Wednesday, June 30, 2010

PERUTUSAN CINTA MAHARAJA

Ini perutusan cinta
dari jendela rindu seorang maharaja
terhadap bau sekuntum bunga
yang tidak pasti di mana mekarnya.

Di atas kulit pelepah palma
dengan tajam mata belati
di lorekan sumpah cinta
‘aku cinta padamu’
sangat naif dan hati terbuka
tiada langsung simbolika

Sumpah cinta sudah sedemikian acuannya
kadang kala sengaja menjadi nyata
kadang kala menyembunyikan malu
sungguhpun pada detik yang tidak perlu
jauh dalam kelam dan tidak pasti
jeti mana
pelabuhan mana
teluk mana
bagi mengubati singgahsana rindu


29 Jun 2010
Jln Semarak

Thursday, June 24, 2010

KEHANGATAN CINTAMU MASIH TERASA

[Para sahabat sekalian, dititipkan sebuah karya saya yang dimungkilkan pada tanggal Ogos 1986. Pada ketika itu, saya adalah seekor Pungguk, menagih cahaya bulan. Sesekali menoleh ke belakang, gementar meronton diri) - Maaf, sajak ini tidak berjudul.


N,
air sungai yang mengalir lesu
seakan-akan mengatakan
ada sesuatu yang tidak kena
di muaranya,
mungkinkah hujan lebat
di kepala bukit ?
atau
mungkin terpukau dek hanyutan
rakit pemujaan raja Siam,
atau
mungkin engkau menangis

kerana dadamu tercalar.
maafkanlah aku.
'sebenarnya aku pernah juga
berenang di dadamu....
bermain di air seperti itik
lepas hujan tapi permainanku
berona di atas daunan.
bolehkah aku mengembalikan
kehangatan itu ?
N,
tidak mungkin barangkali......
kerana hanya aku yang terkatung-katung
mahu mengembalikan kehangatan itu
hanya aku yang tinggal sepi
mengocak lumpur di sawah
jika aku menahan belat di lurah
siapakah yang akan mengocak
air di lubuk ?
engkau ?
tak taulah kerana kehangatan
RINDU
buatmu hanya dongengan
&
permainan

N,
adakah engkau tidak percaya
selama ini bahawa hujan
hari semalam - sungai pekat airnya.

Ogos - 86<
/span>

Monday, June 21, 2010

PEWARIS WARKAH DARI RUNTUHAN BUKIT ANTARABANGSA

(Garisan ombak yang terhasil aibat dari pertemuan dua lautan. Pandangan dari anjung Cape Point)(Warkah rindu Pn Rozita di kembalikan kepada lautan)
(Gambar ini diambil di titik pendakian ke Cape Point. Kelihatan jauh di belakang adalah menara rumah api di puncak Cape Point. Di sebelah kanannya adalah 'Cape of Good Hope')

Barangkali, sahabat semua pernah terpanggil bagi meniti sebuah cerpen lama saya yang pernah disiarkan dalam sebuah majalah tempatan. Cerpen bertajuk ‘Warkah Dari Runtuhan Bukit Antarabangsa’. Saya beranggapan Allahyarhamah Pn Rozita tidak mempunyai waris. Walau bagaimanapun, dua hari lepas, saya dihubungi oleh waris arwah dan memohon salinan asal warkah berkenaan. Hati saya sangat tersentuh dan sangat terganggu hingga saat ini. Ini adalah kerana, setelah menunggu sekian lama dan saya terbeban dengan tanggungjawab kepada warkah berkenaan dan tiada yang menuntut. Makanya, warkah tersebut telah saya serahkan kepada samudera lepas. Biarlah ombak yang digerakkan oleh Tuhan menentukan hala tujuan warkah berkenaan. Apa yang saya siarkan dalam cerpen tersebut hanyalah sebahagian sahaja dari isi warkah berkenaan.


Mengambil inisitif yang teratas, saya telah berlepas ke ‘Capetown’ dan mengunjungi ‘The Cape of Good Hope’. Di sana merupakan titik pertemuan dua lautan. Di katakan segala yang berpisah akan ditemukan. Saya bermalam di anjung batu ‘Cape Point’ dan seusai subuh, ketika dua ombak laut bertemu; dan pada saat dan ketika itulah, botol yang berisi warkah Allahyarhamah Pn Rozita saya serahkan pada laut. Lalu ku seru pada ombak;

Wahai! Ombak kekasihku
Ku coretkan beban cinta di dada pantai
Kau singgah
kau belai
kau bebat lukaku
Bawalah cintaku pada Tuhan

Surat cinta Pn Rozita sangat mendalam dan ranum. Saya titip titisan terakhir surat tersebut bagi semua pembaca menikmati ranum dan manisnya cinta Pn Rozita. Cintanya tak kunjung padam dan tak kunjung lagi. Kerana Pn Rozita adalah matahari, adalah lilin.

