Saturday, August 7, 2010

niat puasa dan solat terawih

1. Lafaz Niat Puasa Ramadan Untuk Harian:


Nawaitu shouma ghodin ‘an adaa-i fardhi syahri romadhoona haadzihis sanati lillaahi ta ‘aala.

Maksudnya :


”Aku berniat puasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini karena Allah Ta’ala”


2. Lafaz Niat Puasa Ramadan Untuk Sebulan:


Nawaitu shouma shahri romadhoona kulihi lillaahi ta ‘aala.


Maksudnya:

“Sahaja aku berpuasa sebulan pada bulan Ramadan bagi tahun ini
kerana Allah Taala”


3. Niat berbuka puasa :


Allahumma laka somtu wa bika aamantu wa ‘alaa rizqika afthartu birahmatika ya arhamarrohimin

Maksudnya:

“Ya Allah bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau beriman aku dengan rezeki Engkau aku berbuka dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang”.


4. Doa Selepas Berbuka Puasa.


Maksudnya:

Ya Allah! Kerana Engkau aku berbuka puasa dan kepada Engkau aku beriman dan atas rezeki dari Engkau aku berbuka puasa telah hilang dahaga sudah menjadi basah segala urat. Ya Allah! Aku minta diampuni dosaku dengan rahmat Engkau yang meliputi segala sesuatu.


SOLAT SUNAT TARAWIH

5. Lafaz Niat Sembahyang Terawih: (Solat Sendiri)


Usolli Sunnatal Taraawihi Rak'ataini Lilaahi Ta'ala

Maksudnya: Sahaja aku Solat Sunat Tarawih dua rakaat kerana Allah Ta'ala


6. Lafaz Niat Solat Tarawih: (Solat Berjemaah)


Usolli Sunnatal Taraawihi Rak'ataini Imaman/makmuman Lilaahi Ta'ala

Maksdunya: Sahaja aku solat sunat Tarawih dua rakaat(Imam atau makmum) kerana Allah Ta'ala

7. Lafaz niat sembahyang sunat Witir.


a. Bagi dua rakaat yang pertama:


Usoli Sunnatal witri Rak'ataini makmuman Lilaahi Ta'ala


Bermaksud: Sahaja aku sembahyang Witir dua rakaat ma'mum kerana Allah Ta'ala.


b. Bagi rakaat yang akhir:


Usoli Sunnatal witri Rak'atan makmuman Lilaahi Ta'ala


Bermaksud: Sahaja aku sembahyang Witr satu rakaat ma'mum kerana Allah Ta'ala.


PERKARA-PERKARA YANG DAPAT MEMBATALKAN PUASA.


1. Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja.

2. Memasukkan sesuatu ke dalam dubur (jalan belakang) atau qubul (jalan depan) dengan sengaja.

3. Muntah dengan sengaja (jika termuntah, tidak batal puasa).

4. Bersetubuh dengan sengaja, sekalipun tidak mengeluarkan mani.

5. Mengeluarkan mani dengan sengaja atau dengan jalan bersuka-suka seperti berpeluk cium dan sebagainya.

6. Kedatangan haid atau nifas.

7. Gila sekali pun hanya sekejap masa.

8. Mabuk atau pengsan sepanjang hari, dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

9. Bersalin.

10. Murtad-iaitu orang yang keluar daripada agama Islam, sama ada dengan hati, perkataan atau perbuatan.

Monday, August 2, 2010

1MALAYSIA DALAM KEKELIRUAN

[Dalam blog ilmiah saya, pada 11 Sep 2009 saya telah membincangkan tentang kekeliruan maksud sebenar konsep 1Malaysia dan mencadangkan pemahaman saya. Dan pada hari ini, YAB Tun Dr Mahathir memutuskan bahawa konsep 1Malaysia adalah tidak jelas. Bersama ini saya 'paste' kan pandangan saya pada Sep 2009 sebagai maklumat semua]

Friday, September 11, 2009

1MALAYSIA: BUKAN SATUKAN MELAYU, CINA DAN INDIA SAHAJA

Gagasan 1Malaysia sangat bagus dan luas ruang lingkupnya. Idea Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak sangat besar wawasan dan hasrat. Malangnya ia tidak diberi penjelasan lebih rinci apakah yang dimaksudkan dengan 1Malaysia. Maka itu, wawasan ini membuka ruang kepada rakyat untuk memberi interpretasi masing-masing. Hari ini, kita dapati rata-rata masyarakat memberi dan memahami pada perspektif yang sama sekali silap dan bercelaru. Ia mesti diperbetul secepat mungkin. 1Malaysia, bukannya Melayu, Cina dan India. 1Malaysia ialah penyatuan Kaum Melayu (native), Orang Asli (obrigine) dan Kaum Bumiputra Sabah (native) dan Sarawak (native). Penyatuan empat kaum utama ini yang perlu di dahulukan dan diberi keutamaan. Kemudiannya barulah penyatuan dengan kaum-kaum lain (lihat Perlembagaan Negara) Kaum-kaum lain seperti Siam, Singh, India, Cina, Portugis dll adalah kaum yang asalnya pendatang yang datang untuk mencari rezeki atau dibawa penjajah sebagai buruh, tidak disebut langsung dalam Perlembagaan Negara. Dalam perlembagaan negara mereka disebut ‘kaum-kaum lain’. Kenapa kita hari ini sangat beriya-iya hingga melupakan yang empunya hak.

Diplomasi kita akan memakan diri jua akhirnya. Fikir-fikirkanlah.

Saturday, July 17, 2010

SAYEMBARA PUISI KEBANGSAAN: TERCANTASNYA SATU CABANG BUDAYA

15 Jul 2010: Saya masih dalam situasi waswas sama ada mahu percaya ataupun tidak tatkala membaca sms dari seorang sahabat sayembara iaitu Sdr Amran Ibrahim Rashidi. Dek kerana sibuk nak menyiapkan tesis dan permintaan seorang sahabat bagi menyediakan satu artikel bertema ‘patriotik’ bagi dimuatkan dalam makalah kementerian beliau, saya tak ingin percaya khabar sms Sdr Amran. Katanya dah baca berita pembatalan sayembara puisi kebangsaan dalam Berita Harian? Maafkan saya kerana dah lama tak baca surat khabar. Bukan apa, ini kerana selepas membaca satu laporan kajian ilmiah berkaitan ketepatan berita akhbar perdana yang mana menemui 73% dari maklumat yang disampaikan melalui akhbar perdana adalah tidak tepat. Maka saya tidak lagi merujuk pada akhbar. Sebagai lulusan dalam bidang ‘research’, saya percaya keputusan atau dapatan kajian ilmiah akademik adalah tepat.

16 Jul 2010: Sdr Amran memaklumkan berkaitan satu penemuan deklamator bagi membincangkan isu itu di Kg Baru akan diadakan pada malam tersebut. Sms tersebut agak lambat saya terima kerana ketika itu kereta saya telah melepasi Simpang Nilai dalam perjalanan ke selatan bagi menjalankan kajian tesis. Saya hanya ada Sabtu dan Ahad sahaja bagi melakukan kajian seperti temu bual dan menghantar borang soal selidik. Hari-hari lain kuliah melalut sampai ke petang. Malamnya dan lepehhhhh. Kemudian Sdr Azmi (perak) memaklumkan berkaitan hal yang sama. Kami berbalas sms ke arah kepastian berita berkenaan. Beliau mengatakan BH telah siarkan berita tersebut dan boleh capai di BH Online. Dek kerana tak sabar nak tahu lebih lanjut, saya membelok kereta ke Tol Alor Gajah dan berhenti di tepi jalan. Buka komputer, cucuk ‘broadband’ dan mencari berita tersebut. Akhirnya baru dapat baca. Ia ada dalam blog Sdr Amran.

Selepas membaca berita tersebut saya masih tidak mahu percaya kerana maklumat tersebut datang dari orang ketiga. Sejak-sejak ini saya sangat berhati-hati terhadap setiap maklumat yang diterima. Selepas menyemak dengan beberapa orang kuat di kementerian, memang sah acara ‘Sayembara Puisi Peringkat Kebangsaan’ bagi tahun 2010 tidak akan diadakan kerana masalah peruntukan. Terkejut dan tidak percaya kerana acara seni ini telah diadakan sejak tahun 1987 dan telah menjadi acara tahunan dalam kalendar kemerdekaan negara. Sedih pun ada juga sebab dengan tiba-tiba budaya seni ini ingin ditamatkan. Sebabnya masih belum pasti dan kemungkinan pihak JKKN ada sebab yang tersendiri mengapa acara hebat ini ingin dihentikan. Bagi saya masalah peruntukan adalah masalah kecil bagi mereka. Kerana menterinya adalah seorang pencinta seni totok. Tak mungkin Dato’ Sri Rais yatim ingin membatalkannya. Bagi saya sekiranya beliau yang membuat keputusan itu, ia ibarat membunuh diri dalam karier politik beliau. Merakyat juga peminat acara ini. Sudah tentu beliau tidak akan mendapat sokongan dari peminat seni tersebut. Bagi saya, kalau masalah peruntukan tidak ada; di manakah magisnya perkataan ‘USAHA’. Kalau peruntukannya kurang, maka kita buat dalam serba kekurangan. Yang pentingnya ialah acara itu. Bunga-bunga, bunting, iklan, dll hanyalah hiasan sahaja. Kurangkan tenaga kerja yang tidak perlu.

Ataupun kembalikan penganjuran acara berkenaan kepada GAPENA kerana mereka berpengalaman menjalankan acara dalam keadaan kekurangan dana ataupun ketiadaan dana. Dan orang-orang seni akan memahaminya. Sebagai Johan Kebangsaan, saya tidak berkecil hati apabila dijemput dalam mendeklamasi sajak pembukaan dalam satu acara besar anjuran GAPENA dan kemudiannya saya dibayar dengan jumlah yang sangat ‘ciput’. Itupun selepas ditanya. Bukan saya mementingkan bayaran tapi nak kena tampung duit minyak dan tol yang saya bayar. Bertolak dari selatan ke Kuala Lumpur sebanyak dua kali iaitu raptai dan hari sebenar, mesti ada kosnya. Kalau GAPENA sendiri melondehkan martabat Johan Kebangsaan dengan bayaran ‘ciput; itu, bagaimana dengan pihak lain. Tapi dek kerana minat dan memahami masalah peruntukan, saya hanya berkecil hati sekejap sahaja. Sejak itu, saya tidak lagi berkunjung ke rumah GAPENA. Dan sejak itu juga saya menolak semua jemputan membaca sajak. Termasuk sajak perpisahan Tan Sri PAT, saya tolak untuk mendeklamasi. Saya kena buat surat tunjuk sebab. Maafkan saya Tan Sri dan Puan Sri. Bukan kerana merajuk tetapi kerana saya masih belum berjaya memujuk hati saya yang menjeruk.

Maka itu, saya pun tak nak ambil kisah lagi bab sayembara puisi ini. Laman web Kelab Deklamator yang baru dua minggu lebih saya lancarkan dengan menggunakan wang poket sendiri, saya tutup. Bye-bye.

Bagi pendeklamator, berita pembatalan sayembara ini memang sangat serius. Ia umpama letusan gunung berapi ataupun lebih hebat dari letusan atom di Hiroshima dan Nagasaki. Kerana acara ini adalah acara kemuncak tahunan deklamator. Para deklamator hebat dari negeri-negeri akan bertarung bagi menobatkan seorang Juara bagi setiap tahun. Bagi yang bukan deklamator, mungkin tidak faham ‘sentimen’ ini. Ini kerana puisi dan deklamator sudah terikat jiwa mereka. Telah bersemadi gitu. Dalam hal ini, kita tak boleh menyalahkan golongan yang tidak memahami ikatan puisi dan deklamator kerana ia sangat unik. Saya dulu pun tak faham kenapa beria-ia benar deklamator. Setelah berada dalam dunia ini baru saya faham. Dia macam orang mengutuk permainan golf dan mereka menjadi hairan kenapa ada manusia sanggup berjemur di tengah panas separuh hari kerana bermain golf. Tetapi setelah mereka memegang kayu golf dan mula memukul bolanya, baru mereka tahu dunia ke tarikan dan ketagihan atau kecanduan permainan ini.

Cubalah, kita tanya pada diri kita empat soalan ini:

1. Bagaimana jika keputusan membatalkan sayembara ini dibuat oleh menteri yang bukan Melayu?. Mungkin YB Kamalanathan ke, atau YB Chua Soi Lek. Ataupun keputusan ini dibuat oleh Pak Anwar Ibrahim.
2. Manakah lebih penting antara sayembara ini dengan acara citra warna yang memakan berjuta ringgit sedangkan sayembara ini tak sampai ratusan ribu ringgit? Sedangkan citra warna ini tidak ada kaitan langsung dengan budaya.
3. Adakah bangsa kita sendiri yang akan memusnahkan budaya kita sendiri?
4. Adakah bangsa kita sudah tumpul usahanya atau kekeringan idea lagi?

Janganlah macam tu bro, acara sayembara tu taklah susah sangat nak dianjurkan. Taklah menelan ratusan ribu ringgit. Ada banyak pilihan anjuran iaitu anjuran terbaik, atau anjuran sederhana baik atau anjuran biasa- biasa je gitu. Saya tahu standard pihak JKKN memang tinggi. Mereka sentiasa mahu menganjurkan sesuatu pada tahap yang paling cemerlang. Dan mereka tidak boleh menerima acara yang batuk-batuk di tangga gitu. Sdr Roslan memang sangat kreatif dan standardnya tinggi. Bab ni, memang kena puji beliau sebab beliau berani dan banyak memberi nafas baru dalam sayembara ini. Kalau GAPENA, rasa saya saban tahun ada masalah dan mengelirukan. Bukaan GAPENA saja buat macam tu. Ini kerana GAPENA tidak mempunyai kakitangan yang cukup, terlatih dan boleh membuat keputusan.

Macam mana kalau sayembara Puisi Peringkat Kebangsaan 2010, JKKN minta atau serahkan kepada PENA bagi menganjurkannya. Saya percaya kepada kebolehan dan kesanggupan untuk berkorban tenaga dan masa oleh orang-orang kuat dalam PENA. Banyak manusia berjiwa besar dalam PENA. Banyak orang yang memperuntukkan hidup mereka pada PENA. Cuba lahhhhh!

Thursday, July 15, 2010

PERUTUSAN CINTA MAHARAJAH 2

Kalamku menari lagi

menjejak liuk cinta dan igau
yang telah berdasawarsa pergi
ingin ku kutip kembali sisa tari cinta lama
tapi jejak lenggok tak mungkin ku jumpa

kerana semilir angin dara mengheret titisan cinta

kerana semilir angin dara mengheret purnama

lemah gemalai tariku mungkin sasar jua


Kalamku ingin menari lagi

tapi bukan dengan liuk lentok yang dulu
tapi dengan lenggok tari pari-pari

yang bersimpuh di makam Nabi

kerana aku tidak mampu melenggok janji berseni

yang tak mungkin tertunai

kerana gemalaiku telah ku langsaikan

kerana terlalu lama menunggu di pentas rindu


Aku ingin bebas dari akad cinta lepas
jejak tari lemah lenggok gemalai yang dulu

tak mungkin akan bertandang

menyulam melor menjadi karangan

kerana kini aku hanya mampu

mengakad cinta bukan janji

berdoakah dikau?

Monday, July 12, 2010

Di Tepi Kain Orang

Selepas hampir sebulan tidak ke ibu kota pada waktu siang hari kerana kuliah menjerut hingga ke lewat petang. Pelbagai rancangan menjelma tetapi tatkala sampai di rumah, belum sempat mandi lagi, dah terlelap. ‘Assignment’ yang perlu dihantar pada esok hari mengejut saya bangun dari beradu. Sungguhpun penginapan saya di Gurney Height berhadapan dengan masjid dan azan berkumandang pada waktu Maghrib tetapi ia tidak membawa langkah saya ke rumah Tuhan. Saya pun hairan, penat yang amat sangat. Maka, sembahyanglah dalam keadaan yang malas. Mandi air panas adalah penawar kepada keletihan minda dan fizikal. Cepat-cepat mandi kerana waktu solat Maghrib di penghujung.

Dua hari lepas, sekembali dari Sibu, saya meluangkan masa berjalan-jalan di ibu kota Kuala Lumpur. Sebenarnya mencari idea. Duduk di tepi jalan di Jalan Masjid India melihat kelaku manusia. Ada yang sesetengahnya manusia di situ bukan lagi manusia. Inilah keadaan sebuah Negara yang mana agama Islam adalah agama rasmi tetapi corak kehidupan masyarakat sangat ‘unislamic’. Tak tahulah apa nak jadi. Barangkali ibu kota yang penuh dengan manusia yang bukan lagi manusia memerlukan satu sentuhan Tuhan bagi menyedarkan kita semua supaya kembali menjadi manusia. Manusia yang bukan lagi manusia di Acheh dan Nias telah kembali menjadi manusia setelah Tuhan mengirimkan Tsunami. Hati sayu pun berdoa ‘semu-semulah Ya!Tuhanku’.

Pada hari ini, manusia di ibu kota sangat suka kepada kekotoran. Zahirnya sampah merata-rata. Tong sampah kaya dengan sampah hingga melimpah ruah. Bayangkanlah kalau manusia di Kuala Lumpur kaya dengan bahasa budi seperti kayanya tong sampah. Baunya, tak perlulah dijelaskan kerana kita akan menjadi majai dengannya hingga akhirnya deria bau kita menjadi kabur dan seterusnya buta akan bau tengit sampah. Semua sama, yang tua, yang muda, yang belia, yang baru bertatih dan yang baru tiba dari desa. Juga membuang sampah di tong yang kaya itu. Mata menjadi sakit melihat anak-anak membuang sampah melalui tingkap kereta sambil gelak-gelak. Apa yang sebenarnya berlaku? Dimanakah kesilapan kita?

Berlandaskan isu ini, saya ingin berkongsi satu pengalaman berkaitan sampah di sebuah negara yang baru selesai berpesta bola. Wakaka Amina Ehhhhh. Apa yang berbeza ialah di setiap sudut ruang di mana ada manusia, tong sampah merata-rata. Bukan sampah merata-rata. Setiap enam ke tujuh langkah terdapat satu tong sampah. Jangan katakan jalan atau ‘street’ berlorong gelap tempat tikus dan anjing liar bercengkerama seperti di ibu kota kita; di sana tong sampah pun bersih. Tatkala membuka penutupnya ketika membuang sampah, hidung kita akan tertancap bau chemical yang di guna bagi mencuci tong sampah. Di dalamnya berminyak. Bersih dan sangat bersih. Tong sampah pun bersih, maka jalannya juga sangat bersih. Pekerja bandaran sentiasa ada bagi memeriksa tong sampah. Seperti di Capetown iaitu kawasan pelancongan, pekerja bandaran memeriksa tong sampah setiap setengah jam. Bagai mana dengan kita? Berapa kerap pekerja Majlis bandaran kita memeriksa tong sampah? Hairankan? Kalau di ibu kota sudah sedemikian, bagaimana pula di Kampung Limau Manis atau di Daerah Daunan Hijau – Sik. Dah ulu, banat plak. Jangan kata tempat jin berdendang, Jin pun tak ingin pergi berdendang di daerah kami. Jauhkannnn!.

Sebagai renungan bersama saya titipkan beberapa keping gambar yang sempat saya rakam bagi membuktikan tong sampah mereka yang ada di mana-mana.

Wednesday, June 30, 2010

PERUTUSAN CINTA MAHARAJA

Ini perutusan cinta
dari jendela rindu seorang maharaja
terhadap bau sekuntum bunga
yang tidak pasti di mana mekarnya.

Di atas kulit pelepah palma
dengan tajam mata belati
di lorekan sumpah cinta
‘aku cinta padamu’
sangat naif dan hati terbuka
tiada langsung simbolika

Sumpah cinta sudah sedemikian acuannya
kadang kala sengaja menjadi nyata
kadang kala menyembunyikan malu
sungguhpun pada detik yang tidak perlu
jauh dalam kelam dan tidak pasti
jeti mana
pelabuhan mana
teluk mana
bagi mengubati singgahsana rindu


29 Jun 2010
Jln Semarak

Thursday, June 24, 2010

KEHANGATAN CINTAMU MASIH TERASA

[Para sahabat sekalian, dititipkan sebuah karya saya yang dimungkilkan pada tanggal Ogos 1986. Pada ketika itu, saya adalah seekor Pungguk, menagih cahaya bulan. Sesekali menoleh ke belakang, gementar meronton diri) - Maaf, sajak ini tidak berjudul.


N,
air sungai yang mengalir lesu
seakan-akan mengatakan
ada sesuatu yang tidak kena
di muaranya,
mungkinkah hujan lebat
di kepala bukit ?
atau
mungkin terpukau dek hanyutan
rakit pemujaan raja Siam,
atau
mungkin engkau menangis

kerana dadamu tercalar.
maafkanlah aku.
'sebenarnya aku pernah juga
berenang di dadamu....
bermain di air seperti itik
lepas hujan tapi permainanku
berona di atas daunan.
bolehkah aku mengembalikan
kehangatan itu ?
N,
tidak mungkin barangkali......
kerana hanya aku yang terkatung-katung
mahu mengembalikan kehangatan itu
hanya aku yang tinggal sepi
mengocak lumpur di sawah
jika aku menahan belat di lurah
siapakah yang akan mengocak
air di lubuk ?
engkau ?
tak taulah kerana kehangatan
RINDU
buatmu hanya dongengan
&
permainan

N,
adakah engkau tidak percaya
selama ini bahawa hujan
hari semalam - sungai pekat airnya.

Ogos - 86<
/span>

Monday, June 21, 2010

PEWARIS WARKAH DARI RUNTUHAN BUKIT ANTARABANGSA

(Garisan ombak yang terhasil aibat dari pertemuan dua lautan. Pandangan dari anjung Cape Point)(Warkah rindu Pn Rozita di kembalikan kepada lautan)
(Gambar ini diambil di titik pendakian ke Cape Point. Kelihatan jauh di belakang adalah menara rumah api di puncak Cape Point. Di sebelah kanannya adalah 'Cape of Good Hope')

Barangkali, sahabat semua pernah terpanggil bagi meniti sebuah cerpen lama saya yang pernah disiarkan dalam sebuah majalah tempatan. Cerpen bertajuk ‘Warkah Dari Runtuhan Bukit Antarabangsa’. Saya beranggapan Allahyarhamah Pn Rozita tidak mempunyai waris. Walau bagaimanapun, dua hari lepas, saya dihubungi oleh waris arwah dan memohon salinan asal warkah berkenaan. Hati saya sangat tersentuh dan sangat terganggu hingga saat ini. Ini adalah kerana, setelah menunggu sekian lama dan saya terbeban dengan tanggungjawab kepada warkah berkenaan dan tiada yang menuntut. Makanya, warkah tersebut telah saya serahkan kepada samudera lepas. Biarlah ombak yang digerakkan oleh Tuhan menentukan hala tujuan warkah berkenaan. Apa yang saya siarkan dalam cerpen tersebut hanyalah sebahagian sahaja dari isi warkah berkenaan.


Mengambil inisitif yang teratas, saya telah berlepas ke ‘Capetown’ dan mengunjungi ‘The Cape of Good Hope’. Di sana merupakan titik pertemuan dua lautan. Di katakan segala yang berpisah akan ditemukan. Saya bermalam di anjung batu ‘Cape Point’ dan seusai subuh, ketika dua ombak laut bertemu; dan pada saat dan ketika itulah, botol yang berisi warkah Allahyarhamah Pn Rozita saya serahkan pada laut. Lalu ku seru pada ombak;

Wahai! Ombak kekasihku
Ku coretkan beban cinta di dada pantai
Kau singgah
kau belai
kau bebat lukaku
Bawalah cintaku pada Tuhan

Surat cinta Pn Rozita sangat mendalam dan ranum. Saya titip titisan terakhir surat tersebut bagi semua pembaca menikmati ranum dan manisnya cinta Pn Rozita. Cintanya tak kunjung padam dan tak kunjung lagi. Kerana Pn Rozita adalah matahari, adalah lilin.

“Jika dirimu masih mampu mengeluarkan air mata, maka bersedialah untuk mengalirkannya sekarang. Dirimu dan diriku sememangnya tahu untuk menutupinya. Lihatlah.....di mana-mana pun tercatat luka. Di manakah luka tertusuk? Tapi mengapakah kita membiarkannya berdarah dan menjadi tanda kesucian, keagungan, mungkin sebagai tanda sempadan perasaan. Lihatlah......ke cantuman yang dibekalkan oleh luka yang terlalu cemburu dengan kasih dan perasaan yang telah ditikam dan sebaik ia terbenam, besinya telah ku sumpah; pastikan bagaimana luka dan darah menuruti. Dirimu sebagai-bagai yang diketahui adalah orang kesayanganku. Adililah...Oh Tuhan; bagaimana diriku menjadi darah dan ini adalah sesuatu yang terbaik kerana sebaik jiwanya yang nampak terluka keagungan kita yang agung rebah. Oh! sesungguhnya suatu kejatuhan tapi telah meronakan alam. Alirilah air mata mu sekarang kerana dan aku telah lama menangis kepada Tuhan”


Cerpen yang saya maksudkan (ulang siar)

WARKAH DARI RUNTUHAN BUKIT ANTARABANGSA

(Oleh: MORA)

[Sebelum mula menatap coretan ini, marilah kita memulakannya dengan membaca surah Al-Fatihah sebagai sedekah kepada mangsa-mangsa yang telah kembali ke rahmatullah. AL-FATIHAH.]


Pertama-tama nya, terlebih dahulu saya memohon ampun dan maaf kerana apa yang akan saya dedahkan kepada pembaca semua merupakan satu maklumat yang sangat bersifat peribadi dan melibatkan kaum keluarga mangsa yang berkenaan (sekiranya ada). Saya adalah Leftenan Kolonel Mohd Radzi bin Abd Hamid iaitu Pegawai Gerakan Markas 4 Divisyen yang bertanggungjawab bagi Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Justeru dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada minggu sudah iaitu 6 Dis 2008, saya telah terlibat. Sebaik sahaja mendapat mesej ringkas dari Pegawai Bertugas Tentera pada jam 4.45 pagi yang berbunyi “OP BANTU: MERAH, RV SIMPANG BKT ANTARABANGSA, NLT 30 MIN. TINDAK”. Saya bingkas bangun, masih berpisat, mencapai pakaian celoreng dan terus memandu kenderaan ke lokasi RV. Sedikit penerangan tentang kandungan pesanan ringkas tersebut; OP BANTU ialah kata kod kepada Operasi Bantuan Tentera, MERAH bermaksud sangat serius, RV ialah lokasi pertemuan dan NLT 30 MIN bermaksud ‘Not late than 30 minutes’. Bermakna setiap anggota tentera yang menerima pesanan tersebut wajib tiba di RV dalam masa 30 minit.


Sebaik sahaja sampai di RV, saya terus menukar pakaian ke seragam celoreng yang mana tidak sempat dilakukan sebelum ini. Ketika itu, kelihatan suasana yang agak kelam kabut dek penduduk yang berpusu menyelamatkan diri. Kelam, gelap gelita. Dalam masa yang sama juga, anggota SMART, BOMBA dan pasukan polis tiba di lokasi. Salah seorang penduduk tampil ke depan memaklumkan apa yang telah berlaku dan dari arah mana kami boleh memasuki lokasi kejadian. Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kami bertungkus-lumus berusaha dengan kaedah masing-masing untuk mencari mangsa dengan di bantu oleh cahaya lampu kereta hingga terlupa nyawa masing-masing. Di sini, saya rasa perlu untuk memaklumkan kepada pembaca semua bahawa terdapat enam orang penduduk yang turut sama berusaha mencari mangsa. Mereka tidak lari menyelamatkan diri. Manakala anggota SMART dan BOMBA dengan peralatan yang mereka ada, sangat membantu dan cukup terlatih. Pasukan polis pula dengan menggunakan peralatan perhubungan yang ada pada mereka, telah berusaha menghubungi pasukan-pasukan lain bagi mendapat bantuan tambahan seperti Ambulans dan Persatuan Bulan Sabit Merah, RELA dan pihak berwajib. Saya sangat takjub dengan kecepatan anggota polis mengawal lalu lintas. Manakala, kami anggota tentera, ketika sampai, kami tidak ada apa-apa peralatan. Maka sebahagiannya membantu membawa penduduk ke kawasan selamat dan sebahagian lagi membantu mencari mangsa dengan menggali tanah dengan dua belah tangan yang diberikan Tuhan kepada kami. Pasukan jurutera dan askar melayu dari 4 Divisyen bermula dari jam 4 petang hari tersebut hinggalah ke azan subuh berkemundang keesokkan paginya, bertungkus lumus tanpa sepicingpun melelapkan mata. Mereka berusaha keras menyiapkan jalan keluar sejauh 3.5 km dan jambatan sepanjang 65 meter demi menyelamatkan 5063 keluarga yang terkepung. Tepat jam 8 pagi, Panglima Divisyen tegak berdiri di atas jambatan bagi mengalu-alukan dan bersalam dengan orang yang pertama merentasi jalan dan jambatan. Dengan hanya membuka separuh cermin kereta dan muka yang tertekan, mereka bersalam. Dari aspek ini, betullah seperti dakwaan seorang pemberita asing yang kami anggota tentera tidak membantu apa-apa. Sebagai manusia biasa, ketika membandingkan apa yang telah anggota-anggota tentera bersama pasukan lain lakukan pada subuh 6 Dis 2008 dengan dakwaan tersebut, airmata saya menitis secara tiba-tiba. Berterima kasih dan bersyukurlah, Malaysiaku sayang.


Saya ingin menarik perhatian pembaca semua kepada satu berita berkaitan mangsa tanah runtuh yang disiarkan oleh Berita Harian pada 7 Dis 2008. Penemuan mangsa yang ke lapan, ke sembilan dan ke sepuluh iaitu seorang ibu bernama Puan Rozita dan dua orang anak yang berumur 12 tahun dan 10 tahun. Mereka ditemui tertimbus dalam keadaan berpelukan yang sangat erat. Malangnya ketika ditemui, ketiga-tiga mereka telah tidak bernyawa lagi.


Begini ceritanya;


Ketika subuh yang kelam dan sepatutnya bening tetapi tidak; pasukan penyelamat iaitu SMART, BOMBA, PDRM dan ATM bertarung dengan cemas, ketidaktentuan dan keinginan teratas untuk menyelamatkan mangsa. Ruang udara Bukit Antarabangsa sangat sibuk dengan jeritan pelbagai arahan, mesej radio, percakapan telefon dan ‘walkie-talkie’ dan suara penduduk yang mula sedar akan keadaannya. Tanpa sebarang arahan, kami berpecah kepada beberapa kumpulan kecil yang bergerak ke kawasan yang dijangkakan ada mangsa tertimbus. Tidak ada pasukan SMART, BOMBA, PDRM dan ATM; yang ada hanyalah sekumpulan manusia yang dipertanggungjawabkan bagi menyelamatkan mangsa tanpa mempedulikan apa pun warna pakaian seragam yang di pakai ketika itu. Satu kumpulan, satu keinginan. Tiba-tiba terdengar satu suara anggota penyelamat yang melaung ‘MANGSAAAA!’, dua tiga orang anggota penyelamat meluru ke arah laungan tersebut. Oleh kerana ketika itu saya berada sangat dekat, maka saya adalah orang yang pertama sampai dan terus terjun ke dalam lurah tanah bagi membantu seorang anggota SMART. Saya pasti beliau adalah anggota SMART kerana seragamnya yang kaya dengan pantulan cahaya. Mangsa, seorang wanita berumur sekitar 30an sedang memeluk erat dua anaknya. Kedua-dua anaknya dipeluk segaligus dengan kedua-dua tangannya merangkul erat. Ketika mengangkat mangsa, tangan saya merasakan badan salah seorang dari anaknya masih panas. Mungkin masih bernyawa. Ketika membuka rangkulan tangan mangsa terhadap dua anaknya, saya dapati mangsa juga menggenggam segumpal kertas. Gumpalan kertas tersebut saya ambil dan masukkan ke dalam poket seluar celoreng dan terus menjulang mangsa ke atas kepada anggota penyelamat yang lain.


Dua hari kemudian, mangsa dapat dikenal pasti sebagai Puan Rozita, berumur 33 tahun. Beliau tinggal bersama dua orang anaknya iaitu Diana Julia bte Abdullah William, 12 tahun, dan Diana Memey bte Abdullah William, 10 tahun. Seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu rumah di salah sebuah banglo yang terlibat dalam kejadian tersebut. Sebaik sahaja membaca berita maklumat ini yang disiarkan oleh Berita Harian, saya sekali lagi menitis air mata dan teringat kepada segumpal kertas yang ditemui dalam genggamannya dan saya terlupa kepadanya. Sangat bernasib baik kerana gumpalan kertas ini dikeluarkan dari seragam celoreng sebelum seragam yang kotor itu dihantar kepada perkhidmatan dobi yang disediakan oleh pihak berkaitan di kawasan pentadbiran bencana. Saya bergegas meninggalkan lokasi dan balik ke hotel penginapan pasukan penyelamat yang juga disediakan oleh pihak berkaitan dan mencari gumpalan kertas tersebut.


Gumpalan kertas tersebut telah pun kering dan masih bertanah; adalah sepucuk surat yang sangat peribadi; di tulis oleh Allahyarhamah Rozita kepada bekas suaminya iaitu Abdullah William. Memandangkan kandungan surat ini teramat peribadi, dan atas rasa tanggungjawab terhadap mangsa, maka saya menamatkan pembacaan saya yang ketika itu belum selesai. Surat tersebut saya cuci dengan tisu lembab dan lurus kembali dengan seterika panas dan dimasukkan ke dalam sampul surat. Alamatnya seperti yang tertera pada awal surat iaitu;


Abdullah William Franklin

Lot 196, S2H6 Avenue Drive

Avenue Park

Cristhchurh

New Zealand


Sebelum memasukan surat tersebut ke dalam peti pos, saya terpaksa menulis alamat saya di belakang sampul surat kerana kandungan surat yang sempat dibaca memaksa saya berbuat demikian. Setelah memasukkan surat berkenaan di dalam peti pos di Pejabat Pos Taman Melawati; saya sangat teruja kerana telah melaksanakan tanggungjawab. Selepas itu, saya kembali ke lokasi kejadian.


Semalam, iaitu 15 hari selepas surat dihantar, saya menerima kembali surat berkenaan. Alamat asal surat telah dipotong dan terdapat dua alamat baru yang berbeza atas nama Abdullah William Franklin, juga dipotong. Tertera tulisan tangan ‘Sir, according to NZ postal regulations, we cannot deliver your letter to anybody because Mrs Williams was pass away in 1998’. Tulisan tangan tersebut di tandatangan oleh Cristhchurh Post Office Master. Dengan rasa sedikit terkejut dan sedih, saya membuka semula surat berkenaan dan membacanya sehingga tamat. Justeru saya memohon berjuta kemaafan kepada sanak saudara (sekiranya ada) Allahyarhamah Rozita kerana membaca surat tersebut. Setelah selesai membaca surat tersebut, saya berpendapat kandungannya wajar di kongsi oleh seluruh rakyat Malaysia khususnya penghuni yang terselamat dalam kejadian tersebut kerana kita akan mempelajari sesuatu darinya. Saya juga sedia bertanggungjawab atas tindakan ini. Inilah dia WARKAH DARI RUNTUHAN BUKIT ANTARABANGSA.


Rzta , Julia dan Memey

Bukit Antarabangsa

5 Dis 2008


Buat seseorang yang sangat kami sayangi,

Abdullah William Franklin

Lot 196, S2H6 Avenue Drive

Avenue Park

Cristhchurh

New Zealand


Kekasihku William,


Kesyukuran yang membunga dan mewangi kami harumkan kepada Allah S.W.T yang amat menyayangi umatnya. Ita dan anak-anak sihat walafiat dan meneruskan kehidupan yang penuh berliku dan ranjau. Begitu juga, kami doakan buat abang yang jauh entah apakah gerangannya. Sungguhpun abang telah melupakan kami, tetapi sebagai wanita dan ibu yang lembut hatinya, mana mungkin Ita melupakan lelaki yang telah memberi dua zuriat pada Ita. Ingatan ini mengimbau kuat semasa sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu. Seingat Ita, kita belum pernah melaksanakan aqiqah bagi anak kita iaitu Memey. Maka Ita melaksanakannya ketika sambutan raya tersebut. Memey bertanyakan abang, ayahnya. Julia tidak lagi pernah bertanya. Mungkin Julia telah muak dan letih bertanya. Mereka juga sama seperti Ita, mana mungkin melupakan seorang ayah yang pernah bersama sungguhpun hanya seketika.


Surat ini hanyalah satu usaha kami bagi melepaskan beban rindu. Sungguhpun ianya sia-sia kerana tiga pucuk surat terdahulu dikembalikan. Sampai atau tidak surat ini bukanlah perkara utama kerana kami amat mendambakan kehidupan dan kerinduan. Cukuplah dengan sebuah kehidupan yang sempurna. Kami tidak pernah mengimpikan kehidupan seperti tuan rumah ini yang mana ibarat langit dengan bumi. Buat masa ini, Ita bekerja sebagai pembantu rumah kepada seorang usahawan muda yang sangat berjaya. Dengan izin beliau juga, Ita dan anak-anak dapat menginap di pondok di belakang banglonya. Tuan rumah ini masih muda dan dikurniakan rezeki yang melimpah ruah. Masih bujang dan tersangat banyak wang. Kami pun tidak tahu apakah pekerjaannya. Yang kami perlu tahu ialah makan dan tidur kami adalah percuma, dan setiap bulan Ita di beri upah. Syukurlah.


Kekasihku William,


Diri ini sering menitiskan air mata kerana teramat rindu kepadamu. Kerinduan Julia dan Memey menambahkan jumlah rindu yang bersarang di dada Ita. Kekasihku yang dirindui, mengapa abang meninggalkan kami ketika kami amat mengharapkan. Warkah ini adalah usaha yang terakhir bagi kami kerana Ita dan anak-anak merancang untuk berpindah ke sebuah rumah sewa di Keramat. Ita terpaksa berhenti kerja dan berpindah ke kawasan lain atas desakkan anak-anak. Sebenarnya kawasan penginapan mewah ini dirasakan sudah tidak selamat lagi. Seminggu yang lalu telah berlaku runtuhan lereng bukit di belakang rumah yang mana sebelumnya juga telah berlaku beberapa kali. Dari percakapan telefon tuan rumah, Ita dapat tahu bahawa perkara tersebut telah pun dilaporkan kepada pihak berwajib tetapi setakat ini tidak ada tindakan yang kelihatan. Julia dan Memey sering memaksa supaya kami berpindah kerana mereka sering diganggu mimpi tanah runtuh. Anak-anak sangat takut. Bahkan Ita sendiri pun bermimpi, dirimu datang menyaksikan kami berpindah.


Ketika ini, kerinduan Ita pada abang sangat memuncak. Hati menjadi sayu, nafsu amat meresahkan dan kenangan mengimbau datang sejak dari petang lagi. Kening mata kanan Ita bergerak-gerak sejak seminggu yang lalu. Bak kata orang tua, ia adalah petanda akan melihat atau bertemu dengan seseorang. Tak tahulah betul atau tidak kerana Ita amat mengharapkan orang yang akan di temui itu adalah abang; ayah pada Julia dan Memey. Sebaik sahaja Julia dan Memey mendengkur kecil, Ita mencium gambar dan kain abang sepuas-puasnya. Sungguhpun baunya telah lama hilang. Akhirnya Ita menangis dan menggigil kerana rindu yang teramat kuat.


Peluk cium dari kami

0328 pagi


Sebelum saya mengakhiri kisah, saya memohon kepada saudara mara Allahyarhamah Rozita agar dapat menghubungi saya dengan segera kerana WARKAH DARI RUNTUHAN BUKIT ANTARABANGSA masih ada dalam simpanan saya. Selagi saya menyimpaninya, selagi itulah saya merasai bebanannya. Saya boleh dihubungi melalui talian telefon mobil 012-3031766 atau melalui email radzi_hamid@yahoo.com. Sekiranya warkah ini tidak dituntut, saya bercadang untuk memasukkannya ke dalam botol dan menghanyutkannya ke laut lepas. Biarlah Tuhan yang maha berkuasa dan mengetahui menentukan perjalanan WARKAH DARI RUNTUHAN BUKIT ANTABANGSA.



Sunday, May 23, 2010

NOVEL PERANG PLATUN HARIMAU

Pertamanya, Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua rakan dan kawan. Keduanya mohon maaf kerana agak lama tidak menulis di dalam blog saya. Sungguhpun ramai sahabat yang bertanya. Sebenarnya, bukan saya berhenti menulis. Bahkan saya lebih banyak menulis dari biasa.

Pengajian saya di UKM mengheret saya dalam kancah kesibukan yang tidak terawat. Di samping ada 5 subjek UKM, saya juga terpaksa berhadapan dengan beberapa lagi keperluan pengajian ketenteraan. Pengajian ini iaitu SARJANA PENGURUSAN PERTAHANAN, ianya ialah salah satu dari cabang sains sosial. Semester pertama, saya dihujani dengan 28 buah tugasan pelbagai jenis. Ada yang panjang hingga ke lebih 30 muka surat dan ada yang pendek hanya 4 muka surat (kalau tak salah yang pendek ni ada dua je, yang lain semuanya macam kereta api). Di samping itu juga, pengajian juga memerlukan kami membuat pelbagai persembahan. Ini kerana pengajian ini lebih berbentuk kepada pembangunan diri atau ‘student driven’ yang mana pelajar lebih banyak bercakap dari pensyarah. Pensyarah hanya mengajar 30 peratus sahaja, 70 peratus lagi, pelajar yang mengajar. Pengajian ini dijalankan secara terpimpin. Kuliah bermula jam 0730 pagi 0830 pagi. Rehat dan kemudian kuliah bersambung semula pada jam 0900 pagi hingga ke petang. Isnin hingga Jumaat. Kalau tiga kali tidak hadir kuliah, pelajar akan dibuang dari pengajian. Begitu juga jika mendapat surat amaran sebanyak 3 kali kerana lewat datang ke kuliah juga akan dibuang. Pensyarah-pensyarahnya di datang khas dari UKM dan beberapa Universiti lain. Semuanya terkenal dan sering kali keluar kat TV. Seperti Prof. Dr, Datuk Zakaria Ahmad, Prof Ruhanas Harun (selalu kat TV), Prof. Dr, Kamrulnizam (selalu di temu duga media merujuk kepada pendapat berkaitan hal ehwal politik, dan banyak lagi). Pensyarah-pensyarah jemputan seperti Prof KS Nathan, Prof Ramasamy, semua ambasador luar Negara, ketua hakim Negara dll.

Merujuk kepada NOVEL PERANG PLATUN HARIMAU, sungguhpun mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan DBP meminta supaya ia disambung tetapi masa sangat ingin menjauhkan diri. Terlalu sibuk. Novel ini akan difilemkan dan kini sedang dalam proses menyediakan skrip. Cetakan pertama sudah habis dijual. Barangkali, ramai tertanya bagaimana novel ini di rencanakan. Sangat sulit untuk memperkatakan sesuatu apabila kita mengetahuinya terlalu banyak. Draf novel ini terpaksa mendapat kelulusan Bahagian Staf Perisikan Pertahanan terlebih dahulu sebelum boleh disiarkan. Ini kerana Platun Harimau sering diberi tugas yang memiliki tahap kerahsiaan yang sangat tinggi. Maka tidak semua misi boleh dikongsi dan ia dibiarkan menjadi rahsia selama-lamanya. Ada misi yang boleh mencetuskan krisis dengan jiran tetangga dan misi yang boleh memualkan. Maka tidak semua boleh dikongsi. Apa yang dihidangkan dalam Novel Platun Harimau dan pembaca menjamahnya; adalah sesuatu yang telah ditapis dan dibuang itu dan ini. Semasa pesta buku antarabangsa, Novel ini menaruk perhatian Perdana Menteri dan beliau memperuntukkan masa lebih dari lima mini bagi berbual dengan saya berkaitan novel ini.

Malangnya novel terlaris 2009 (menurut Carta Jualan Buku Negara) belum dirasmikan. Pelbagai pihak diarahkan bagi menentukan novel ini dirasmikan tetapi hingga kini ia belum terlaksana.

JUMPA LAGI

Sunday, January 3, 2010

TAHUKAH ANDA? CHIN PENG TELAH DUA KALI MENOLAK TAWARAN KERAJAAN

1. Tawaran Pertama: 9 September 1955, Kerajaan menawarkan pengampunan beramai-ramai kepada anggota PKM dengan syarat PKM meletakkan senjata. Rundingan telah diadakan pada 28 dan 29 Disember 1955 di antara Kerajaan dengan PKM di Baling. Kerajaan meletakkan syarat iaitu PKM mesti menyerahkan senjata sebagai syarat pengampunan dan tidak boleh menubuhkan parti politik komunis. Chin Peng yang ketika itu Setiausaha Agung PKM menolak syarat tersebut dan seterusnya menolak tawaran pengampunan beramai-ramai.

2. Tawaran Kedua: 1 September hingga 31 Disember 1957, sekali lagi tawaran penyerahan diri kali kedua kepada PKM diisytiharkan oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu tetapi juga ditolak.

3. Tawaran Ketiga: 2 Disember 1989, PKM menerima tawaran peletakan senjata oleh Kerajaan. PKM bersetuju meletak dan menyerahkan senjata sepenuhnya serta menamatkan keganasan mereka di Tanah Melayu. Antara syarat kembali ke tanahair ialah memajukan permohonan (ada tarikh tutup) dan hadir temuduga. Malangnya Chin Peng berkeras tidak mahu memohon dan hanya memohon pada saat akhir setelah mendapati semua rakan PKMnya memohon. Permohonan Chin Peng diterima sehari sebelum tarikh tawaran berakhir. Rakan-rakan Chin Peng telah hadir dalam sesi temuduga dan Chin Peng tidak hadir. Ini bermakna, beliau tidak insaf, menolak tawaran kerajaan. Menurut maklumat tertentu, semasa saat memajukan permohonan kembali ke Malaysia, berlaku pergeseran di kalangan mereka yang mana Chin Peng memarahi anggota Komunis yang memajukan permohonan. Dan permohonan Chin Peng untuk kembali yang dimajukan sehari sebelum tamat tarikh tawaran tidak dibuat oleh Chin Peng sendiri tetapi oleh rakan-rakan beliau.

Ulasan:

1. Persoalan 1: Kenapa Chin Peng menerima tawaran 1989? Kerana beliau sudah tua, asma atau lelah dan tidak boleh lagi hidup dihutan. Manakala rakan-rakan beliau satu persatu telah mati dan yang adapun seusia dengan beliau dan tidak berdaya lagi. Lagipun tidak ada pengikut baru PKM, bermakna jika kerajaan kita bersabar lagi sepuluh tahun dan tidak menawarkan tawaran serah diri, bermkana pada tahun 1999, 80% anggota PKM akan mati tua dan akhirnya organisasi PKM juga lenyap begitu sahaja.

2. Persoalan 2: Penyerahan senjata?. Benarkah PKM telah menyerah senjata yang dimiliki mereka. Kebanyakan senjata yang diserah adalah senjata yang tidak boleh digunakan dan ada sesetengahnya ialah senjata yang digunakan semasa zaman jepun. Di manakah senjata yang digunakan semasa dalam pertempuran dengan pasukan tentera kita. Saya pernah melihat anggota PKM membawa M16. Tak ada pun di serah.

3. Persoalan 3: Chin Peng Tidak Menyesal. Menyoroti buku Memoir Chin Peng, ia sangat memualkan dan rasa jengkel sangat dalam. Chin Peng langsung tidak menunjukkan rasa kesal dan insaf. Bahkan ia berbangga dengan kejayaannya membunuh anggota pasukan keselamatan, membakar rumah dan harta orang-orang kampung, memusnahkan prasarana spt jln kereta api dan kejayaan jerangkap samar mereka memutuskan kaki anggota tentera.

Wednesday, December 30, 2009

SELAMAT TINGGAL TAHUN 2009

Mengimbau kembali jejak 2009, pada tanggal 24 Nov 2008 adalah tarikh kuatkuasa pertukaran saya ke tempat baru. Dan saya masih bercuti tamat belajar hingga tarikh tersebut. Malangnya kerana keperluan tugas di tempat baru, saya dikehendaki bertugas lebih awal dan menamatkan cuti pada 10 Nov 08 (terpaksa sebenarnya). Cam biasalah, kita ni beruniform, kena ikut arahan. Lokasi bertugas baru ialah di Kem Wardieburn, Setapak sebagi manusia yang mengendali hal-hal operasi di kawasan Selangor, KL dan Putrajaya. Dalam masa yang sama ada beberapa cawangan lagi di bawah saya seperti Cwg Perhubungan Raya, Cwg Latihan, Cwg Kejuruteraan, Cwg Gerakan dan Cwg P4 (ini cwg yang banyak rahsia). Staf memang banyak, tapi dah lebih setahun, boleh kata semua nama staf saya ingat. Ada yang sampai saya ingat nombor keta dia.
Seminggu selepas lapor bertugas, saya sibuk kemas barang bagi berpindah ke penginapan yang disediakan di Wangsa Maju (dah tak maju sangat sekarang - gitu-gitu je). Tiba-tiba, Tanah runtuh di Bukit Antara Bangsa. Apa lagi, sayakan orang yang bertanggungjawab hal-hal gerakan (gerakan tentera dan bantuan kepada masyarakat). Sebulan lebih saya berkampung di Bkt Antarabangsa. Sebenarnya kami hanya sibuk pada peringkat awal sahaja iaitu bantuan ketika tengah genting. Selepas itu, tentera perlu menyerahkan tugas kepada pihak polis (berdasarkan Arahan MKN 20). So, kami hanya melihat dan membantu apa yang pihak lain tak mampu nak buat atau pihak lain tak boleh nak buat. Contohnya jalanraya bagi digunakan oleh lebih 12,000 penduduk yang terkepung tak boleh keluar kerana tak ada jalan. Pada mulanya pihak JKR dikehendaki membina jalan tersebut. Semasa mesyuarat, JKR akan mengambil masa 2 bulan lebih baru jalan tersebut siap dan boleh digunakan. Pegawai dari Cwg Kejuruteraan Mk kami, berbisik kepada saya, 'Tuan, bagi saya buat jalan tu, esok mesti siap'. Saya pusing tengok pada dia (jegill), dia angguk kepala tanda yakin boleh siap esok. Bila kita maklumkan bahawa tentera boleh buat jalanraya tu, dan esok pagi boleh guna. Semua tak percaya. U pun tak cayakan.
Semasa perbincangan itu berjalan, dalm diam-diam Peg Kejuruteraan (pangkat Mejar), dah pun beri arahan kepada pasukan 'jurutera bina' dari Kluang Johor bagi menggerakkan beberapa jentera berat yang akan digunakkan dalam proses membina jalan berkenaan. Pendekkan cite, ok tentera buat jalan. Bagi menjaga keharmonian perhubungan, kita minta JKR tolong bantu dan sama-sama membina jalan. Bukan nak rendahkan mereka tapi mereka pun ada bantu. Bermula pada saat itu, 'manpower' dari pasukan askar melayu dari Kem Tapah, Perak, askar melayu dari Kem Bentong, Pahang dan dari Kem Kluang; bertungkus lumus menggunakan apa sahaja peralatan yang ada bagi menentukkan penduduk yang terkepung boleh keluar dan pergi kerja atau sebagainya. Mereka bekerja tanpa henti sehingga pagi keesokkannya. Nak jadikan cite, pada malam tu, Tuhan menguji kami dengan hujan selebat-lebatnya. Hujan berkenaan tak sedikitpun menggugat keazaman anggota tentera kita khusunya askar melayu bagi menyiapkan jalan berkenaan.
Pada jam lebih kuran 0824 pagi, panglima kami berdiri di tepi jalan melambaikan tangan kepada penduduk yang sedang berebut memandu keluar dengan menggunakan jalanraya yang dibina dengan menggunakan hantu raya (anggota tentera). Jalan berturap you, siap ada trafic light lagi, ada lampu jalan lagi. Tu lah gunanya tentera kita niiiiih. Dalam saat genting, mereka sangat berguna sebab kita tentera bekerja berdasarkan 'mission'. Matlamat atau 'mission' mesti di capai dalam apa keadaan sekali pun. Bos tak nak dengar problem, kalau ada problem, you selesaikan dan misi mesti terlaksana. Banyaklah lagi cite pasal tanah runtuh kat situ, tak yahlah cite sebab dia mendukakan kita kerana sikap segelintir dari manusia Malaysia.
tetetetetetetetetetetetetetetetettetetetetett, dah 31 Dis 2009. Saya sibuk lagi mengemas barang. Masuk kedalam kotak, ada beberapanya adalah kotak yang sama digunakan semasa berpindah ke Wangsa Maju. Saya pindah lagi iaitu bertukar keluar. Sayang nak keluar dari penginapan di Wangsa Maju sebab kedudukan penginapan saya di atas bukit. Tingkap dan verandah berhadapan dengan kehijauan perbukitan Melawati. Kelihatan Genting Highland dan rumah Dato' Yusof Haslam, MRR 2 yang jemnya tak tentu masa. Sangat medambakan kerana kehijauan hutan tersebut menjadikan saya sentiasa teringat kampung saya yang sekelilingnya adalah hutan, hiburan kami adalah suara-suara mergasatua.
Mulai 11 Jan 2010, maka bermulalah satu perjuangan baru sebagai budak sekolah. Saya kena belajar lagi (nak sebut teruskan pengajianpun tak berapa tepat). Kali ni di UKM plakk selama setahun bagi menyiapkan Sarjana dalam bidang sains sosial. Kalau campur sarjana yang ini, saya akan ada empat sarjana (satu luar negara dan tiga dalam negara). Tak tahulah kenapa kena buat lagi. Saya ni beruniform, ikut arahan jeeee. Melihat kepada subjeknya, rasanya sangat mencabar. Semeser 1 kena ambil lima subjek:
1. Comparative Startegy and National Policies.
2. Crisis Management and Resolutions in new world order.
3. Malaysia in International Relations.
4. Theoritical Approaches in Strategic and Sovereignty Studies.
5. Research Methodology in Startegic Studies.
Lebih kurang cam tulahhh. jangan tanya banyak-banyak, sebab akupun pun tak faham dengan nama subjek. baca nama subjekpun dah pening, belum blajar gi.
Sayang juga nak tinggalkan pejabat sebab pejabat baru siap 'upgrade' tak sampai dua minggu sudah, meja baru, kerusi baru, almari buku baru, meja komputer dan komputer baru, sofa baru, aircond pun baru. Hehe ehe , kena selamat tinggal jugalah.
2010 - Mahasistua UKM

Tuesday, December 29, 2009

WARDIEBURN GARAGE SALE

Adakah anda perlukan pakaian sekolah bagi anak-anak dengan harga murah?
Adakah anda perlukan sesuatu tetapi tidak mampu membayarnya?
Adakah anda tidak ada kerja tapi mempunyai masa?
Datanglah ke 'Wardieburn Garage Sale' pada 10 Jan 2010, Mulai jam 0730 hingga 3.30 petang di Hadapan Masjid Kem Wardieburn, Setapak.


Selamat membeli.

Tuesday, December 22, 2009

ISU SEKOLAH BERASRAMA PENUH

Hari ini KPM mengumumkan keputusan bagi pelajar-pelajar sekolah yang memohon untuk belajar di Sekolah Berasrama Penuh. Sama ada berjaya atau gagal. Keputusan berjaya atau gagal ini, setiap tahun di menjadi isu besar yang dipertikaikan. Saya cenderung untuk mengatakan bahawa isu ini kerana ia cuba dibudayakan pada setiap akhir dan awal tahun. Kalau kerap sangat berulang seperti diamalkan, maka ia akan menjadi praktis dan akhirnya menjadi satu budaya. Itu adalah pandangan yang pertama.
Keduanya ialah adakah rungutan-rungutan yang dilontarkan oleh ibu bapa yang mana permohonan anak-anak mereka gagal di beri perhatian, diselesaikan atau berlalu begitu sahaja. Ataupun paling marhaennya, ditertawakan atau di lihat sebagai isu remeh. Apakah kriteria sebenarnya yang ditimbangtarakan oleh pihak yang diberi amanah bagi memilih. Saya dimaklumkan bahawa setiap gurubesar Sekolah Berasrama Penuh mempunyai hak untuk memilih sendiri berdasarkan kuota atau peratus yang diperuntukkan kepadanya. Jadi bermakna ada dua pihak pemilih. Katakanlah, gurubesar mempunyai hak untuk memilih 30% dan KPM mempunyai hak untuk memilih bakinya lagi 70%. Begitulahkan. Pada pendapat saya, sistem beginilah yang mencetuskan banyak rungutan ibu bapa seperti anak orang kaya, bapanya memandu Mercedes, anak ahli politik yang ‘confirm’ banyak wang, diterima di Sekolah Berasrama Penuh. Manakala anak-anak kepada golongan pertengahan ditolak seperti anak PTD, anak kakitangan profesional dan sokongan dlll. Anak-anak yang bapanya mempunyai pendapatan rendah atau miskin ataupun susah, saya mendoakan agar permohonan bagi anak-anak mereka yang berjaya mendapat 5A diterima kerana mereka wajib dipertimbangkan. Apa yang membimbangkan ialah anak orang susah yang dapat 5A ditolak tetapi anak orang-orang tertentu, mungkin guru sekolah berkenaan yang hanya dapat 4A 1B atau pun 3A jee, diterima masuk ke Sekolah Asrama Penuh. Jika ia tidak berlaku, maka sangatlah bagus.
Ketiganya, siapakah pihak yang boleh dipercayai bagi menyemak perkara ini. Sayapun tak tahu.
Keempatnya, ialah Amanah yang diberi kepada sesiapa sahaja yang berada dalam kumpulan bagi memilih pelajar-pelajar yang layak adalah satu tanggungjawab yang besar. Sekiranya amanah tersebut tidak dilaksanakan dengan betul yakni memilih mereka yang tidak layak atau kurang layak sedangkan ada lagi pelajar lain yang paling layak, maka kumpulan ini telah melakukan satu kezaliman dan berdosa. Maka jawablah kepada Tuhan,

Saya terpanggil untuk memberi pendapat berkaitan hal ini kerana pada tahun 2008, saya diminta bagi menyediakan SURAT SOKONGAN kepada seorang pelajar cemerlang sekolah yang mana berdekatan dengan penginapan saya. Pelajar ini segala yang terbaik ada padanya dengan Tokoh Nilam, Tokoh Pemimpin, Ketua Murid dan segala macam lagi, dapat 5A plak tu. Pada pandangan saya, adalah mustahil untuk permohonan pelajar ini ditolak. Pendapatan ibu bapa adalah sederhana. Hakikatnya permohonan pelajar ini tidak diterima. Saya sangat tersentuh dan terharu kerana pelajar yang baik macam tu pun tak dapat, yang lain-lain saya tak tahulah. Atau adakah semua pelajar yang telah dipilih, adalah lebih baik dari itu. Wooo! hebatlah generasi kita ni. Akhirnya, tidak ada seorangpun dari anak-anak dari sekolah tersebut yang mendapat 5A diterima. Dan saya pening berkaitan apakah kriteria yang diambil kira. Berdasarkan kegagalan tersebut, saya difahamkan YDP PIBG sekolah berkenaan telah meletak jawatan kerana tidak memberi apa-apa makna dan beliau tidak upaya membantu pelajar yang paling cemerlang di sekolahnya.
P/S Saya teringat peristiwa gurubesar sekolah saya dulu iaitu Cikgu Harun Rejab. Beliau menolak tawaran KPM untuk menjadikan sekolah kami di pedalaman menjadi Sekolah Asrama Penuh. Katanya, sekiranya sekolah tersebut dijadikan Sekolah Asrama Penuh, maka anak-anak orang kampung dan kawasan saya tidak akan dapat bersekolah di situ. Biarlah sekolah itu seperti sediakalanya, lagipun tujuan asal ia dibina ialah untuk anak-anak di kawasan itu sebab tak mungkin anak-anak orang kampung di kawasan saya dapat 5A. Kami di kampung tak pandai. Saya satu A pun tak de dan tak tahupun periksa penilaian darjah lima itu penting. Ada rakan saya tak datangpun masa periksa tu, pergi tolong ayahnya mencabut rumput di sawah. Itulah dunia kami, orang kampung, dah kampungan, hulu plak tu, banat lagi, kat kawasan hitam plakkk.