Monday, October 29, 2018

UMNO: PILIH PARTI ATAU PERIBADI?

ANTARA KEPENTINGAN PARTI DAN KEPENTINGAN PERIBADI?
DS ZAHID SEDANG MEMILIH.


Selepas di minta men’delete’ banyak artikel kritis saya di dalam blog berkaitan keadaan politik Negara; saya berhenti terus menulis hal-hal politik. Hakikatnya, apa yang saya tulis sejak tahun 2005, hari ini menjadi kenyataan. Apa yang saya kritik dan menelah, hari ini mula di buka satu-persatu tirainya. Saya sangat yakin apa yang saya tulis dan menelah adalah lebih 80% ialah kebenaran.

Mari kita mula membawang hal politik Negara pasca PRU 14. Isu yang ‘goreng pisang’ sekarang ialah isu DS Zahid Hamidi iaitu Presiden UMNO. Sebelum pemilihan Presiden UMNO, saya mengangankan Presiden UMNO ialah Datuk Mohamad Hassan (Ex MB N9) dan Naib Presiden ialah Khairy Jamaluddin. Malangnya DT MH tak bertanding untuk jawatan Presiden. Jika UMNO di pimpin oleh Dt MH dan dibantu oleh KJ, saya berpendapat, UMNO akan kembali ke atas landasannya sebagai sebuah parti harapan orang Melayu. Lebih malangnya apabila DS ZH yang di pilih menjadi Presiden Parti. Maka saya membuat keputusan bahawa UMNO sedang menuju ke liang lahad. Bak kata pepatah ‘keluar mulut buaya masuk mulut naga’. Tambahan pula pelantikan baru DS Nazri sebagai orang yang dikatakan bertanggungjawab membersihkan UMNO, bagi saya semua ini adalah kesilapan demi kesilapan UMNO kea rah cepat MATI. Pada pengamatan saya masih ramai lagi orang-orang yang berkaliber dalam UMNO, bersih dan patut di pilih tetapi di pinggirkan. Kenapa?

Inilah yang dikatakan ‘antara kepentingan parti atau kepentingan peribadi’. Mari kita lihat isu DS ZH sekarang. Presiden parti sedang berhadapan dengan pelbagai tuduhan melibatkan jutaan wang rakyat, persoalan kejujuran, dan segala macam yang akan dibicarakan oleh mahkamah. Melihat kepada jumlah kes dan jumlah wang yang dituduhkan, saya yakin kes ini tidak akan selesai dalam satu hari atau satu hari satu malam. Kes ini akan menjadi kes naik turun mahkamah yang tidak berkesudahan seperti cerita semut ‘keluar masuk lubang’. Nyatanya kes ini bukan mengheret DS ZH seorang sahaja, malah keluarganya dan amat malang sekali turut mengheret UMNO sekali. Berpandukan sikap dan perangai DS ZH masa dalam pertahanan dulu, adalah sangat sukar untuk DS ZH hamid berundur atau ambil cuti. Sebagaimana yang dikatakan sesetengah ahli parti ‘dia ni keras kepala atau ‘stubborn’’. Saya percaya, lagi lama DS ZH tidak melepaskan jawatannya, UMNO akan terus terhunjam dan terhakis keyakinan orang Melayu. Ini kerana kes jenayah yang dikenakan terhadap DS ZH turut sama mengikat imej UMNO bersamanya. Dan saya sangat yakin di hujungnya setelah imej UMNO rosak teruk, barulah DS ZH akan berundur, itu pun setelah mendapat tekanan daripada parti. Tapi Sudah terlewat.

UMNO hari ini memiliki terlalu ramai pemimpin yang dikaitkan dengan rasuah, pecah amanah, dan salah guna kuasa. Inilah KRISIS sebenar UMNO yang turut menjatuhkan nama baik parti dan menjejaskan keyakinan orang melayu khususnya anak-anak muda.