“Jika dirimu masih mampu mengeluarkan air mata, maka bersedialah untuk mengalirkannya sekarang. Dirimu dan diriku sememangnya tahu untuk menutupinya. Lihatlah.....di mana-mana pun tercatat luka. Di manakah luka tertusuk? Tapi mengapakah kita membiarkannya berdarah dan menjadi tanda kesucian, keagungan, mungkin sebagai tanda sempadan perasaan. Lihatlah......ke cantuman yang dibekalkan oleh luka yang terlalu cemburu dengan kasih dan perasaan yang telah ditikam dan sebaik ia terbenam, besinya telah ku sumpah; pastikan bagaimana luka dan darah menuruti. Dirimu sebagai-bagai yang diketahui adalah orang kesayanganku. Adililah...Oh Tuhan; bagaimana diriku menjadi darah dan ini adalah sesuatu yang terbaik kerana sebaik jiwanya yang nampak terluka keagungan kita yang agung rebah. Oh! sesungguhnya suatu kejatuhan tapi telah meronakan alam. Alirilah air mata mu sekarang kerana dan aku telah lama menangis kepada Tuhan”


Cerpen yang saya maksudkan (ulang siar)

WARKAH DARI RUNTUHAN BUKIT ANTARABANGSA

(Oleh: MORA)

[Sebelum mula menatap coretan ini, marilah kita memulakannya dengan membaca surah Al-Fatihah sebagai sedekah kepada mangsa-mangsa yang telah kembali ke rahmatullah. AL-FATIHAH.]


Pertama-tama nya, terlebih dahulu saya memohon ampun dan maaf kerana apa yang akan saya dedahkan kepada pembaca semua merupakan satu maklumat yang sangat bersifat peribadi dan melibatkan kaum keluarga mangsa yang berkenaan (sekiranya ada). Saya adalah Leftenan Kolonel Mohd Radzi bin Abd Hamid iaitu Pegawai Gerakan Markas 4 Divisyen yang bertanggungjawab bagi Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Justeru dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada minggu sudah iaitu 6 Dis 2008, saya telah terlibat. Sebaik sahaja mendapat mesej ringkas dari Pegawai Bertugas Tentera pada jam 4.45 pagi yang berbunyi “OP BANTU: MERAH, RV SIMPANG BKT ANTARABANGSA, NLT 30 MIN. TINDAK”. Saya bingkas bangun, masih berpisat, mencapai pakaian celoreng dan terus memandu kenderaan ke lokasi RV. Sedikit penerangan tentang kandungan pesanan ringkas tersebut; OP BANTU ialah kata kod kepada Operasi Bantuan Tentera, MERAH bermaksud sangat serius, RV ialah lokasi pertemuan dan NLT 30 MIN bermaksud ‘Not late than 30 minutes’. Bermakna setiap anggota tentera yang menerima pesanan tersebut wajib tiba di RV dalam masa 30 minit.


