Tuesday, December 4, 2012

Review Platun Harimau II

[Seorang guru yang kuat menyokong penulisan saya, memajukan ulasan atau review beliau terhadap PH2. Saya kongsikan bersama pembaca sekalian. Ikhlas cakap, kritikan beliau sangat bagus dan membina saya dan juga anda, pembaca]

Assalammualaikum tuan Mohd Radzi,

Usai membaca PH2, ingin saya ucapkan syabas dan tahniah. Kali ini PH2 lebih garang dan lebih menonjolkan unsur-unsur ketenteraannya berbanding PH1. Dari aspek penulisan, walaupun terdapat unsur berlebihan-lebihan dalam penceritaan dalam beberapa bahagian namun yang lainnya huraiannya mudah difahami dan pembaca mendapat pendedahan dalam aspek bahasa ketenteraan, pemikiran dan perancangan yang penuh ketelitian dan perancangan yang strategik. 

Ternyata gambaran persekitaran terutama dalam huraian persekitaran alam semula jadi menunjukkan penulis arif dan minat dengan alam tumbuh-tumbuhan. Hasil penulisan yang teliti berdasarkan kajian dan penyelidikan yang memakan masa yang lama kerana penulis menghasilkan novel yang berdasarkan fakta sejarah yang sebenar.

Bab 12-16, penulis menggunakan unsur reverse psychology seperti ”....kepada pembaca yang tidak bersedia menerima dan pembaca di bawah 15 tahun , dinasihatkan supaya tidak membaca Bab 12, 13 dan 14. Sila langkah Bab 15....:) sangat baik. Pembaca akan terdorong untuk mengetahui selanjutnya :)

Bab 23-30, peristiwa yang tragik dan menyayat hati. Perasaan pembaca bercampur baur dengan rasa marah, geram, sedih, sebak, sayu, semangat dan puas hati. Hal dalam bab-bab ini amat penting diceritakan kerana kita mahu orang awam tahu bahawa Komunis itu pengganas dan kejam, mereka bukan penuntut kemerdekaan dan mereka bukan penyelamat negara. Perajurit negara yang terkorban wajar dihormati dan disanjungi perjuangan mereka. ”Pantang Melayu Menyerah”

Bab 34-37, penulis mengetengahkan pendekar-pendekar Melayu yang hebat dalam ilmu persilatan dan ilmu dalaman. Memang sama seperti yang pembaca dengar daripada mulut orang-orang tua dulu-dulu tentang warak dan alim pendekar Melayu dan diimbangi dengan ilmu persilatan yang sangat dalam. Mereka memang hebat, Dan Koperal Shahril......tabik dan hormat untuk beliau. Memang seperti apa yang diungkapkan dalam novel PH2 ini...”Usah kita tanya apa yang negara akan buat untuk kita tetapi apa yang kita boleh buat untuk negara” Sungguh!

Watak wanita yang ditonjolkan, penulis menggambarkan mereka juga bukan calang-calang orang malah mempunyai personaliti dan kredibiliti yang mengkagumkan....cantik fizikal dan mental mereka :)

Kewibawaan, kebijaksanaan, kehandalan dan karisma watak Kapten Fauzi lebih ditonjolkan dalam PH2. Pengetahuan beliau dalam ilmu agama, ketahanan fizikal yang tinggi, personaliti menarik perhatian wanita, ketua yang hebat dan bijak, lelaki yang gentleman dan cara pemikirannya yang sentiasa memikir ke hadapan dan penuh perancangan dan strategik membuatkan beliau menjadi idola yang sempurna dalam pelbagai aspek.

Wujud rasa tidak puas hati kerana Chong Woo terlepas setelah begitu lama penantian, pemantauan dan usaha yang dibuat dengan penuh sabar untuk menangkapnya bersama ketua-ketua pengganas komunis yang lain. Keep your friend close but keep your enemy closer!
Keseluruhannya, PH1 dan PH2 sangat sesuai menjadi sumber bacaan untuk semua peringkat umur dan wajib wujud dalam setiap perpustakaan dan pusat sumber di sekolah-sekolah khususnya. 

Kita amalkan bersedekah doa dan al Fatihah kepada umat Islam di Palestine, Syria, Rohingya dan jangan lupa sedekahkan doa kepada bekas pejuang negara sama ada yang masih hidup, terkorban atau yang cedera.@Kepompongrama-rama :)

No comments: