
KEMERDEKAAN HARI INI ADALAH CINTA KITA
YANG PERCAYA KEPADA TUHAN
MERDEKA ADALAH CINTA KITA
YANG SETIA KEPADA RAJA DAN NEGARA
BERDIRI TEGAP BERSAMA BARISAN PEJUANG
MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN DARI ANASIR DURJANA
MERDEKA ADALAH CINTA KITA
YANG MENGIKAT KELUHURAN PERLEMBAGAAN DI DADANYA
YANG MENGHORMATI KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
MERDEKA ADALAH CINTA KITA, BANGSA MALAYSIA YANG MENUNJANG KESOPANAN DAN KESUSILAAN
UNTUK MENJADI GEMILANG, CEMERLANG DAN TERBILANG

MALAYSIAKU
LAUNGKANLAH MERDEKA DENGAN PENUH RASA CINTA,
BERSYUKUR KEPADA TUHAN
DAN MELANGKAH GAGAH KE MERCU JAYA

No comments: