Tuesday, October 25, 2011

WIRID PAHLAWAN


[Akan dideklamasikan nanti semasa Acara Puisi Pahlawan di DBP pada 31 Okt 11]

Keamanan negara sangat berharga
tidak terbeli walau dengan emas bergunung
penaka delima sebesar pulau
adalah kewajipan anak bangsa
menjaga, memelihara keamanan
sebagai satu amanah
adalah kewajipan barisan pejuang
berdiri gagah perkasa mempertahankan tanah bonda
hingga ke hujung nyawa.

Jika nanti, hujan merah turun di laman kampung kita
dan titisan hujan merah membasahi kita seluruhnya
menenggelami sawah ladang
memusnahkan ternakan
menghancurkan tamadun bangsa
jangan pula kau salahkan Tuhan yang berkuasa atas segala-galanya
jangan pula kau berpaling dari Tuhanmu
kerana Tuhan telah sekian lama berpesan
melalui surah al Anfal ayat 60











"Siapkanlah untuk memerangi mereka
dengan apa saja kekuatan yang kalian mampu
dan dari kuda-kuda yang ditambatkan untuk berperang
kalian menggentarkan musuh Allah dan musuh kalian
serta orang-orang selain mereka
yang tidak kalian ketahui
sedangkan Allah mengetahuinya"

Pena Celoreng
26 Okt 11

NOVEL: SERANG HENDAP ULU LEGONG


Hanya satu daripada berjuta yang boleh selamat dalam kejadian serang hendap. Serang hendap oleh pengganas komunis ke atas pasukan keselamatan di Ulu Legong termasuk dalam kumpulan berjuta yang tidak selamat. Serang Hendap Ulu Legong adalah saksi atau bukti kepada dua perkara sejarah iaitu kekejaman pengganas komunis dan keberanian perajurit-perajurit Askar Melayu yang telah berjuang bermati-matian hingga ke hujung nyawa. Sungguhpun menyedari akan kelemahan kumpulan seperti jumlah yang sangat  sedikit (9 vs >38), kedudukan yang tidak strategi dan tidak mempunyai senjata bantuan, 9 orang perajurit tanahair telah berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Menyerah kalah adalah pantang pejuang dan sama sekali tidak biarpun nyawa melayang. Perajurit-perajurit yang cedera parah telah diseksa bagi mendapatkan maklumat. Membocorkan maklumat sama sekali tidak dan menyerahkan senjata pun sama sekali tidak, mereka lebih rela mati. Jenazah-jenazah perajurit yang syahid telah dizalimi sekejam-kejamnya oleh pengganas komunis yang berbadan manusia tetapi berhati binatang dan bertindak seperti iblis. Mata dicungkil, perut di robek, telinga di potong, isi perut diburaikan, kemaluan di potong dan segala-galanya tidak tercapai oleh sifat seorang manusia. Kisah yang sangat eksklusif dan belum terbongkar.

Novel terbaru ‘Serang Hendap Ulu Legong’ akan dilancarkan dalam masa terdekat. Hanya di terbitkan dalam jumlah yang sangat terhad lagi eksklusif. Hanya 2000 naskhah sahaja. Siapa cepat dia dapat. Tempahan dibuka sekarang. 


Thursday, October 13, 2011

IKRAR RAKYAT SERUMPUN MERDEKA

IKRAR RAKYAT SERUMPUN MERDEKA


Aku, kau, kamu dan kita sekalian,
bernafas dalam ruang yang sama
berpijak di atas tanah yang sama
berteduh di bawah langit yang sama
satu tanah, satu bumbung, satu bicara
berbahasa satu, bahasa Melayu
berbangsa satu, bangsa Malaysia
bernegara satu, negara Malaysia
satu bahasa, satu bangsa, satu negara

Teras kita adalah toleransi
landasan kita adalah demokrasi
perpaduan adalah ramuan paling wangi
buat aku, kau, kamu dan kita sekalian
yang menjunjung satu bahasa,
yang mengendong satu bangsa,
yang menerajui satu negara

Maka kita wajib menapak kukuh diatasnya
maka kita wajib mengorbankan jiwa dan raga
maka kita wajib bekerja sama
maka kita wajib memelihara kedaulatan
maka kita wajib memelihara keamanan
maka kita wajib berbahasa satu tanpa berlawan kata
maka kita wajib berbangsa satu tanpa sengketa
maka kita wajib bernegara satu tanpa perpecahan
dengan sukarela
dengan tulus jiwa
dengan penuh jiwa raga

Berbanggalah kita pada tanah ibunda
yang sedia menadah dan menerima
bersyukurlah kita pada tanah ibunda
yang tidak pernah meronta dan meminta
bertawakalah kita atas segala usaha
kerana tuhan di jiwa dan hati kita

Ketahuilah, bahawa bahasa, bangsa dan negara
adalah warisan dari perjuangan dahulu
yang basah dek keringat, air mata dan darah
yang terpeta seribu perjuangan sejuta langkah
bagi menuntut kemerdekaan
satu bahasa, satu bangsa, satu negara
sebangsa, sesaudara, senegaralah kita


 
Radzi
MINDEF
6 Okt 2011