ANTARA KEPENTINGAN PARTI
DAN KEPENTINGAN PERIBADI?
DS ZAHID SEDANG MEMILIH.
Selepas di minta men’delete’ banyak
artikel kritis saya di dalam blog berkaitan keadaan politik Negara; saya
berhenti terus menulis hal-hal politik. Hakikatnya, apa yang saya tulis sejak
tahun 2005, hari ini menjadi kenyataan. Apa yang saya kritik dan menelah, hari
ini mula di buka satu-persatu tirainya. Saya sangat yakin apa yang saya tulis
dan menelah adalah lebih 80% ialah kebenaran.
Mari kita mula membawang hal politik
Negara pasca PRU 14. Isu yang ‘goreng pisang’ sekarang ialah isu DS Zahid
Hamidi iaitu Presiden UMNO. Sebelum pemilihan Presiden UMNO, saya mengangankan
Presiden UMNO ialah Datuk Mohamad Hassan (Ex MB N9) dan Naib Presiden ialah
Khairy Jamaluddin. Malangnya DT MH tak bertanding untuk jawatan Presiden. Jika
UMNO di pimpin oleh Dt MH dan dibantu oleh KJ, saya berpendapat, UMNO akan
kembali ke atas landasannya sebagai sebuah parti harapan orang Melayu. Lebih
malangnya apabila DS ZH yang di pilih menjadi Presiden Parti. Maka saya membuat
keputusan bahawa UMNO sedang menuju ke liang lahad. Bak kata pepatah ‘keluar
mulut buaya masuk mulut naga’. Tambahan pula pelantikan baru DS Nazri sebagai
orang yang dikatakan bertanggungjawab membersihkan UMNO, bagi saya semua ini
adalah kesilapan demi kesilapan UMNO kea rah cepat MATI. Pada pengamatan saya
masih ramai lagi orang-orang yang berkaliber dalam UMNO, bersih dan patut di
pilih tetapi di pinggirkan. Kenapa?
Inilah yang dikatakan ‘antara kepentingan
parti atau kepentingan peribadi’. Mari kita lihat isu DS ZH sekarang. Presiden
parti sedang berhadapan dengan pelbagai tuduhan melibatkan jutaan wang rakyat,
persoalan kejujuran, dan segala macam yang akan dibicarakan oleh mahkamah.
Melihat kepada jumlah kes dan jumlah wang yang dituduhkan, saya yakin kes ini
tidak akan selesai dalam satu hari atau satu hari satu malam. Kes ini akan
menjadi kes naik turun mahkamah yang tidak berkesudahan seperti cerita semut
‘keluar masuk lubang’. Nyatanya kes ini bukan mengheret DS ZH seorang sahaja,
malah keluarganya dan amat malang sekali turut mengheret UMNO sekali.
Berpandukan sikap dan perangai DS ZH masa dalam pertahanan dulu, adalah sangat
sukar untuk DS ZH hamid berundur atau ambil cuti. Sebagaimana yang dikatakan
sesetengah ahli parti ‘dia ni keras kepala atau ‘stubborn’’. Saya percaya, lagi
lama DS ZH tidak melepaskan jawatannya, UMNO akan terus terhunjam dan terhakis
keyakinan orang Melayu. Ini kerana kes jenayah yang dikenakan terhadap DS ZH
turut sama mengikat imej UMNO bersamanya. Dan saya sangat yakin di hujungnya
setelah imej UMNO rosak teruk, barulah DS ZH akan berundur, itu pun setelah
mendapat tekanan daripada parti. Tapi Sudah terlewat.
UMNO hari ini memiliki terlalu ramai
pemimpin yang dikaitkan dengan rasuah, pecah amanah, dan salah guna kuasa.
Inilah KRISIS sebenar UMNO yang turut menjatuhkan nama baik parti dan
menjejaskan keyakinan orang melayu khususnya anak-anak muda.
Pada pandangan saya, sekiranya ‘mereka’
yang terlibat sayangkan parti, ‘mereka’ perlu BERKORBAN kepentingan peribadi.
Implikasinya UMNO akan kembali ke landasan menjadi UMNO yang asli. Pada
pandangan saya juga sudah tiba masanya UMNO memiliki ‘rangkaian baru’ pemimpin
parti secepat mungkin. Itupun jika UMNO ingin berubah dan terus mapan. Pemimpin
‘rangkaian lama’ boleh kembali ke parti setelah kes demi kes mereka selesai dan
terbukti tidak bersalah. Masalah dengan pemimpin ‘rangkaian lama’ UMNO,
walaupun mahkamah telah berjaya membuktikan mereka bersalah dan dihukum, mereka
tetap mengatakan mereka benar dan orang lain yang salah.
Pada hari ini juga, UMNO berhadapan
dengan krisis ‘KESEDIAAN MEMIMPIN’. Ramai sangat orang-orang tertentu dalam
UMNO yang ingin menjadi pemimpin dan rela untuk memimpin atas sebab-seba yang
ia sendiri tahu. Antaranya mungkin dia adalah orang yang bersih dan pemimpin
sedia ada tidak bersih atau gagal memimpin. Maka wujudlah ‘puak puak tertentu’
dalam UMNO hari ini. Lebih teruk lagi apabila DS ZH tidak menang majoriti
semasa pemilihan Presiden UMNO baru-baru ini. Mudah cakap, UMNO hari ini mempunyai
dua puak yang kuat iaitu puak DS ZH dan puak KJ. Sebagaimana kita tahu, wujud
ketidakserasian atau perbalahan atau krisis antara DS ZH dan KJ. Nyatanya KJ
juga adalah orang yang berpengaruh, bijak dan mempunyai otak, dan mempunyai
pengikut setia yang ramai. Jika isu ini tidak diselesaikan dengan segera, ia
adalah Sangat malang kepada orang Melayu. Pada pandangan saya, pemimpin penting
UMNO hari ini dan pada ketika ini, tidak lagi boleh memikirkan bahawa beliau
seorang sahaja yang boleh memegang tali gegang kuda atau dia sahaja yang boleh
membaca arah angin dan menentukan bering pelayaran bahtera UMNO. Pemimpin UMNO
hari ini perlu bekerjasama dengan jujur dan membelakangkan kepentingan peribadi
demi UMNO, demi orang Melayu dan demi Negara. Ini kerana kelansungan hidup UMNO
pada masa depan sangat bergantung kepada keupayaan pemimpinnya bagi mengharung
cabaran masa depan parti, bukan mengharung cabaran peribadi dengan pelbagai kes
mahkamah. Dalam keadaan politik Negara sekarang, rakyat meletakkan perkara
‘MORAL’ atau ‘BERSIH’ atau ‘KEJUJURAN’ paling teratas. Ini patut menjadi satu
tanda aras berpolitik pada masa depan.
UMNO hari ini mesti menunjukkan pada
orang-orang Melayu bahawa mereka sanggup menghantar kenderaan UMNO ke woksyop
bagi dibersih cuci enjinnya. UMNO hari ini mesti berhadapan dengan hakikat
bahawa ada antara pemimpin yang juga rakan-rakan mereka perlu dinyahkan atau
diundurkan dari parti. Jika UMNO mengambil tindakan penyucian katarsis ini,
maka saya yakin UMNO masih mempunyai ruang dan peluang untuk bangkit kembali.
Sebaliknya jika UMNO memilih untuk terus dibelenggu yakni membuka diri untuk di
serang dengan isu-isu moral dan kejujuran pemimpin yang akan menjejaskan dengan
teruk imej UMNO, keupayaan UMNO dan keyakinan orang Melayu sebagai penyokong
kuat; maka di hujung lorong ialah UMNO TIDAK LAGI RELEVAN.
Akhir kalam, jika anda sayangkan UMNO
sebagai sebuah parti orang Melayu, ANDA HARUS MEMBENARKAN UMNO BERUBAH. Parti
lebih penting dari kepentingan peribadi. Kesetiaan membabi buta wajar dikuburkan
kerana ia menjadi kuman dalam kesakitan barah.
PENA CELORENG
30 OKT 2018