Sebaik sahaja sampai di RV, saya terus menukar pakaian ke seragam celoreng yang mana tidak sempat dilakukan sebelum ini. Ketika itu, kelihatan suasana yang agak kelam kabut dek penduduk yang berpusu menyelamatkan diri. Kelam, gelap gelita. Dalam masa yang sama juga, anggota SMART, BOMBA dan pasukan polis tiba di lokasi. Salah seorang penduduk tampil ke depan memaklumkan apa yang telah berlaku dan dari arah mana kami boleh memasuki lokasi kejadian. Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kami bertungkus-lumus berusaha dengan kaedah masing-masing untuk mencari mangsa dengan di bantu oleh cahaya lampu kereta hingga terlupa nyawa masing-masing. Di sini, saya rasa perlu untuk memaklumkan kepada pembaca semua bahawa terdapat enam orang penduduk yang turut sama berusaha mencari mangsa. Mereka tidak lari menyelamatkan diri. Manakala anggota SMART dan BOMBA dengan peralatan yang mereka ada, sangat membantu dan cukup terlatih. Pasukan polis pula dengan menggunakan peralatan perhubungan yang ada pada mereka, telah berusaha menghubungi pasukan-pasukan lain bagi mendapat bantuan tambahan seperti Ambulans dan Persatuan Bulan Sabit Merah, RELA dan pihak berwajib. Saya sangat takjub dengan kecepatan anggota polis mengawal lalu lintas. Manakala, kami anggota tentera, ketika sampai, kami tidak ada apa-apa peralatan. Maka sebahagiannya membantu membawa penduduk ke kawasan selamat dan sebahagian lagi membantu mencari mangsa dengan menggali tanah dengan dua belah tangan yang diberikan Tuhan kepada kami. Pasukan jurutera dan askar melayu dari 4 Divisyen bermula dari jam 4 petang hari tersebut hinggalah ke azan subuh berkemundang keesokkan paginya, bertungkus lumus tanpa sepicingpun melelapkan mata. Mereka berusaha keras menyiapkan jalan keluar sejauh 3.5 km dan jambatan sepanjang 65 meter demi menyelamatkan 5063 keluarga yang terkepung. Tepat jam 8 pagi, Panglima Divisyen tegak berdiri di atas jambatan bagi mengalu-alukan dan bersalam dengan orang yang pertama merentasi jalan dan jambatan. Dengan hanya membuka separuh cermin kereta dan muka yang tertekan, mereka bersalam. Dari aspek ini, betullah seperti dakwaan seorang pemberita asing yang kami anggota tentera tidak membantu apa-apa. Sebagai manusia biasa, ketika membandingkan apa yang telah anggota-anggota tentera bersama pasukan lain lakukan pada subuh 6 Dis 2008 dengan dakwaan tersebut, airmata saya menitis secara tiba-tiba. Berterima kasih dan bersyukurlah, Malaysiaku sayang.


Saya ingin menarik perhatian pembaca semua kepada satu berita berkaitan mangsa tanah runtuh yang disiarkan oleh Berita Harian pada 7 Dis 2008. Penemuan mangsa yang ke lapan, ke sembilan dan ke sepuluh iaitu seorang ibu bernama Puan Rozita dan dua orang anak yang berumur 12 tahun dan 10 tahun. Mereka ditemui tertimbus dalam keadaan berpelukan yang sangat erat. Malangnya ketika ditemui, ketiga-tiga mereka telah tidak bernyawa lagi.


Begini ceritanya;


Ketika subuh yang kelam dan sepatutnya bening tetapi tidak; pasukan penyelamat iaitu SMART, BOMBA, PDRM dan ATM bertarung dengan cemas, ketidaktentuan dan keinginan teratas untuk menyelamatkan mangsa. Ruang udara Bukit Antarabangsa sangat sibuk dengan jeritan pelbagai arahan, mesej radio, percakapan telefon dan ‘walkie-talkie’ dan suara penduduk yang mula sedar akan keadaannya. Tanpa sebarang arahan, kami berpecah kepada beberapa kumpulan kecil yang bergerak ke kawasan yang dijangkakan ada mangsa tertimbus. Tidak ada pasukan SMART, BOMBA, PDRM dan ATM; yang ada hanyalah sekumpulan manusia yang dipertanggungjawabkan bagi menyelamatkan mangsa tanpa mempedulikan apa pun warna pakaian seragam yang di pakai ketika itu. Satu kumpulan, satu keinginan. Tiba-tiba terdengar satu suara anggota penyelamat yang melaung ‘MANGSAAAA!’, dua tiga orang anggota penyelamat meluru ke arah laungan tersebut. Oleh kerana ketika itu saya berada sangat dekat, maka saya adalah orang yang pertama sampai dan terus terjun ke dalam lurah tanah bagi membantu seorang anggota SMART. Saya pasti beliau adalah anggota SMART kerana seragamnya yang kaya dengan pantulan cahaya. Mangsa, seorang wanita berumur sekitar 30an sedang memeluk erat dua anaknya. Kedua-dua anaknya dipeluk segaligus dengan kedua-dua tangannya merangkul erat. Ketika mengangkat mangsa, tangan saya merasakan badan salah seorang dari anaknya masih panas. Mungkin masih bernyawa. Ketika membuka rangkulan tangan mangsa terhadap dua anaknya, saya dapati mangsa juga menggenggam segumpal kertas. Gumpalan kertas tersebut saya ambil dan masukkan ke dalam poket seluar celoreng dan terus menjulang mangsa ke atas kepada anggota penyelamat yang lain.


