Saturday, November 20, 2010

DRAMA PLATUN HARIMAU - 15 EPISOD

[Dari kiri: Nurhalim (pengarah), radzi (penulis) dan Ajk Teknikal, Peg Perhubungan artis dan penasihat teknikal]
Mesyuarat akhir AJK Produksi telah dilakukan pada 11 Nov 2010. Melibatkan staf teknikal, pengarah, pengurus, penasihat teknikal perang dan Pegawai Perhubungan artis. Mesyuarat di maklumkan antara artis yang telah di pilih setakat ini ialah Norman KRU sebagai CO, Zeq Zaidi sebagai Fauzi, Safura sebagai Mak Kiah, dan Baini setakat ini masih dalam pertimbangan pengarah antara Fasha Sandha, Sir Saleha, Fauziah Ghous. Maimun sebagai Mak Teh dan beberapa pelakon lagi.

Penulis skrip adalah Asmira. Penggambaran akan dilakukan pada 28 Nov 2010 di Pusat Latihan Peperangan Khas, Komando Sg Udang, Kem Tapah, Kem Grik, banding, Kuala Lipis, Kuala Lipis dan beberapa tempat lagi. Drama Platun Harimau akan ke kaca TV pada 1 Mac 2011 sempena Hari Ulang tahun Tentera Darat. Semoga drama ini selari dengan hasrat saya menulis novel ini iaitu menyedarkan anak generasi Malaysia bahawa pengganas komunis adalah bangsat dan penderhaka. Mereka telah bertindak kejam kepada rakyat. Keduanya ialah Tentera Darat khususnya Askar Melayu telah dengan gigih berjuang. Dalam perjuangan itu, ramai perajurit askar Melayu yang terkorban, tercedera, putus kaki, cacat penglihatan dan sengsara hingga ke saat ini. Bangkitlah anak-anak Malaysia menentang golongan yang memperjuangkan komunis

Dengan bantuan dan kerjasama Tentera Darat, drama ini akan di jayakan. Sebagai penulis novel, saya terharu dan berterima kasih kepada Nadi Budaya Production, RTM dan Panglima Tentera Darat kerana telah memilih novel saya. Terima kasih tidak terhingga.

Thursday, November 11, 2010

BATU '0' @ PUSAT TANAH MELAYU

[Penulis di sebelah Batu Kosong]

Batu ‘0’ adalah sesuatu yang agak pelik. Saya tidak mempunyai banyak maklumat bagi berkongsi dengan semua rakan. Pelbagai cerita yang di dengar. Antaranya, ada yang mengatakan batu kosong ialah PUSAT Semenanjung Malaysia. Kalau Tuan tanya balik, macam mana di katakan sebagai pusat Semenanjung Malaysia. Saya minta maaf banyak-banyak kerana saya pun tak tahu. Ada yang kata, dari sinilah jarak jauh lokasi di negeri Pahang di ukur tapi kat negeri lain tak ada pun. Ada pula yang kata batu itu dipercayai merupakan pusat bagi Semenanjung Malaysia jika diukur dari satu sudut Garis Pusat. Menurut satu catatan lain menyatakan bahawa Jabatan Ukur Dan Pemetaan mengesahkan batu kosong ialah GPS (Global Positioning System) merupakan batu tanda pengukuran yang digunakan oleh jabatan itu. Sumber lain pula mengatakan Sir Clifford mengarahkan supaya semua pengukuran jarak lokasi di Tanah Melayu hendaklah bermula di Kuala Lipis dan beliau juga memutuskan bahawa Kuala Lipis adalah pusat Tanah Melayu. Entah betul ke tidak, saya pun tak pasti.

[Inilah Batu Kosong yang asal. Masih Tertanam dan mungkin usianya lebih 54 tahun]

Saya telah sampai ke Batu Kosong. Menurut maklumat seorang rakan, Batu Kosong yang berada di tepi jalan di Pekan Kuala Lipis bukanlah batu yang asal. Bahkan lokasinya pun telah berubah. Maka itu, saya dan beberapa rakan meneroka kawasan sekitar bagi mencari batu yang asal. Batu kosong yang asal di katakan di tanam semasa zaman pemerintahan British. Bermakna usia penanda Batu Kosong ialah lebih 54 tahun (jika di tanam pada tahun 1957) tetapi British telah menduduki Kuala Lipis sejak 1860an lagi. Lama tuuu. Akhirnya, kami menemui batu asal Batu Kosong.

[Inilah yang menghairankan sebab di sebelah sana tanda Batu Kosong dicatat jarak Kuantan 156 batu. Macam mana diukur sebab disebelah sana '0']

Selain daripada itu terdapat beberapa peninggalan sejarah yang masih kekal hingga hari Rabu lepas iaitu Rumah Rehat Residen yang dibina pada 1867, Sekolah Menengah Clifford yang didirikan pada 1913 dan sebuah masjid di tepi sungai iaitu Madrasathul Firdaus yang dibina pada tahun 1888 oleh saudagar Arab Yaman yang bernama Habib Hassan. Reka bentuknya mempunyai identiti seni bina Melayu Nusantara dan persamaan pada pengaruh Minangkabau.. Kami singgah berjemaah di sini. Rasa saya tiang-tiang kayu di dalamnya adalah yang asal. Bumbung dan syiling mungkin telah ditukar. Berdasarkan kronologinya, maka masjid ini adalah bangunan tertua di Pekan Kuala Lipis.