Pada pandangan saya, sekiranya ‘mereka’ yang terlibat sayangkan parti, ‘mereka’ perlu BERKORBAN kepentingan peribadi. Implikasinya UMNO akan kembali ke landasan menjadi UMNO yang asli. Pada pandangan saya juga sudah tiba masanya UMNO memiliki ‘rangkaian baru’ pemimpin parti secepat mungkin. Itupun jika UMNO ingin berubah dan terus mapan. Pemimpin ‘rangkaian lama’ boleh kembali ke parti setelah kes demi kes mereka selesai dan terbukti tidak bersalah. Masalah dengan pemimpin ‘rangkaian lama’ UMNO, walaupun mahkamah telah berjaya membuktikan mereka bersalah dan dihukum, mereka tetap mengatakan mereka benar dan orang lain yang salah.

Pada hari ini juga, UMNO berhadapan dengan krisis ‘KESEDIAAN MEMIMPIN’. Ramai sangat orang-orang tertentu dalam UMNO yang ingin menjadi pemimpin dan rela untuk memimpin atas sebab-seba yang ia sendiri tahu. Antaranya mungkin dia adalah orang yang bersih dan pemimpin sedia ada tidak bersih atau gagal memimpin. Maka wujudlah ‘puak puak tertentu’ dalam UMNO hari ini. Lebih teruk lagi apabila DS ZH tidak menang majoriti semasa pemilihan Presiden UMNO baru-baru ini. Mudah cakap, UMNO hari ini mempunyai dua puak yang kuat iaitu puak DS ZH dan puak KJ. Sebagaimana kita tahu, wujud ketidakserasian atau perbalahan atau krisis antara DS ZH dan KJ. Nyatanya KJ juga adalah orang yang berpengaruh, bijak dan mempunyai otak, dan mempunyai pengikut setia yang ramai. Jika isu ini tidak diselesaikan dengan segera, ia adalah Sangat malang kepada orang Melayu. Pada pandangan saya, pemimpin penting UMNO hari ini dan pada ketika ini, tidak lagi boleh memikirkan bahawa beliau seorang sahaja yang boleh memegang tali gegang kuda atau dia sahaja yang boleh membaca arah angin dan menentukan bering pelayaran bahtera UMNO. Pemimpin UMNO hari ini perlu bekerjasama dengan jujur dan membelakangkan kepentingan peribadi demi UMNO, demi orang Melayu dan demi Negara. Ini kerana kelansungan hidup UMNO pada masa depan sangat bergantung kepada keupayaan pemimpinnya bagi mengharung cabaran masa depan parti, bukan mengharung cabaran peribadi dengan pelbagai kes mahkamah. Dalam keadaan politik Negara sekarang, rakyat meletakkan perkara ‘MORAL’ atau ‘BERSIH’ atau ‘KEJUJURAN’ paling teratas. Ini patut menjadi satu tanda aras berpolitik pada masa depan.

UMNO hari ini mesti menunjukkan pada orang-orang Melayu bahawa mereka sanggup menghantar kenderaan UMNO ke woksyop bagi dibersih cuci enjinnya. UMNO hari ini mesti berhadapan dengan hakikat bahawa ada antara pemimpin yang juga rakan-rakan mereka perlu dinyahkan atau diundurkan dari parti. Jika UMNO mengambil tindakan penyucian katarsis ini, maka saya yakin UMNO masih mempunyai ruang dan peluang untuk bangkit kembali. Sebaliknya jika UMNO memilih untuk terus dibelenggu yakni membuka diri untuk di serang dengan isu-isu moral dan kejujuran pemimpin yang akan menjejaskan dengan teruk imej UMNO, keupayaan UMNO dan keyakinan orang Melayu sebagai penyokong kuat; maka di hujung lorong ialah UMNO TIDAK LAGI RELEVAN.

Akhir kalam, jika anda sayangkan UMNO sebagai sebuah parti orang Melayu, ANDA HARUS MEMBENARKAN UMNO BERUBAH. Parti lebih penting dari kepentingan peribadi. Kesetiaan membabi buta wajar dikuburkan kerana ia menjadi kuman dalam kesakitan barah.

