Monday, October 29, 2018

UMNO: PILIH PARTI ATAU PERIBADI?

ANTARA KEPENTINGAN PARTI DAN KEPENTINGAN PERIBADI?
DS ZAHID SEDANG MEMILIH.


Selepas di minta men’delete’ banyak artikel kritis saya di dalam blog berkaitan keadaan politik Negara; saya berhenti terus menulis hal-hal politik. Hakikatnya, apa yang saya tulis sejak tahun 2005, hari ini menjadi kenyataan. Apa yang saya kritik dan menelah, hari ini mula di buka satu-persatu tirainya. Saya sangat yakin apa yang saya tulis dan menelah adalah lebih 80% ialah kebenaran.

Mari kita mula membawang hal politik Negara pasca PRU 14. Isu yang ‘goreng pisang’ sekarang ialah isu DS Zahid Hamidi iaitu Presiden UMNO. Sebelum pemilihan Presiden UMNO, saya mengangankan Presiden UMNO ialah Datuk Mohamad Hassan (Ex MB N9) dan Naib Presiden ialah Khairy Jamaluddin. Malangnya DT MH tak bertanding untuk jawatan Presiden. Jika UMNO di pimpin oleh Dt MH dan dibantu oleh KJ, saya berpendapat, UMNO akan kembali ke atas landasannya sebagai sebuah parti harapan orang Melayu. Lebih malangnya apabila DS ZH yang di pilih menjadi Presiden Parti. Maka saya membuat keputusan bahawa UMNO sedang menuju ke liang lahad. Bak kata pepatah ‘keluar mulut buaya masuk mulut naga’. Tambahan pula pelantikan baru DS Nazri sebagai orang yang dikatakan bertanggungjawab membersihkan UMNO, bagi saya semua ini adalah kesilapan demi kesilapan UMNO kea rah cepat MATI. Pada pengamatan saya masih ramai lagi orang-orang yang berkaliber dalam UMNO, bersih dan patut di pilih tetapi di pinggirkan. Kenapa?

Inilah yang dikatakan ‘antara kepentingan parti atau kepentingan peribadi’. Mari kita lihat isu DS ZH sekarang. Presiden parti sedang berhadapan dengan pelbagai tuduhan melibatkan jutaan wang rakyat, persoalan kejujuran, dan segala macam yang akan dibicarakan oleh mahkamah. Melihat kepada jumlah kes dan jumlah wang yang dituduhkan, saya yakin kes ini tidak akan selesai dalam satu hari atau satu hari satu malam. Kes ini akan menjadi kes naik turun mahkamah yang tidak berkesudahan seperti cerita semut ‘keluar masuk lubang’. Nyatanya kes ini bukan mengheret DS ZH seorang sahaja, malah keluarganya dan amat malang sekali turut mengheret UMNO sekali. Berpandukan sikap dan perangai DS ZH masa dalam pertahanan dulu, adalah sangat sukar untuk DS ZH hamid berundur atau ambil cuti. Sebagaimana yang dikatakan sesetengah ahli parti ‘dia ni keras kepala atau ‘stubborn’’. Saya percaya, lagi lama DS ZH tidak melepaskan jawatannya, UMNO akan terus terhunjam dan terhakis keyakinan orang Melayu. Ini kerana kes jenayah yang dikenakan terhadap DS ZH turut sama mengikat imej UMNO bersamanya. Dan saya sangat yakin di hujungnya setelah imej UMNO rosak teruk, barulah DS ZH akan berundur, itu pun setelah mendapat tekanan daripada parti. Tapi Sudah terlewat.

UMNO hari ini memiliki terlalu ramai pemimpin yang dikaitkan dengan rasuah, pecah amanah, dan salah guna kuasa. Inilah KRISIS sebenar UMNO yang turut menjatuhkan nama baik parti dan menjejaskan keyakinan orang melayu khususnya anak-anak muda.