DOA SEORANG RAKYAT

[INGATAN: APA YANG DICATAT DI SINI BERDASARKAN PENGAMATAN SAYA. IA TIDAK ADA DATA EMPIRIKAL ATAU SATU KAJIAN KHUSUS. JUSTERU PENDAPAT YANG DILONTAR ADALAH BERSANDARKAN KEPADA PREMIS SEDEMIKIAN]

Sama ada kita sedar atau tidak sedar, ia berlaku disekeliling kita dan mungkin dalam diri kita. Ia berlaku dan semakin kerap terjadi di hadapan kita. Di mana-mana sahaja, di kedai kopitiam atau kopi putih (yang tidak memberi lesen francais kepada bumiputra), di stesyen teksi, di pejabat dan di mana sahaja terdapat sekelompok rakyat Malaysia yang bercakap tentang rasa tidak puas hati terhadap pemerintahan kerajaan. Pelbagai kritikan terhadap apa sahaja inisiatif atau projek yang dijalankan oleh kerajaan. Laporan Ketua Audit Negara menjadikan perbincangan kelompok ini semakin panas berbahang. Kelompok ini tidak mengira sama ada mereka dari kumpulan penyokong ataupun pembangkang. Bab kumpulan pembangkang tak payahlah kita perkatakan kerana memang pembangkang harus begitu. Malangnya kelompok ini melibatkan kumpulan penyokong kerajaan sendiri. Lebih malang lagi kumpulan ini terdiri dari manusia yang memakai tali leher dan kot hitam ataupun biru. Semestinya golongan profesional.

Isu yang di perdebatkan adalah sangat rencam seperti keresahan bangsa khususnya bangsa Melayu, biasiswa, sekolah, perbelanjaan wang kerajaan, pemimpin yang lemah, populariti isteri pemimpin, bonus dan banyak lagi. Pendek kata semuanya tidak kena, semuanya tidak wajar, maka pemikirannya sahaja yang betul. Persoalannya benarkah isu-isu yang digunakan bagi mengkritik kerajaan. Pada pengamatan saya, golongan ini tidak membincangkan isu yang belum terjadi dan mereka juga tidak mencipta cerita. Isu yang diperdebatkan ialah isu yang memang berlaku kerana perbincangan kelompok ini di sertakan bukti-bukti pendengaran, penglihatan dan pengalaman. Isu yang paling banyak di perkatakan ialah pembaziran wang kerajaan. Paling menyedihkan, isu ini juga diperbualkan di Mekah bagi mereka yang pergi menunaikan ibadah haji.

Ia umpama kakitangan jabatan yang memperkatakan tentang 'boss' baru. Kebiasaannya 'boss' baru semuanya tak betul. Hanya golongan yang berpihak sahaja yang kata 'boss' betul. Justeru mantan 'boss' atau boss lama yang juga menerima nasib yang serupa, pula kini dikatakan lebih baik dari 'boss' baru. Kes ini tak sama dengan orang yang kahwin dua atau tiga atau empat kerana isteri yang baru sentiasa baguihhhhhh. Sama juga dengan kes beli rumah baru atau kereta baru. Yang baru sentiasa terbaik. Tapi dalam bab pemimpin ia tidak begitu.

Akhir kata, perkara yang ingin saya angkat ialah adakah dengan cara sedemikian iaitu mengutuk dan mengkritik pemimpin atau kerajaan, ia boleh mengubahnya kerana pihak yang dikritik tetap terus dengan agenda mereka seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Pernahkah kita berdoa kepada Tuhan supaya pemimpin kita diberi kekuatan dan petunjuk. Pernahkah kita berdoa supaya negara kita di luruskan perjalanannya. Pernahkah golongan yang mengkritik projek-projek kerajaan di kota Mekah, memanjatkan sekelumit doa kepada Tuhan ketika berhadapan dengan Masjidil Haram supaya dikurniakan pemimpin yang berwibawa. Ataupun berdoa seusai solat sunat di Hijir Ismail ataupun yang paling ekstrim ketika memegang Kota Kaabah. Manakala kita yang tidak ke Mekah, pernahkah berdoa ketika saat-saat paling mustajab. Ataupun yang paling ekstrim, pernahkah kita melakukan sembahyang sunat hajat supaya Tuhan menganugerahkan kita seorang pemimpin lagi yang hebat.

Berdoalah Malaysiaku.