PENA CELORENG

30 OKT 2018

Thursday, May 10, 2018

TUN MAHATHIR MALAYSIA 7TH PRIME MINISTER

TUN MAHATHIR – PM KE 7 MALAYSIA

TAHNIAH TAHNIAH TAHNIAH, SYABAS SYABAS SYABAS

Tabik Tun,

Gambar ini dirakam pada tahun 2010

Bersyukur ke hadrat Ilahi akhirnya usaha menjatuhkan kerajaan yang korup Berjaya juga. Saya sangat gembira dan terharu dan bersyukur kepada Allah SWT. Hakikatnya, adalah agak mustahil untuk menjatuhkan kerajaan cash is king atau penuh dengan korup tetapi menjadikan reality. Saya memanjatkan doa semoga Allah SWT menitipkan sedikit lagi usia buat Tun M supaya beliau berkesempatan untuk memperbaiki kerosakkan yang maha amat pada Negara dan juga menentukan kepala-kepala korup di hukum berdasarkan undang-undang.

Dalam perjalanan menjatuhkan kerajaan korup cash is king, kita melihat dengan jelas beberapa ketua jabatan kerajaan yang sepatutnya berkecuali tetapi turut korup dalam melaksanakan tugas mereka hingga menjengkelkan dan memualkan perasaan kita. Oleh kerana kerajaan korup terlalu kuat, maka ketua-ketua jabatan ini dengan berani secara terang mengkorupkan perkhidmatan mereka. Saya mahu kerajaan baru mengambil tindakan segera kepada ketua-ketua jabatan ini dengan segera kerana kelompok ini akan menjadi duri dalam daging.

Kepada kerajaan baru dan Tun, jangan sesekali lepaskan kerajaan korup. Pastikan pesalah-pesalah 1MDB, dan 2.6B, dihukum.

Sejak dulu saya memang mengagumi Tun M. Dia lebih banyak buat yang baik dari yang tak baik. Sebagai manusia kita tidak dapat lari dari melakukan kesalahan atau kelemahan. Begitu juga Tun tetapi Tun buat banyak yang baik kepada Negara.

Pada tahun 2015, saya ada menulis sebuah sajak khas untuk Tun M sempena perletakan jawatan beliau. Saya kongsi bersama.

PEDANGNYA MASIH DI SISI, SILANYA MASIH JAGA
(KHAS BUAT YAB TUN DR SRI MAHATHIR MOHAMAD)

KETIKA PEDANGNYA DITELANJANGKAN
GURUH BERLAGA DI DADA LANGIT
KILAT BERGESER DI KAKINYA
PERCIKAN CAHAYA MENYULUH DUNIA
KERANA DI MATA PEDANGNYA ADA RESTU RAKYAT
RESTU RAKYAT MEMBINA BERKAT

KETIKA PEDANGNYA DITELANJANGKAN
DARAH MASIH MENITIS DI HUJUNG KILATAN
PANAHAN MATAHARI TUNDUK HORMAT
TERPANCAR BINTANG DARI BIAS SINARNYA
TUJUH BINTANG BINTANG TUJUH
LEGAM WARNANYA KERANA DISIMBAH DARAH

SETELAH PUAS MENGILAS BADIK MELIBAS PEDANGNYA
PENDEKAR ITU DUDUK BERSILA JAGA
RAPAT PEJAM MATANYA TIDAK BEERTI IA LEKA
GERAK GERAK HUJUNG MISAINYA TIDAK BERERTI IA GEMENTAR
KUMAT KAMITNYA MULUT TERSIMPUL MANTERA SERAPAH
GERAK DADANYA MENYUSUN ATMA
RAPATLAH KERANA PENDEKAR ITU
AKAN KEJAPKAN SEMUTARNYA
AKAN KUKUHKAN IKATAN SEBIDAINYA
AKAN BINGKAS LAGI MELIBAS LAGI

HARI INI, PEDANG HITAM ITU DISARUNGKAN
IKATAN SEMUTARNYA  DILONGGARKAN
KAIN SEBIDAINYA DI RIBA MENJAMAH KERINGAT
MERATAH DARAH DI MUKANYA
AIR DI GURI DI TEGUK
TETAPI BADIK MASIH TERSISIP DI PINGGANG RAPAT
PEDANG MASIH DI SISI
SILANYA MASIH JAGA


NUKILAN: LT KOL MOHD RADZI ABD HAMID
               MARKAS TENTERA DARAT

               2005



Terima kasih Tun.

Terima kasih Tun kerana masih sudi untuk membetulkan negara untuk kami dan generasi kami