Dua hari kemudian, mangsa dapat dikenal pasti sebagai Puan Rozita, berumur 33 tahun. Beliau tinggal bersama dua orang anaknya iaitu Diana Julia bte Abdullah William, 12 tahun, dan Diana Memey bte Abdullah William, 10 tahun. Seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu rumah di salah sebuah banglo yang terlibat dalam kejadian tersebut. Sebaik sahaja membaca berita maklumat ini yang disiarkan oleh Berita Harian, saya sekali lagi menitis air mata dan teringat kepada segumpal kertas yang ditemui dalam genggamannya dan saya terlupa kepadanya. Sangat bernasib baik kerana gumpalan kertas ini dikeluarkan dari seragam celoreng sebelum seragam yang kotor itu dihantar kepada perkhidmatan dobi yang disediakan oleh pihak berkaitan di kawasan pentadbiran bencana. Saya bergegas meninggalkan lokasi dan balik ke hotel penginapan pasukan penyelamat yang juga disediakan oleh pihak berkaitan dan mencari gumpalan kertas tersebut.


Gumpalan kertas tersebut telah pun kering dan masih bertanah; adalah sepucuk surat yang sangat peribadi; di tulis oleh Allahyarhamah Rozita kepada bekas suaminya iaitu Abdullah William. Memandangkan kandungan surat ini teramat peribadi, dan atas rasa tanggungjawab terhadap mangsa, maka saya menamatkan pembacaan saya yang ketika itu belum selesai. Surat tersebut saya cuci dengan tisu lembab dan lurus kembali dengan seterika panas dan dimasukkan ke dalam sampul surat. Alamatnya seperti yang tertera pada awal surat iaitu;


Abdullah William Franklin

Lot 196, S2H6 Avenue Drive

Avenue Park

Cristhchurh

New Zealand


Sebelum memasukan surat tersebut ke dalam peti pos, saya terpaksa menulis alamat saya di belakang sampul surat kerana kandungan surat yang sempat dibaca memaksa saya berbuat demikian. Setelah memasukkan surat berkenaan di dalam peti pos di Pejabat Pos Taman Melawati; saya sangat teruja kerana telah melaksanakan tanggungjawab. Selepas itu, saya kembali ke lokasi kejadian.


Semalam, iaitu 15 hari selepas surat dihantar, saya menerima kembali surat berkenaan. Alamat asal surat telah dipotong dan terdapat dua alamat baru yang berbeza atas nama Abdullah William Franklin, juga dipotong. Tertera tulisan tangan ‘Sir, according to NZ postal regulations, we cannot deliver your letter to anybody because Mrs Williams was pass away in 1998’. Tulisan tangan tersebut di tandatangan oleh Cristhchurh Post Office Master. Dengan rasa sedikit terkejut dan sedih, saya membuka semula surat berkenaan dan membacanya sehingga tamat. Justeru saya memohon berjuta kemaafan kepada sanak saudara (sekiranya ada) Allahyarhamah Rozita kerana membaca surat tersebut. Setelah selesai membaca surat tersebut, saya berpendapat kandungannya wajar di kongsi oleh seluruh rakyat Malaysia khususnya penghuni yang terselamat dalam kejadian tersebut kerana kita akan mempelajari sesuatu darinya. Saya juga sedia bertanggungjawab atas tindakan ini. Inilah dia WARKAH DARI RUNTUHAN BUKIT ANTARABANGSA.


Rzta , Julia dan Memey

Bukit Antarabangsa

5 Dis 2008


Buat seseorang yang sangat kami sayangi,

Abdullah William Franklin

Lot 196, S2H6 Avenue Drive

Avenue Park

Cristhchurh

New Zealand


Kekasihku William,


Kesyukuran yang membunga dan mewangi kami harumkan kepada Allah S.W.T yang amat menyayangi umatnya. Ita dan anak-anak sihat walafiat dan meneruskan kehidupan yang penuh berliku dan ranjau. Begitu juga, kami doakan buat abang yang jauh entah apakah gerangannya. Sungguhpun abang telah melupakan kami, tetapi sebagai wanita dan ibu yang lembut hatinya, mana mungkin Ita melupakan lelaki yang telah memberi dua zuriat pada Ita. Ingatan ini mengimbau kuat semasa sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu. Seingat Ita, kita belum pernah melaksanakan aqiqah bagi anak kita iaitu Memey. Maka Ita melaksanakannya ketika sambutan raya tersebut. Memey bertanyakan abang, ayahnya. Julia tidak lagi pernah bertanya. Mungkin Julia telah muak dan letih bertanya. Mereka juga sama seperti Ita, mana mungkin melupakan seorang ayah yang pernah bersama sungguhpun hanya seketika.