Friday, November 5, 2010

KOS PILIHANRAYA KECIL

Jika dicampur pilihanraya di Galas dan Batu Sapi, kalau tak silap saya dah hampir sepuloh pilihanraya kecil diadakan. Bermula dengan Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selaambau, Batang Ai, Penanti, Galas dan Batu Sapi. Lapan semua sekali. Mungkin lepas ni ada dua ke tiga lagi pilihanraya kecil sebelum PRU 13. Pilihanraya ini terpaksa dilakukan bagi mendapatkan calon baru bagi menggantikan calon lama yang meninggal dunia atau melompat parti. 90% darinya adalah meninggal dunia dek pelbagai jenis penyakit seperti serangan sakit jantung, darah tinggi, kanser, dll. Tak terkecuali juga dek kecederaan kemalangan jalan raya. Persoalannya berapakah gamaknya jumlah wang kerajaan iaitu wang rakyat digunakan bagi mengadakan pilihanraya kecil tersebut. Semestinya banyakkan!. Kerajaan tidak ada pilihan, pilihanraya kecil tetap diadakan, sama ada suka atau tak suka.

Bagi lima pilihanraya kecil iaitu Permatang Pauh, KT,BG,BS dan Btg Ai, kerajaan telah membelanjakan RM 2.6 juta yang digunakan oleh SPR sahaja. Jumlah ini tidak termasuk kos yang paling tinggi yang digunakan oleh PDRM, Jabatan Penerangan dll. Juga tidak termasuk kos projek-projek kilat yang bertunas dengan tiba-tiba semasa pilihanraya. Sedangkan dalam rancangan belanjawan projek kilaat tidak terlintas langsung. Mungkin ada satu atau dua tidak boleh dinafikan.

Dalam lima pilhan raya kecil yang lalu, SPR telah membelanjakan RM 2.6 juta dan 3 pilhanraya bersiri ialah RM 1.5 juta (Permatang Pauh (Parlimen) : RM500,000, Kuala Terengganu (Parlimen) : RM600,000, Bukit Gantang (Parlimen) : RM600,000, Bukit Selambau (DUN) : RM400,000, Batang Ai (DUN) : RM500,000, Penanti (DUN) : Dianggarkan RM300,000, Galas: RM ?, Batu Sapi: ?, dan mana pula selepas ini.

Manakala PDRM sebagai jabatan yang paling banyak membelanjakan wang bagi menjaga kelicinan pilihanraya yang jumlahnya ialah RM 31 juta (Permatang Pauh (Parlimen) : RM2.5 juta, Kuala Terengganu (Parlimen) : RM11.5 juta, Bukit Gantang (Parlimen) : RM7 juta, Bukit Selambau (DUN) : RM5 juta, Batang Ai (DUN) : RM5 juta, Penanti: ?, Galas : ? dan Batu Sapi: ?

Saya tidak mempersoalkan pasal kos dan pilihanraya yang mana kerajaan terpaksa mengadakannya kerana ia tersurat dalam perlembagaan. Walau bagaimanapun, saya ingin mengangkat beberapa cadangan bagi membuka minda kita semua atas kesedaran sayangkan wang rakyat jutaan ringgit.

Pertamanya, apakah ukuran atau variables yang digunakan bagi menentukan jumlah yang diperuntukan di setiap satu tempat pilihan raya kecil?. Adakah berdasarkan permintaan oleh SPR semata-mata? Contohnya, plihanraya kecil di Batang Ai hanya melibatkan 8,000 pengundi sahaja tetapi SPR memerlukan hampir RM 500 000.00.

Keduanya, tidak adakah kaedah lain atau ukuran yang tetap dalam menentukan kos perbelanjaan pilihanraya kecil ini?

Ketiganya, ada atau tidak pihak yang mengaudit perbelanjaan dalam pilihanraya supaya ia tidak mebazir.

Keempatnya, adakah barang atau peralatan yang dibeli bagi satu pilihanraya kecil di guna habis atau di guna buang? Macam mana dengan peralatan yang boleh digunakan semula bagi pilihanraya yang akan datang. Ini bagi mengurangkan kos.

Maka itu, saya mengangkat cadangan yang mana sudah sampai masanya, kerajaan memikirkan kaedah baru bagi mengurangkan pembaziran wang rakyat. Antaranya ialah syarat wajib menjadi calon hendaklah sihat tubuh badan yakni tidak mempunyai penyakit yang boleh menyebabkan kematian mengejut seperti sakit jantung, darah tinggi dll. Sekiranya calon sihat tubuh badan, maka ia akan mempunyai kekuatan kudrat dan mental bagi menjelajah kawasan yang dimenanginya bagi membuat jasa kepada rakyat. Kalau calon tidak sihat atau berpenyakit, macam mana dia hendak bersama rakyat. Sepagi bersama rakyat, petang dah lelehhh.

Keduanya, calon-calon yang meletak jawatan tanpa sebab munasabah atau melompat parti perlu dikenakan denda bagi menampung kos pilihanraya kecil yang disebabkan oleh kepandaian beliau. Dengan cara ini, barulah calon-calon berkenaan akan fikir dua tiga kali, nak letak jawatan, nak lompat atau nak teruskan. Ataupun sebelum bersetuju menjadi calon, mereka akan berfikir panjang.

p/s 1] Jumlah bonus sebulan kakitangan awam ialah RM 3.1M
p/s 2] Kos menteri pelancongan membuat lawatan ke luar negara RM 3.58M (setahun).