Pada pandangan saya, sekiranya ‘mereka’ yang terlibat sayangkan parti, ‘mereka’ perlu BERKORBAN kepentingan peribadi. Implikasinya UMNO akan kembali ke landasan menjadi UMNO yang asli. Pada pandangan saya juga sudah tiba masanya UMNO memiliki ‘rangkaian baru’ pemimpin parti secepat mungkin. Itupun jika UMNO ingin berubah dan terus mapan. Pemimpin ‘rangkaian lama’ boleh kembali ke parti setelah kes demi kes mereka selesai dan terbukti tidak bersalah. Masalah dengan pemimpin ‘rangkaian lama’ UMNO, walaupun mahkamah telah berjaya membuktikan mereka bersalah dan dihukum, mereka tetap mengatakan mereka benar dan orang lain yang salah.

Pada hari ini juga, UMNO berhadapan dengan krisis ‘KESEDIAAN MEMIMPIN’. Ramai sangat orang-orang tertentu dalam UMNO yang ingin menjadi pemimpin dan rela untuk memimpin atas sebab-seba yang ia sendiri tahu. Antaranya mungkin dia adalah orang yang bersih dan pemimpin sedia ada tidak bersih atau gagal memimpin. Maka wujudlah ‘puak puak tertentu’ dalam UMNO hari ini. Lebih teruk lagi apabila DS ZH tidak menang majoriti semasa pemilihan Presiden UMNO baru-baru ini. Mudah cakap, UMNO hari ini mempunyai dua puak yang kuat iaitu puak DS ZH dan puak KJ. Sebagaimana kita tahu, wujud ketidakserasian atau perbalahan atau krisis antara DS ZH dan KJ. Nyatanya KJ juga adalah orang yang berpengaruh, bijak dan mempunyai otak, dan mempunyai pengikut setia yang ramai. Jika isu ini tidak diselesaikan dengan segera, ia adalah Sangat malang kepada orang Melayu. Pada pandangan saya, pemimpin penting UMNO hari ini dan pada ketika ini, tidak lagi boleh memikirkan bahawa beliau seorang sahaja yang boleh memegang tali gegang kuda atau dia sahaja yang boleh membaca arah angin dan menentukan bering pelayaran bahtera UMNO. Pemimpin UMNO hari ini perlu bekerjasama dengan jujur dan membelakangkan kepentingan peribadi demi UMNO, demi orang Melayu dan demi Negara. Ini kerana kelansungan hidup UMNO pada masa depan sangat bergantung kepada keupayaan pemimpinnya bagi mengharung cabaran masa depan parti, bukan mengharung cabaran peribadi dengan pelbagai kes mahkamah. Dalam keadaan politik Negara sekarang, rakyat meletakkan perkara ‘MORAL’ atau ‘BERSIH’ atau ‘KEJUJURAN’ paling teratas. Ini patut menjadi satu tanda aras berpolitik pada masa depan.

UMNO hari ini mesti menunjukkan pada orang-orang Melayu bahawa mereka sanggup menghantar kenderaan UMNO ke woksyop bagi dibersih cuci enjinnya. UMNO hari ini mesti berhadapan dengan hakikat bahawa ada antara pemimpin yang juga rakan-rakan mereka perlu dinyahkan atau diundurkan dari parti. Jika UMNO mengambil tindakan penyucian katarsis ini, maka saya yakin UMNO masih mempunyai ruang dan peluang untuk bangkit kembali. Sebaliknya jika UMNO memilih untuk terus dibelenggu yakni membuka diri untuk di serang dengan isu-isu moral dan kejujuran pemimpin yang akan menjejaskan dengan teruk imej UMNO, keupayaan UMNO dan keyakinan orang Melayu sebagai penyokong kuat; maka di hujung lorong ialah UMNO TIDAK LAGI RELEVAN.

Akhir kalam, jika anda sayangkan UMNO sebagai sebuah parti orang Melayu, ANDA HARUS MEMBENARKAN UMNO BERUBAH. Parti lebih penting dari kepentingan peribadi. Kesetiaan membabi buta wajar dikuburkan kerana ia menjadi kuman dalam kesakitan barah.

PENA CELORENG

30 OKT 2018

2 comments:

Nicholas Watkins said...

There are some interesting time limits in this article but I don’t know if I see all of them heart to heart. There is some validity however I will take maintain opinion until I look into it further. Good article , thanks and we want extra! Added to FeedBurner as effectively gsn casino

Akmal Farabi said...

Hello Everybody

boleh kenal

im kontengaptek

please visit

my blog