Surat ini hanyalah satu usaha kami bagi melepaskan beban rindu. Sungguhpun ianya sia-sia kerana tiga pucuk surat terdahulu dikembalikan. Sampai atau tidak surat ini bukanlah perkara utama kerana kami amat mendambakan kehidupan dan kerinduan. Cukuplah dengan sebuah kehidupan yang sempurna. Kami tidak pernah mengimpikan kehidupan seperti tuan rumah ini yang mana ibarat langit dengan bumi. Buat masa ini, Ita bekerja sebagai pembantu rumah kepada seorang usahawan muda yang sangat berjaya. Dengan izin beliau juga, Ita dan anak-anak dapat menginap di pondok di belakang banglonya. Tuan rumah ini masih muda dan dikurniakan rezeki yang melimpah ruah. Masih bujang dan tersangat banyak wang. Kami pun tidak tahu apakah pekerjaannya. Yang kami perlu tahu ialah makan dan tidur kami adalah percuma, dan setiap bulan Ita di beri upah. Syukurlah.


Kekasihku William,


Diri ini sering menitiskan air mata kerana teramat rindu kepadamu. Kerinduan Julia dan Memey menambahkan jumlah rindu yang bersarang di dada Ita. Kekasihku yang dirindui, mengapa abang meninggalkan kami ketika kami amat mengharapkan. Warkah ini adalah usaha yang terakhir bagi kami kerana Ita dan anak-anak merancang untuk berpindah ke sebuah rumah sewa di Keramat. Ita terpaksa berhenti kerja dan berpindah ke kawasan lain atas desakkan anak-anak. Sebenarnya kawasan penginapan mewah ini dirasakan sudah tidak selamat lagi. Seminggu yang lalu telah berlaku runtuhan lereng bukit di belakang rumah yang mana sebelumnya juga telah berlaku beberapa kali. Dari percakapan telefon tuan rumah, Ita dapat tahu bahawa perkara tersebut telah pun dilaporkan kepada pihak berwajib tetapi setakat ini tidak ada tindakan yang kelihatan. Julia dan Memey sering memaksa supaya kami berpindah kerana mereka sering diganggu mimpi tanah runtuh. Anak-anak sangat takut. Bahkan Ita sendiri pun bermimpi, dirimu datang menyaksikan kami berpindah.


Ketika ini, kerinduan Ita pada abang sangat memuncak. Hati menjadi sayu, nafsu amat meresahkan dan kenangan mengimbau datang sejak dari petang lagi. Kening mata kanan Ita bergerak-gerak sejak seminggu yang lalu. Bak kata orang tua, ia adalah petanda akan melihat atau bertemu dengan seseorang. Tak tahulah betul atau tidak kerana Ita amat mengharapkan orang yang akan di temui itu adalah abang; ayah pada Julia dan Memey. Sebaik sahaja Julia dan Memey mendengkur kecil, Ita mencium gambar dan kain abang sepuas-puasnya. Sungguhpun baunya telah lama hilang. Akhirnya Ita menangis dan menggigil kerana rindu yang teramat kuat.


Peluk cium dari kami

0328 pagi


Sebelum saya mengakhiri kisah, saya memohon kepada saudara mara Allahyarhamah Rozita agar dapat menghubungi saya dengan segera kerana WARKAH DARI RUNTUHAN BUKIT ANTARABANGSA masih ada dalam simpanan saya. Selagi saya menyimpaninya, selagi itulah saya merasai bebanannya. Saya boleh dihubungi melalui talian telefon mobil 012-3031766 atau melalui email radzi_hamid@yahoo.com. Sekiranya warkah ini tidak dituntut, saya bercadang untuk memasukkannya ke dalam botol dan menghanyutkannya ke laut lepas. Biarlah Tuhan yang maha berkuasa dan mengetahui menentukan perjalanan WARKAH DARI RUNTUHAN BUKIT ANTABANGSA.